April 29, 2010

Penutupan SPIES Keluarga di Bandar Baru Bangi

SRAI, BBB, 9 J. Awal = 24 April (Sabtu):


Seminar SPIES Keluarga di sini berlangsung dari sebelah pagi hingga ke petang. Dimaksud SPIES Keluarga, iaitu ibu bapa dibawa bersama mengikuti seminar berkenaan. Walaupun begitu ada sesi diasingkan ibu bapa dari anak-anak, iaitu pelajar-pelajar di Sekolah Rendah Agama Integrasi di sini. Kehadiran ibu bapa berjumlah lebih kurang 100 orang. Seminar SPIES ini adalah anjuran dan menjadi jenama bagi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor dengan kerjasama Pusat Pengajian Bahasa Arab & al-Quran (PUSBA) sebagai penyampai seminar.


Turut sama dalam Majlis Tuan Haji Mohd. Zawawi bin Mughni dari PUSBA, Ustazah Haslina Guru Besar Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru Bangi, Cikgu Ali sebagai Penyelaras dari Sekolah dan penyampai-penyampai seminar berdasarkan modul yang disediakan.


Pendekatan yang digunakan berdasarkan bahan seminar, iaitu bermula dengan mengenali apa itu SPIES (Spiritual, Physical, Intelectual, Emotional dan Social) bagi ibu bapa dan anak-anak, manakala slot dua diperkenalkan kepada ibu bapa topik, Formula ibu bapa cemerlang, Kenali Diri, manakala slot bagi anak-anak, Formula Pelajar Cemerlang, Kenali Diri. Slot dan topik ketiga bagi ibu bapa ialah Formula Ibu Bapa Cemerlang 1, Membina Kecerdasan Intelek, manakala bagi anak-anak ialah Formula Pelajar Cemerlang: Rahsia Potensi Diri. Bagi slot dan topik keempat bagi ibu bapa ialah topik Formula Ibu Bapa Cemerlang 2: Teknik Komunikasi Berkesan, manakala bagi anak-anak, Formula Pelajar Cemerlang: Membina Minda Cemerlang.


Pada sebelah petang ibubapa dan anak-anak disekalikan. Mereka dikehendaki mengikuti topik lima iaitu "Ibu Bapa Mithali: Mengurus Emosi", diikuti dengan "Introspektif dengan Plan Tindakan dan rumusan".

ADNS Bangi dalam ucapan penutupnya, berterima kasih kerana menjemput ADNS. Beliau mengingatkan bahawa dengan mengikuti Seminar Keibubapaan dan pelajar, buka bererti tuan-tuan dan puan-puan para ibu bapa dianggap tidak berilmu, kerana ibu bapa di Bangi pada keseluruhannya adalah dari kalangan inteleks. Perkara yang dikemukakan kepada ibu bapa mungkin antaranya sudah sedia di dalam makluman tuan-tuan dan puan-puan. Seminar adalah bersifat ingat mengingat. Sesungguhnya dengan ingat mengingat dapat memberi manfaat dan memberi kesedaran lebih tinggi kepada ibu bapa terutama di dalam memberi tumpuan dan bimbingan kepada anak-anak bagi mendorong mereka kepada kecemerlangan. Di dalam kehidupan moden dan kurang kesempatan bagi ibu bapa memberi perhatian kepada anak-anak, maka dengan Seminar yang diikuti memberi peringatan dan gesaan kepada ibu bapa menyediakan masa-masa berkualiti bersama dan membimbing anak-anak.

Bagi memupuk syakhsiah dan akhlak anak-anak memerlukan situasi keluarga dan environment yang kondusif dan baik. Semoga dengan mengikuti Seminar memberi peringatan dan tindakan ibu bapa berusaha menyediakan keperluan berkenaan kepada anak-anak, bahkan bersama mereka mewujudkan suasana keluarga bahagia dan rumah merupakan syurga bersama. Dengan penyediaan ini memungkinkan bertumbuhnya potensi yang ada pada anak-anak menjadikannya sebagai anak yang cemerlang yang terpancar dari keluarga cemerlang, seterusnya memberi saham kepada masyarakat cemerlang.

Tanggapan dan pemerhatian ADNS, bahawa ibu bapa berpuashati dengan seminar yang diikuti, lantaran itu ibu bapa setia menunggu dan mengikuti seminar dengan tekun hingga ke penghujung. ADNS berharap dengan melalui Seminar yang diikuti akan mengubah suasana keluarga menjadi lebih baik yang memungkinkan lahirnya anak yang cemerlang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment