April 25, 2010

Bersama Rentak Memuncak Dan Thrill Pilihanraya Hulu Selangor

BBB, 8 – 9 Jamadil Awal = 23 April (Jumaat dan Sabtu):

Ahli-ahli PAS adalah ibarat "Tentera Simpanan" yang sentiasa bersiap siaga dan sedia menerima arahan pada bila-bila masa. Demikianlah bagi pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor, PAS menurut modes operandi biasa menghantar bantuan tenaga dan material ke lokasi pilihanraya dari peringkat tertinggi membawa kepada peringkat grassroot. Bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor, ahli-ahli PAS diperingatkan PAS adalah bertaraf membantu menurut arahan PKR yang dipersetujui bersama bertanding di Parlimen Hulu Selangor. Atas dasar ini PAS dari peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan menghantar petugas-petugas secara bertahap dari peringkat atas ke bawah ke lokasi-lokasi yang ditentukan. Demikianlah PAS Serdang menghantar pasukannya bertempat di Kalumpang bagi muslimin, manakala bagi muslimat di Rasa dan Taman Samudera.

Namun apabila isyarat kecemasan diterima dari Setiausaha Agung dan arahan diterima supaya menurunkan "Bala Bantuan Tambahan" kepada jumlah tujuh ribu orang. Serdang yang telah sedia menghantar pasukannya bersilih ganti menggerak agar "Bala Bantuan Tambahan" dihantar segera.

Mulai pagi Jumaat 23 April, bukan saja ahli, tetapi kakitangan pejabat ADNS Bangi diperturunkan sepenuhnya hadir ke Kalumpang, manakala ADNS Bangi beserta Saudara Azizi mengiringi Pasukan Nisa' dari pejabat dan kawan-kawan mereka ke lokasi baru yang belum dikunjungi sebelumnya. Mereka diiringi ke sempadan negeri Selangor dan Perak, bahkan masuk ke Bandar Tanjung Malim bertanyakan lokasi penginapan dan operasi mereka. Setelah berkali-kali bertanya dan membuat hubungan, ternyata tempat penginapan mereka di Taman Samudera. Namun apabila tiba, dimaklumi tempat itu terlampau penuh dan diminta ke lokasi di jalan ke Kalumpang. Dengan mengikuti seorang pemandu jalan bermotosikal kami tiba ke sebuah kedai makan yang di atasnya penempatan muslimat. Kami masih ragu untuk meninggalkan muslimat yang mereka adalah tenaga pekerja di Pejabat ADNS Bangi, walaupun sudah diberikan kunci. Penempatan itu kosong, kerana dimaklumkan pasukan muslimat dari Kelantan telah pulang pada petangnya. Sehinggalah datang seorang muslimat tempatan yang juga terlibat dengan penempatan muslimat di situ, barulah kami rasa yakin dengan keselamatan dan Muslimat membawa barang-barang ke atas dari kereta mereka. Mereka dikehendaki esok bergabung dengan muslimat di Taman Samudera yang sesak dengan muslimat dari pelbagai tempat.

Selesai urusan, aku dan Azizi bertolak ke Markas bagi Serdang di Kalumpang. Setelah sembahyang jamak, kami bertolak ke satu lokasi dekat Gumut, berceramah kepada sejumlah lebih kurang seratus orang masyarakat India di situ. Ceramah dikendalikan oleh penceramah-penceramah dari kalangan orang India, manakala aku turut berceramah menerangkan tentang konsep Pakatan Rakyat, fungsi dan praktik Kelab Penyokong dan apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor dan meminta mereka mengundi calon Pakatan Rakyat - Zaid Ibrahim.

Apa yang unik pada malam ini menyusuri ceramah-ceramah, masyarakat India di sini dihidangi dengan nasyid di dalam bahasa India. Pasukan nasyid khas ini dibawa dari Shah Alam. Pasukan nasyid yang dikenali dengan "Salam" terdiri dari tiga penasyid, iaitu Zaidi, Azhar dan Fadhli. Mereka membawa 4 lagu dalam bahasa India. Antaranya mereka menyanyikan lagi "Ooli Thedal" yang bermaksud "Mencari Cahaya". Mereka diberi tepukan gemuruh oleh pendengar dari kalangan masyarakat India, bahkan nyanyian terpaksa diulangkan atas permintaan. ADNS Bangi bertanya kepada beberapa orang India, tentang sebutan penasyid berkenaan. Mereka berkata adalah tepat. Pasukan ini pernah ke Chinnai India berlatih dan membuat pertunjukan.


Sementara itu pada Sabtu 24 April ini, setelah melaksanakan program-program di Bangi yang telah diatur, ADNS Bangi bersama Saudara Azizi bergegas ke Perumahan Pangsapuri Seri Kembangan Seksyen 7 Bandar Bukit Beruntung menyertai YB Saudara Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan menjalankan program kemasyarakatan di kawasan Pangsapuri tersebut bersama dengan pembantu-pembantunya dan masyarakat setempat. Turut hadir sama YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, juga hadir, Datin Paduka Alinah Ahmad Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Pada Hari "Pangsa Pura Bersih" ini berbagai-bagai kegiatan diadakan seperti peraduan melukis bagi kanak-kanak, sukan bagi kalangan belia dan dewasa serta pertandingan gubahan di kalangan ibu. Hadiah-hadiah pemenang dan hadiah kepada kalangan miskin dan warga mas disampaikan oleh YB Iskandar.


Sekian.

No comments:

Post a Comment