April 3, 2010

Orang Kurang Upaya (OKU) Itu Sebenarnya Diri Kita Jua!

Anekdot:

Pada setiap hari Sabtu dan juga Ahad, kebiasaannya diariku padat dengan program. Aku terpaksa berkejar dengan waktu bagi menepati program yang diatur seharian - kadang-kadang dari pagi ke malamnya. Demikianlah pada hari Sabtu itu, setelah menamatkan empat program dari pagi ke tengaharinya yang antaranya menggunakan tenaga fizikal yang meletihkan, aku pulang sementara ke rumah untuk bergerak semula selepas solat Zohor.

Sesampai di rumah aku membuka kipas dan menghempaskan diri di tengah ruang rumah keletihan untuk mendapat kerehatan dan mengembalikan kesegaran diri.

Ketika isteri turun dari tingkat atas untuk ke dapur, aku memberitahu isteri, "Jam 2.00 petang kena berada di ruang legar PKNS kerana meraikan OKU-OKU mengadakan persembahan amal, mengutip derma bagi membeli bangunan sendiri!", kataku. Jawab isteriku spontan, "Duk kata mereka OKU. Kita lebih OKU daripada mereka!", tambah isteriku.

Kami ketawa bersama! Tapi terasa aku ketajaman sindirannya. Hasratku untuk melelapkan mata seketika tak jadi, apa lagi waktu jemputan makin mendekat. Lalu aku ke bilik air di atas mandi, berwuduk dan solat. Kemudian turun ke bawah setelah berpakaian sesuai untuk ke program OKU selepas makan tengahari.

Setelah selesai makan, aku secara bergurau memberitahu isteri, "Berselera makan tengahari, mungkin kerana lapar!," aku menambah, "Sekarang OKU saya dah bertukar kepada Orang Kuat Upaya!," lalu aku bangkit dari kerusi dengan cergas bagi membuktikan aku sebenarnya kuat untuk bertolak ke tempat jemputan di PKNS itu." Semasa bertolak isteri aku masih sempat berpesan, "Sama ada Orang Kurang Upaya atau Orang Kuat Upaya, yang penting perlu ambil pengajaran dan keinsafan. Semua orang adalah orang kurang upaya sama ada fizikal, mental atau rohani! Tiap kita sepanjang hayat mengasuh diri bagi menghilangkan kekurangan. Tapi manusia tetap sempurnanya di dalam ketidaksempurnaan!" katanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment