April 2, 2010

Kempen Tidak Menggunakan Beg Plastik

BBB, 11 R. Akhir = 27 Mac (Sabtu):


Kempen di atas ada hubungan erat dengan tuntutan kebersihan dan penjagaan alam sekitar. Beg plastik sememangnya memberi kemudahan kepada peniaga dan pengguna mengisi bahan-bahan belian dan jualan secara mudah dan murah. Pengguna tidak perlu membawa bekas bila membeli belah di pasar atau kedai, beg plastik dijadikan bekas pengisian barang. Tetapi tahukah anda beg plastik menjadi sampah yang paling utama menguturkan alam sekitar, kerana semudah dan semurah didapati, maka semudah tanpa indah juga dibuang di merata-rata tempat. Sebahagian sampah adalah merupakan barangan plastik yang dibuang di merata-merata dan tempat yang ditentukan. Lebih teruk dan memasalahkan kerana bahan plastik adalah tidak mesra alam. Ianya tahan dan sukar reput.

Oleh kerana beg dan bahan plastik memasalahkan dari segi kebersihan dan alam sekitar, maka Kerajaan Negeri Selangor di bawah Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar sejak awal tahun 2010 telah melancarakan kempen 'Hari Tanpa Plastik' bagi menyedarkan pengguna masalah yang ditimbulkan akibat dari penggunaan plastik secara berleluasa. Kempen 'Hari Tanpa Plastik' ini selari dengan 'Kempen Bangi Bersih' yang dilancarakan pada tahun lepas dan terus berjalan hingga kini. Oleh kerana kempen 'Hari Tanpa Plastik' selari dengan Kempen Kebersihan DUN Bangi, maka pihak ADUN turut sama berkempen 'Hari Tanpa Plastik' dan mengadakan acara pelancarannya di sini. Kempen ini adalah di bawah portfolio Bangi Bandar Bersih dan Portfolio Kesihatan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, MPKj dan PKNS. Pelancaran bertarikh di atas bertempat di Ruang Legar PKNS. Perasmiannya dilakukan oleh YB Elezabeth Wong Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar. Turut hadir ADUN Bangi selaku penganjur, Tuan Haji Zainal Abidin A'la Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Puan Asmah Pengarah Alam Sekitar Negeri Selangor, Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Encik Azmi Wakil dari PKNS, Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj dan En. Ahmad Sufi Munassir Pengarah Program.


Dalam ucapan perasmiannya YB Elezabeth mau masyarakat pengguna menukarkan tabiat menggunakan beg plastik yang merosakkan alam sekitar kepada beg mesra pengguna. Tiap pengguna hendaklah membiasakan diri membawa beg atau bekas bukan plastik bagi mengisi barang-barang belian. Dengan ini menjimatkan dari segi penggunaan beg dan tidak merosakkan alam sekitar.Kempen Tanpa Plastik pada setiap Sabtu adalah bagi mengingatkan pengguna tidak menggunakan beg plastik pada hari Sabtu, diharap tabiat ini akan dilakukan pada hari-hari yang lain. Menurut YB Elezabeth. Setelah tiga bulan kempen, kita dapat menjimatkan dari menggunakan beg plastik sebanyak RM2 juta. Diharap melalui kempen dapat mengurangkan penggunaan beg plastic sebanyak 20% dan mencapai 50% pada masa akan datang. Dari survey yang diadakan terhadap pengguna, 85% bersetuju tidak menggunakan beg plastik.


Sebelumnya ADUN Bangi dalam ucapan alu-aluannya berterima kasih di atas kehadiran YB Elezabeth Wong Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan alam sekitar merasmikan kempen.. Beliau mengingatkan Allah menciptakan alam dengan alam sekitar yang indah dari bumi menghijau, sungai mengalir jernih, laut bergulung memukul pantai, udara bersih dan mentari memancara yang memberi kehidupan segar kepada insan dan haiwan. Masalah kerosakan adalah diakibatkan oleh kerakusan manusia. Beliau memetik maksud dari ayat al-Quran:

"Telah berlaku kerosakan di darat dan dilaut akibat dilakukan oleh tangan-tangan manusia. Allah membalaskan kerana perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, agar mereka kembali insaf (al-Rum: 41)"

Perbuatan buruk manusia, termasuk merosakkan alam sekitar adalah bercanggah dengan naluri manusia yang memang suka kepada kebersihan. Tabiat buruk merosakkan alam sekitar adalah bercanggah dengan naluri dan tidak amanah dengan janji manusia terhadap Allah sebagaimana firman Allah bermaksud:

"Sesungguhnya kami menawarkan amanah kepada langit dan bumi serta gunung ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (al-Ahzab: 72)."


Sebab itu manusia seharusnya insaf, tidak melakukan kerosakan terhadap alam sekitar yang merupakan percanggahan terhadap naluri diri dan bercanggah terhadap amanah Allah yang menuntut manusia berbuat kebaikan.


Kita perlu berusaha menjadikan alam sekitar kita bersih dari kotoran, termasuk kotoran plastik. Kita seharusnya bertanggungjawab menyediakan alam sekitar yang bersih kepada diri kita, anak-anak dan generasi kita seterusnya agar mereka dapat sama menikmati alam sekitar yang bersih dan kesihatan yang baik.


Sempena pelancaran YB Elezabeth menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta mewarna dan pembahagian beg-beg mesra alam kepada pengunjung-pengunjung.


Sekian.

No comments:

Post a Comment