Pasti Serdang bagi kali kelima mengadakan Pesta sukan antara PASTI Kawasan. Kali ini Pasti Kawasan memilih Sukan Bola Sepak bagi lelaki dan Bola Jaring bagi anak-anak perempuan. Tempat yang asalnya sepatutnya diadakan di padang KUIS telah dipindah ke Padang Awam, Taman Tasik Cempaka, kerana tempat ini lebih terbuka dan mempunyai kemudahan-kemudahan.
Menurut Tuan Haji Shahronizam Pengerusi PASTI kawasan, penyertaan PASTI-PASTI pada kali ini amat menggalakkan dalam mana 21 Pasti mengambil bahagian. 18 daripada Pasti tersebut mengambil bahagian dalam pertandingan bola sepak dan 16 pasukan dalam bola jaring. Menurut Haji Shahrulnizam, Pesta Sukan kali ini diadakan dengan agak besar-besaran, adalah sempena menjelangnya 25 tahun usia Pasti.
ADNS Bangi, dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur kepada Allah Pasti kini berusia 25 tahun dan dalam masa tersebut Pasti telah membuktikan ianya adalah pendidikan terbaik bagi anak-anak pada peringkat pra-sekolah. Jenama Pasti telah diyakini dan diharap ianya semakin mantap dan berwibawa. Dalam usia 25 tahun telah ramai keluaran pasti berjaya di dalam pelajaran yang ramai dari mereka menyambung pelajaran pada peringkat pengajian tinggi sama ada di dalam atau luar Negara. Bahkan sebahagian dari mereka sudah berkhidmat di dalam berbagai-bagai bidang kerjaya dengan dedikasi dan amanah sebagai sebahagian dari nilai-nilai yang ditanam sejak mereka belajar pada peringkat Pasti. ADNS menggesa supaya pihak Pasti Pusat dan Tempatan membina profil anak-anak yang keluar dari Pasti, memonitar dan menjadikan mereka yang berjaya sebagai contoh teladan bagi anak-anak yang sedang belajar dan bakal belajar di Pasti. Mereka boleh dijadikan asset yang mana dari mereka boleh diambil fikiran bagi perkembangan pendidikan Islam kepada bidang dan ruang yang lebih luas.
Pendidikan Pasti sudah tentulah mementingkan pendidikan yang bersifat holistic yang melibatkan minda, rohani dan jasmani. Pendidikan dan pembinaan semua ini seharusnya bersifat berterusan. Pendidikan minda dan rohani memanglah merupakan agenda yang utama, tetapi mungkin kita melihat pendidikan jasmani sebagai sesuatu yang remeh dan tidak penting. Sebenarnya jasmani sebagai kenderaan yang membawa diri bergerak di tengah masyarakat. Kalau jasmani tidak sihat, memasalahkan diri, bahkan memasalahkan dari pembinaan minda dan rohani. Sebab itu pendidikan jasmani juga haruslah bersifat berterusan, bukan semata-mata setakat memasuki pesta dan pertandingan. Pendidikan jasmani hendaklah termasuk penjagaan dari segi makan minum, dari segi halal dan haram dan dari segi sihat dan sakit. Pepatah ada berkata, `Akal yang sihat berada pada tubuh badan yang sihat`. Bahkan kelangsungan hidup kita dan segala kegiatan adalah bergantung pada kesihatan diri. Sebab itu pendidikan jasmani hendaklah selari dan bersifat berterusan sebagaimana pendidikan akli atau minda dan rohani.
Melanjutkan pandangannya ADNS bergembira dari interaksi yang berlaku antara petugas-petugas, guru-guru, ibu bapa dan anak-anak. Ini adalah merupakan antara hikmat yang timbul dari Pesta Sukan yang diadakan. Pertemuan antara pasti tidak mudah diadakan seperti melalui sukan, begitu juga antara ibu bapa dengan guru-guru dan petugas-petugas. Ini mengeratkan hubungan antara keluarga Pasti yang seharusnya dipupuk secara berterusan. Dengan interaksi sedemikian meningkatkan kerjasama antara Pasti dan ibu bapa dan juga dengan pihak pentadbir.
Melalui Sukan Pasti yang yang diadakan pada hari ini dan yang lain-lain kita dapat menanamkan semangat berlumba-lumba secara sihat di kalangan anak-anak. Semangat perlumbaan sihat ini penting bagi kemajuan anak-anak di dalam menghadapi pelajaran, bahkan di dalam perkhidmatan dan kehidupan mereka. ADNS Bangi mengakhiri ucapan dengan harapan sukan yang dianjurkan berjalan dengan baik, mencapai objektif dan mendapat rahmat dan keredhaan dari Allah.
Pada majlis ini ADNS Bangi berkesempatan mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.
Sekian. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment