February 16, 2013

Tahniah Kepada Dua Sasterawan Negara Selangor

-->
Shah Alam, 04 Rabiul Akhir 1434 = 15 Februari 2013 (Jumaat):

YAM Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mewakili Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor menyampaikan Wathiqah Penghargaan di dalam Majlis Meraikan Sasterawan Negara Anak Selangor, kepada Dato` Dr. Anwar Ridhwan Sasterawan Negera ke 10 (2010) dan Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah Sasterawan Negara ke 11 (2011) bertempat di Wisma Pertubuhan Kebangsaan Peladang Selangor (PKPS) pada malam ini. Bersama Anugerah mereka juga dikurniakan sesalin pakaian dan sejumlah wang RM10,000 seorang.


Sasterawan Negara Dato` Dr. Anwar Ridhwan berasal dari Sungai Besar menulis di dalam berbagai bidang, tetapi lebih terkenal dan menyerlah di dalam bidang novel seperti Novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman dan Arus dan di dalam bidang cerpen seperti Dunia Sebuah Apartment dan Sesudah Perang.


Sebagaimana Sasterawan Negara Dato` Dr.Anwar Ridhwan demikian juga Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah menulis di dalam berbagai bidang, tetapi kekuatannya yang menyerlah ialah di dalam bidang puisi seperti kumpulan-kumpulan puisinya Ayn, Pelabuhan Putih, Titir Zikir dan Mim.

Majlis Keraian Sasterawan Negara adalah Anjuran PADAT bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Mengalu-ngalukan Majlis pada malam itu ialah Pengerusi PADAT Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar dan bagi pihak Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Ybhg. Dr. Awang Sariyan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Turut hadir pada malam ini ialah Y.B. Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.  Dan Puan Azlinda Azman Ketua Pegawai Eksekutip PADAT.


Sementara itu pada pagi Sabtu 16 Februari 2013 diadakan Majlis Bicara Karya Sasterawan Negara Anak Selangor di Muzium Sultan Alam Shah, PADAT mulai jam 9.00 pagi. Antara panel ialah Profesor Dr. Rahman Shaari, Prof. Dr. Kamaruddin Said dan Prof Madya Dr. Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana). Sebuiah buku khas hasil karya Sasterawan Negera sempena Majlis Keraian dilancarkan oleh YAM Tengku Panglima Diraja Selangor pada malam ini berjudul Pencari Kesempurnaan oleh Sasterawan Negara Dato` Dr. Anwar Ridhwan dan Dakaplah Bulan Putih oleh Sasterawan Negara Dato` Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Orang ramai dijemput hadir ke Majlis Pembicaraan Buku sambil melihat Pameran dan penjualan buku-buku kedua-dua sasterawan Negara di Muzium Sultan Alam Shah, PADAT.

Sekian.

No comments:

Post a Comment