April 16, 2010

Baitul Imtiyaz - Dirasmikan Oleh ADNS Bangi

Sungai Ramal Luar, 26 R. Akhir = 11 April (Ahad):

Berasal dari Pusat Komuniti yang telah dibina sejak beberapa tahun lalu dan tidak digunakan sepenuhnya., lalu tercetus idea untuk menggunakannya sebagai Perpustakaan dan Kelas Bimbingan. Cadangan ini dibawa kepada rundingan dengan Ahli Dewan Negeri Selangor (ADNS) oleh Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir selaku Ketua Kampong Sungai Ramal Luar dan Puan Norlaila binti Minhat isteri Nazir Masjid Sungai Ramal Luar. ADNS bersetuju dengan cadangan dan bersedia membantu dengan peruntukan bagi membeli peralatan seperti rak-rak perpustakaan dan kerusi meja. Perbincangan juga berhubung dengan nama perpustakaan dan kelas tuisyen. Akhirnya dipersetujui bangunan dijenamakan sebagai "Baitul Imtiyaz" bermaksud "Rumah Cemerlang".


Bagi menjayakannya maka tenaga digembeleng antara JKKK Sungai Ramal Luar, AJK Biro Manita Masjid termasuk Puan Hajjah Norlaila Minhat dan Habibul Izzah Ahmad dan AJK Masjid, terutama dari segi penyiapan peralatan termasuk buku-buku, menubuhkan jawatankuasa sambutan, jemputan dan makanan. Atas dasar bekerja secara jamaah, maka pada 11 April acara perasmian dapat diadakan. Majlis perasmian ini dihadiri oleh JKKK, AJK Biro Wanita Masjid, AJK Masjid, ibu bapa dan paling ramai yang memeriahkan perasmian dan pelancaran ialah anak-anak Sekolah yang merekalah menjadi fokus penubuhan Baitul Imtiyaz ini.


ADNS yang diberi penghormatan merasmikan Baitul Imtiaz mengucapkan tahniah kepada AJK Baitul Imtiyaz dan Sambutan yang peka terhadap keperluan mnyediakan kemudahan bagi anak-anak mendapat sumber bacaan dan membaca di Baitul Imtiyaz dan juga cadangan membimbing mereka di dalam pelajaran-pelajaran akademik dan agama. Dengan ini dapat mengisi masa mereka dengan kegiatan dan amalan yang berguna. Dengan bimbingan secara teratur lebih membantu mereka di dalam pelajaran. Usaha ini adalah selari dengan hasrat menjadikan Dewan Negeri Selangor – Bangi sebagai Bandar Ilmu. Usaha ini juga adalah selari dengan hasrat kita mau melahirkan pelajar-pelajar cemerlang. ADNS Bangi mengharapkan Baitul Imtiyaz akan berterusan dengan kegiatan-kegiatan. ADNS juga menyentuh tentang bangunan yang jika mendapat sambutan, tentulah tidak dapat menampung ramai kehadiran pelajar-pelajar dalam masa secara serentak. Sebab itu perlulah difikirkan kemungkinan membesarkan ruang pada masa akan datang, kerana difahamkan ruang tanah masih ada untuk diperbesarkan. Untuk keselesaan anak-anak membaca, menerima bimbingan dan bermain permainan indoor game, wajar dilengkapkan bangunan dengan unit-unit pendingin udara. Dengan kemudahan yang ada ADNS berharap prestasi anak-anak lebih baik dan meningkat di dalam peperiksaan akan datang.


Sebelum daripada itu Tuan Haji Yusof selaku Ketua Kampung menyampaikan ucapan terima kasih dan menerangkan berhubung dengan bangunan Baitul Imtiyaz dan harapan-harapan beliau. Turut juga berucap Puan Hajjah Norlaila binti Minhat sebagai pengerusi Kelas Bimbingan dan Perpustakaan mengalu-ngalukan para hadirin.


Majlis Perasmian dilakukan oleh ADNS Bangi dan melawat ke dalam bangunan melihat buku-buku dan peralatan. Selepas itu pelajar-pelajar dibenarkan masuk melihat buku-buku yang dipamerkan yang memberi peluang untuk mereka membaca dan meminjam. Kita mengharapkan usaha murni mendapat sambutan dari pelajar-pelajar dan galakan dari ibu bapa.


Sekian.

No comments:

Post a Comment