April 8, 2010

"XPDC" TABUK

Sungai Congkak, Hulu Langat, 20 R. Akhir = 05 April (Isnin):

Ingin tahu apa yang dimaksudkan dengan XPDC TABUK dan relevansinya, serta mahu pastikan benarkah kegiatan berlaku dan apakah permohonan peruntukan yang dipohon dari ADUN adalah berpatutan, membawa ADUN ditemani saudara Shahrum – Pengiring ADUN ke Sungai Congkak. Ini adalah selepas membuat hubungan dan kepastian, agar pemergian tidak sia-sia menghabiskan masa dan tenaga, sekiranya program tidak berlaku. ADUN bertolak jam 9.00 pagi dan sampai ke Kem Motivasi Sungai Congkak itu sebelum jam 10.00 pagi. Kami dibawa menunggu di bawah khemah oleh beberapa tenaga penggerak sementara pelajar-pelajar menyertai XPDC bersiap. Sambil itu ADUN bertanya mengenai program.


ADUN dimaklumkan, pelajar-pelajar baru turun dari bukit berekspidisi pada malamnya dari jam 3.00 pagi dan turun pada pagi ini. XPDC adalah bermula sejak hari Jumaat (2 April) dan berterusan hingga hari ini sebagai hari terakhir. Kini pusat-pusat pengajian sedang bercuti pertengahan semester selama seminggu. Sebahagian pelajar tidak pulang ke kampung. Bagi mengisi masa cuti pimpinan pelajar, merangka aktiviti kegiatan luar seperti ini. Seramai 40 orang pelajar menyertai XPDC ini. Mereka terdiri dari 16 lelaki dan 24 perempuan. Bagi yang lelaki, ramai yang datang bermotosikal dan yang perempuan diangkut melalui kereta kawan-kawan. Pelajar-pelajar yang datang dari pelbagai fakulti seperti Kejuruteraan, Islam, Pendidikan, Sains dan Teknologi dan ekonomi.


ADUN bertanya, apa kaitan dengan Tabuk yang merupakan XPDC Peperangan pada zaman Rasulullah itu. Jawab pimpinan yang bersama ADUN sementara menanti majlis bermula, "Sebagai daya penarik dan juga mencetus kesedaran tentang sirah Rasulullah terutama dari segi jihad." Beliau menambah, "Kami juga di dalam jihad dalam membentuk generasi bertaqwa dan lasak bagi menghadapi cabaran perjuangan!" katanya.

Apabila ditanya tentang pengisian aktiviti, menurut pemimpin pelajar berkenaan, Pengisian terdiri dari motivasi, ceramah, ibadah, gerak kerja fizikal dan berpasukan, sukan dan kembara.
Sebuah kertas kerja dasar dibentang, iaitu, "Memahami Erti Perjuangan".


Bagi pengisian ceramah, mereka memanggil pakar-pakar penceramah yang berhubung dengan aqidah, tarbiah, dakwah, fikrah perjuangan Islam dan konsep berjamaah. Pengendalian XPDC di bawah jawatankuasa XPDC yang di bawahnya ada unit program, disiplin, jamuan, penempahan, teknikal, riadah, ibadah dan kebersihan. Menurut pimpinan berkenaan. Mereka menyewa tempat rekreasi di Sungai Congkak ini sebanyak RM1,500/=, sedangkan yuran yang dipungut dari setiap peserta untuk tempoh 4 hari, termasuk makan minum hanya RM10/= seorang sahaja. Tersentuh hati ADUN tentang kegigihan dan ketabahan mereka, walaupun dengan agak sukar dan amat terhad dari segi kewangan, mereka mampu mengadakan XPDC Tabuk yang memerlukan jumlah peruntukan yang agak banyak dan membebankan mereka, terutama pimpinan. Tetapi itulah jihad dan latihan yang mereka dan kawan-kawan sedang lalui dan alami. Mereka belajar menempuh kesukaran dan menuntut pengorbanan demi membentuk generasi pelapis yang bertaqwa, gigih dan tahan lasak.

Sesudah menghirup secawan teh, kami bergerak ke Dewan Terbuka Motivasi. ADUN diminta bercakap sedikit tentang jihad dan falsafah perjuangan. Keperluan mewujudkan generasi pelapis dan tugas-tugas persediaan yang perlu difahami dan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment