April 13, 2010

Dewan Negeri Selangor Bertaraf Dunia

Hotel Concorde, Shah Alam 27 R. Akhir = 12 April (Isnin):


'Dewan Negeri Selangor mencapai taraf Dunia'. Demikian kata Speaker Dewan Negeri Selangor YB Teng Chang Khim ketika menyampaikan ucapan Menyembah Kasih kepada Duli Yang Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Majlis Santapan sempena Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kedua Belas, Tahun 2010 di sini, malam ini. Beliau menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sudi merasmikan Dewan Negeri pagi tadi. Titah Baginda yang bernas dan padat itu, menurut Tuan Speaker akan dijadikan panduan di dalam perbahasan Dewan Negeri. Sekali lagi Tuan Speaker Menjunjung Kasih di atas perhatian dan kasih sayang Baginda Tuanku terhadap rakyat jelata.


Menurut YB Tuan Speaker, setelah 50 tahun usia Dewan Negeri dan dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Negeri Selangor, banyak perubahan yang dilakukan dalam mempertingkatkan mutu perjalanan Dewan. Misalnya pihak Dewan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengenai Hak, Kebebasan dan Ketelusan (Selcat), Jawatankuasa Khas Mengenai Pihak Berkuasa Tempatan dan Jawatankuasa Khas Mengenai Perjalanan Jabatan dan Badan Berkanun. Pihak Dewan juga menyiarkan secara langsung perbahasan Dewan melalui Web Khas.


Menurut Tuan Speaker dari kaedah survey yang dilakukan oleh sebuah badan penilai (Commonwealth Parliamentary Association), jika bench mark penilaian 50%, maka mutu perjalanan Dewan Negeri kini pada paras 90%. Dewan Negeri Selangor pernah dilawati ahli-ahli Dewan dari India, German dan lain-lain. Pihak Speaker dan rombongan juga membuat lawatan ke Dewan-Dewan di luar negera bagi mempelajari dan membaiki mutu Dewan Negeri Selangor. Tuan Speaker berjanji akan terus berusaha mempertingkatkan mutu Dewan Negeri ke tahap prestasi yang lebih tinggi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment