April 20, 2010

Turun Padang Ke Tempat-Tempat Aduan

Bangi, 04 Jamadil Awal = 19 April (Isnin):

11.00 pagi keluar bersama saudara Shahrum ke rumah En. Ahmad Nasrun bin Haji Mohd Sharif beralamat di No. 10, Lorong 6A/6, Seksyen 16, 43650 Bandar Baru Bangi berhubung dengan aduan kebocoran rumahnya sejak lebih setahun lepas. Salinan surat yang ADNS Bangi terima secara fax daripada En. Ahmad (salinan) pada 6 April 2010 yang dihantar kepada Penolong Setiausaha (Aduan) Bahagian Koporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, Tkt. Bawah Bangunan SSAAS, 40503 Shah Alam menyatakan kebocoran rumahnya akibat jiran membuat kerja ubahsuai (sejak awal Disember 2008). Surat ini menyebutkan sebelumnya Pegawai-Pegawai dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang telah melawat ke rumah En Ahmad pada Isnin 5 April, 2010 jam 2.45 petang. Salinan surat difaxkan kepada ADNS Bangi ini dan di sk kepada Ketua Setiausaha Bahagian Koporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan sk juga kepada Ketua Setiausaha Kepada YAB Dato` Menteri Besar Selangor, Pejabat Menteri Besar Selangor. Dengan penerimaan salinan surat berkenaan pada ADUN bermakna setakat ini tindakan membaiki belum diambil oleh pihak-pihak yang menerima aduan.

Oleh kerana perkara ini diangkat ke atas, pada hari menerima surat ini (6 April) ADNS meminta Setiausaha Kerja ADNS mengatur tarikh dan masa pertemuan dengan pengadu (Tuan Rumah), maka pada hari ini (Isnin 19 April) ADNS Bangi turun dan En. Ahmad dan keluarga membawa ADNS dan Saudara Shahrum melihat tempat bocor di ruang tamu, bilik tidur, bahkan hingga ke bahagian belakang rumah. ADNS berjanji akan membawa pekerja melihat dan insya Allah memperbaiki agar tidak lagi berlaku kebocoran.



Selepas sembahyang asar pada petang hari ini ADNS keluar dengan pekerja (Haji Jamil) yang telah dihubungi sebaik ADNS pulang dari rumah En. Ahmad untuk datang melihat tempat yang bocor. Tapi sebelum ke rumah En. Ahmad ADNS Bangi bersama Haji Jamil Ke Sekolah Agama Pekan Bangi terlebih dahulu meminta Haji Jamil untuk membaiki kerosakan saluran najis di Sekolah tersebut. Daripada 10 tempat buang air besar, hanya 2 boleh digunakan oleh murid-murid perempuan dan satu saja dapat digunakan oleh murid lelaki yang jumlah muridnya melebihi 300 orang. 7 buah daripadanya rosak. Kerosakan ini diadu kepada ADNS Bangi semasa datang merasmikan mesyuarat agung PIBG Sekolah tersebut pada 28 Mac 2010 yang lepas. Haji Jamil selepas memeriksa tempat membuat kesimpulan awal, saluran najis tersumbat oleh kerana penutup besi tempat kumbahan dicuri dan budak-budak memasukkan batu-batu dan berbagai lagi ke kumbahan yang tak tertutup, menyebabkan tersekat larian air dan najis. Tempat kumbahan walaupun berpagar boleh dimasuki ke dalam. Beliau bersedia datang esok dengan pekerjanya untuk membaiki. Guru Besar Sekolah Agama Pekan Bangi ini Puan Noraini juga minta ADNS Bangi memperbaiki atap kantin yang bocor. Kami bersama pergi melihat tempat yang bocor dan insya Allah bersedia membaikinya.



Pulang dari Pekan Bangi, ADNS Bangi bersama Haji Jamil singgah di rumah En. Ahmad, sekali lagi En. Ahmad membawa kami, khususnya Haji Jamil melihat tempat bocor di ruang tamu dan terpaksa juga membawanya melihat tempat bocor di bilik tidur. Haji Jamil meminta tangga dan menaiki ke bombing rumah dan memeriksa tempat bocor. Menurutnya saluran air yang dibuat selepas pengubahsuaian rumah sebelah dan pengubahsuaian rumah En. Ahmad (tambah ruang tamu) dipasang tidak betul. Beliau menjangkakan akan memperbaikinya lusa (Rabu), selepas ke Sekolah Agama. Kami pulang dan ADNS membekalkan sejumlah wang buat permulaan untuk Haji Jamil membeli barang-barang keperluan pada peringkat awal. ADNS berharap semoga kesemua aduan ini dapat diselesaikan dengan memuaskan semua pihak. Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment