April 9, 2010

Sejarah Perkembangan Institusi Pendidikan Islam di Pantai Timur: Kesannya Pada Sosiobudaya Dan Kerajaan

Oleh: Dr. Shafie Abu Bakar – ADUN Bangi, Selangor

(Kertas ini dibentangkan di dalam Seminar Pendidikan Islam di Darul Bayan, Pinang Merah, Paka, Terengganu pada 19 R. Awal 1431 = 5 Mac 2010).

1. Pendahuluan

Maksud Pantai Timur, sebagaimana maklum, dari segi geografinya merujuk kepada Pantai Timur Semenanjung, iaitu Negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang. Majoriti penduduk bagi negeri-negeri ini dari kalangan orang Melayu.

Sejarah Perkembangan Institusi Pendidikan Islam

Dari segi pendekatannya dapat dilihat sejarahnya dari segi Zaman Tradisi, Zaman Persekolahan dan Kini dan Jangkaan pada masa hadapan.

Kesan

Sebagai natijah dari perkembangan Institusi Pendidikan Islam di Pantai Timur itu.

2. Latarbelakang

Ketiga-tiga negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah negeri-negeri tua di Semennanjung, sekurang-kurangnya tiga negeri wujud sezaman dengan Melaka, bahkan lebih awal.

Tetapi bukti keislaman dan terdapatnya institusi pendidikan terawalnya terdapat di Terengganu. Iaitu dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303M./702H. Ini bererti berkembangan Islam di sana berlaku sebelum dari tarikh ini.

Perkembangan Islam di Terengganu sezaman dengan tarikh pengislaman Pasai. Berlaku perdagangan antara kedua pihak. Terdapat perkuburan orang Pasai di Hulu Terengganu di kawasan di mana diketemui Batu Bersurat

3. Institusi Pendidikan Pada Peringkat Awal

Selepas perkembangan Islam, maka memerlukan kepada institusi pendidikan

3.1. Zaman Tradisi di Terengganu

Insitusi pendidikan terawal ialah kelahiran masjid dan surau sebagai tempat pendidikan. Di Hulu Terengganu sebagai tempat awal menerima Islam terdapat tempat yang dinamakan 'Langgar' yang merujuk kepada maksud surau atau tempat belajar agama. Nama langgar yang bermaksud sedemikian juga terdapat di Kedah.

3.2 Kewujudan ulama

Di Hulu Terengganu bukti kehadiran dan kewujudan ulama yang dapat dikesan pada peringkat awal ialah kehadiran Sharif Muhammad al-Baghdadi pada abad ke 16M. Dari keturunan ini melahirkan tokoh terkenal di Hulu Terengganu iaitu Syeikh Abdul Malik bin Abdullah (m. 1139/1726M.). Ulama` ini belajar di Makkah dan sepulangnya ke Terengganu beliau menetap dan membuka pengajaran di Pulau Manis, Kuala Terengganu, lantaran itu beliau dikenali dengan gelaran Tok Pulau Manis. Untuk kepentingan pengajaran di samping menggunakan kitab-kitab yang lain beliau mengarang beberapa buah kitab termasuklah Sharh Hikam Melayu, Kifayah dan Naql.

Beberapa pondok pengajian lahir selepas itu seperti di Beladau dan seorang ulama dari sini yang dikenal sebagai Abdul Jamal Beladau mengarang sebuah kitab yang diberi judul Raudatul 'Ulama'. Perkembangan pondok-pondok berlaku dengan agak banyak muilai awal abad ke 20 seperti di Sungai Rengas yang melahirkan ulama seperti Abdul Malik bin Isa dari turunan Tok Pulau Manis yang juga belajar di Makkah dan menjadi pembantu bagi Syeikh Dauid Patani di Makkah. Beliau banyak menyalin kitab-kitab jawi dan Arab yang disebarkan kepada pelajar Melayu di Makkah dan kepada mereka yang datang menunaikan fardu Haji. Dari pengajian ini melahirkan ulama, iaitu Haji Muhammad bin Abdul Malik (1837-1909) yang terkenal sebagai Tuan Kadhi, kerana bertugas sebagai Kadhi di Kuala Terengganu. Pondok-pondok lahir seperti di Losong Kuala Terengganu, Kuala Besut, Kampung Raja, Jerteh, Kuala Berang dan Sura Gate, Dungun.

3.3. Zaman Persekolahan

Kelahiran persekolahan, dimaksudkan di sini di Tanah Melayu, khususnya di negeri-negeri di Pantai Timur adalah berhubungan dengan gerakan pemodenan dari segi pendidikan seperti digerakkan oleh Muhammad Rashid Reda di Mesir. Ini mempengaruhi tokoh-tokoh ilmuan Tanah Melayu yang belajar di Mesir seperti Syeikh Tahir Jalaluddin yang merupakan tokoh pendidik di Tanah Melayu di samping Syed Syeikh al-Hadi. Pendirian sekolah oleh British juga mempengaruhi pendidikan keislaman yang mendirikan sekolah-sekolah.Lantaran itu lahir pada awal abad 20 sekolah-sekolah yang di kenali dengan Sekolah Arab seperti Sekolah al-Mashhur, Pulau Pinang, Al-Attas di Johor, Maktab Mahmud di Kedah, Sekolah al-Hadi di Melaka dan lain-lain. Maka di Terengganu pada peringkat awalnya lahir sekolah Arab Sultan Zainal Abidin sejak dari tahun 1925. Sekolah-sekolah sedemikian berkembang misalnya Sekolah Khairiah, Kuala Terengganu, Al-Falah Kemaman, Ittifaqiyyah Jerteh, Sultan Ismail Dungan dan lain-lain yang setiap jajahan mempunyai sekolah sedemikian. Satu fenomena baru kini lahir pengajian yang dikenali dengan Ma`had Tahfiz yang kini berpuluh buah terdapat di negeri Terengganu.

3.4 Pengajian Tinggi

Di Terengganu didirikan Pusat Pengajian Tinggi Islam pada 1990an yang diberi nama Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA). Ianya menampung peluang pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah Agama Menengah (Sekolah Arab) menyambung pengajian mereka ke sana, termasuk juga pelajar-pelajar dari Luar Terengganu. Kolej ini menawarkan pengajian bukan semata-mata bersifat keagamaan, tetapi kursus-kursus yang lain dari agama yang difikirkan penting seperti pengajian ekonomi, computer, jururawat dan sebagainya. Kolej ini bertukar menjadi Universiti Darul Iman yang fokusnya tidak semata-mata kepada pengajian agama.

4. Kelantan

Sebagaimana Terengganu, Kelantan adalah negeri yang kuat dengan keislaman, bahkan mutakhir lebih tinggi kesedaran dan pengaruh Islam dari Terengganu. Walaupun Kelantan tidak mempunyai bukti keislaman peringkat awal sekukuh Terengganu, tetapi negeri ini bersempadan dengan negeri Melayu yang agak tua dan kuat dengan agama, iaitu Patani. Iaitu negeri yang melahirkan ramai ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin Tuan Minal, Syeikh Nik Mat dan ramai lagi. Mereka mengarang banyak kitab dalam berbagai-bagai bidang. Pengaruh pengajian dan ketokohan ulama di Patani turut melempah ke negeri Kelantan, seperti juga ke Terengganu. Dari pengajian seperti di Patani dalam mana pelajar-pelajar dari Kelantan belajar di sana dan setengahnya kemudian menyambung pengajian di Makkah, maka turut lahir ulama-ulama terkenal sejak dari akhir abad ke 19 seperti Tuan Tabal (Haji Abdul Samad bin Mohd Salleh), Tuan Kutan (Muhammad Ali bin Abdul Ghafur), Ahmad bin Abdul Rahman dan Haji Mohd Yusof Tok Kenali.

4.1 Pengajian Pondok Di Kelantan

Hasil dari perkembangan Islam dan pendidikan, maka Kelantan menjadi salah sebuah negeri yang banyak dengan perkembangan pondok. Terdapat berpuluh-puluh buah pondok di negeri tersebut seperti Pondok Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Bunut Payong, Pondok Bachok dan sebagainya. Terdapat persatuan Pondook-Pondok negeri Kelantan. Pondok-pondok seperti ini mewarnai negeri Kelantan dengan nilai-nilai keagamaan dan lahir ramainya tokoh-tokoh agama di negeri tersebut.

4.2.Pengajian Sekolah

Seperti negeri-negeri lain,maka demikianlah juga Kelantan turut menerima perkembangan pendidikan yang bersifat sekolah. Sekolah-sekolah terkenal seperti Maahad al-Muhammadi Lelaki dan Maahad al-Muhammadi Perempuan di Kota Bharu, Kelantan, Sekolah Na`im lil-Banat di Pasir Puteh, Maahad Tumpat, Maahad Pasir Mas, Maahad Beris dan sebagainya. Turut berkembang pada peringkat mutakhir pengajian tahfiz.

Kini sejak 1 Mac 1983 pentadbiran sekolah-sekolah agama diletak dibawah Yayasan Islam Kelantan. Kini terdapat berpuluh buah pengajian yang terdiri dari Ma`had/Sekolah Agama Atas (14), Sekolah Menengah Agama Bantuan (45), Tadika (3). Sekolah-sekolah sedemikian menjadi pilihan pelajar-pelajar di samping sekolah-sekolah menengah biasa. Peluang melalui pengajian agama adalah sama yang memungkinkan mereka belajar sampai ke peringkat yang lebih tinggi. Pendidikan YIK menurut dua kurikulum secara serentak, iaitu kurikulum yang dinamakan `Bu'uth al-Azhar` yang pelajar-pelajar mengambil peperiksaan, PMRU, SMU, dan STAM, di samping itu kurikulum Kebangsaan pelajar YIK mengambil peperisaan PMR, SWPM, STAM dan STPM. Ramai dari pelajar-pelajar Kelantan menyambung pengajian ke institusi-institusi pengajian tinggi, di dalam bidang agama atau di dalam bidang umum, baik di dalam negeri atau luar Negara.

4.3.Pengajian Tinggi

Sebagaimana negeri Terengganu mendirikan pengajian tinggi agama yang dikenali dengan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kini berubah menjadi Universiti Darul Iman), maka di Kelantan juga didirikan pengajian Tinggi yang diberi nama Kolej Islam Antarabangsa bertaraf universiti sesuai dengan slogan "Membangun Bersama Islam". Menurut buku "Kelantan Menerajui Perubahan" tujuan penubuhan pengajian tinggi:

  • Bertujuan menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam.
  • Melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam.
  • Bertanggungjawab memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat.

5. Negeri Pahang

Pahang adalah salah sebuah negeri Melayu Tua. Pada zaman tradisi Sungai Pahang bermula dari Kualanya – Pekan dan Kuala Pahang hingga membawa ke Hulu Tembeling banyak menyimpan peristiwa sejarah. Pahang mempunyai pertalian dengan dunia luar seperti Temasik dan Jawa. Antara pengajian yang dapat dikesan berlaku peringkat awal ialah di Temerloh. Pada pertengahan abad ke 19 terkenal di Temerloh berlaku polimik antara Tuk Shihabuddin dengan Dato' Mengkarak. Datuk Shihabuddin mempertahankan aliran Sunni dari segi akidah, sedang Datuk Mengkarak berpegang dengan wahdatul Wujud. Terdapat tulisan-tulisan bertulis tangan yang menyerang pegangan wahdatul Wujud Datuk Mengkarak. Polimik berlaku bagai antara Hamzah Fansuri dengan Nuruddin al-Raniri, namun mereka berdua tidak sezaman.

Berhubung dengan kegiatan peringkat awal, khususnya pada akhir abad ke 19 dan awal abad 20 pemimpin-pemimpin rakyat Pahang lebih memberi tumpuan pada menentang penjajahan British yang mulai campur tangan di negeri itu. Penentangan yang menggunakan tektik serang dan undur, mereka banyak meminta dan mendapat bantuan dari negeri-negeri seperti Terengganu dan juga Kelantan. Jalan darat melalui Hulu Tembeling ke Hulu Terengganu menjadi jalan utama perhubungan. Dari maklumat pahlawan seperti Tok Gajah dan Mat Kilau tiba ke Hulu Terengganu dan Tok Gajah meninggal di Hulu Terengganu yang kuburnya masih kedapatan di sana. Rombongan Mat Kalau datang ke Kuala Terengganu dan dapat bantuan moral dan material, terutama dari Syed Abdul Rahman Tuan Paluh yang menjadi pembesar Terengganu dan amat anti penjajahan British itu. Mat Kilau dan rombongan juga pergi ke pusat-pusat pengajian di Terengganu seperti di Pengajian Tok Ku Tuan Paloh dan Pengajian di Sungai Rengas di Kuala Terengganu bagi mendapat pengajian dan menambahkan semangat juang.

Di samping pengajian, di Negeri Pahang juga terpupuk keislaman yang dikenali dengan 'Dikir Pahang' yang lagunya diambil dari Surat Barzanji dan gubahan-gubahan persendirian. Dikir (Zikir) Pahang merupakan satu kumpulan Dikir yang mungkin terdiri dari 10 orang yang mengungkapkan puisi Arab atau Melayu diiringi tepukan gendang besar (semacam kompang, tetapi besar). Mereka dijemput berdikir bagi menghibur pekerja-pekerja majlis perkahwinan, khatam dan sambutan-sambutan. Mereka berdikir dari selepas Isyak hingga ke Subuh. Pada zaman tradisi pengaruh Dikir Pahang sampai ke Terengganu, manakala lagu gamelan pula berkembang di istana Pahang dan Terengganu.

6. Pengajian Sekolah

Sebagaimana di negeri Terengganu dan Kelantan mempunyai pengaruh persekolahan yang pada awal lebih dikenali dengan Sekolah Arab dan Agama, maka demikianlah dengan Negeri Pahang, turut menerima pengaruh persekolahan yang demikian. Sekolah utama dan terawal selari dengan Sekolah Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu dan Ma`had Muhammadi di Kota Bharu ialah Maktab Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Maktab ini banyak mengeluarkan pemuka-pemuka agama di negeri itu.

Sekolah-sekolah menengah agama turut berkembang di Pahang. Contoh lahirnya sekolah Menengah Agama Ai-Ihsan, Pahang, Maahad as-Sultan Ahmad Shah al-Dini, Bandar Tun Razak, Jengka, Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, Jerantut, Sekolah Menegah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis, Sekolah Menengah Agama al-Khairiah, Temerloh, Sekolah Menengah Agama Batu Talam, Raub, Sekolah Menengah Agama Dong, Raub, Sekolah Menengah Agama Pelangai Bentong, Sekolah Menengah Agama Tembeling, Sekolah Menengah Agama Chenor, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kuantan, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Temerloh.

7. Pengajian Tinggi

Pahang mempunyai pengajian Tinggi Islam yang penting, iaitu Kampus Cawangan UIA di dalam bidang Perubatan dan Farmasi. Ianya merupakan asset yang penting bagi negeri tersebut dan Malaysia dari segi pendidikan Islam dalam bidang perubatan.

8. Kesan Pada Sosio-Budaya dan Kerajaan

Pada dasarnya ketiga-tiga negeri di Pantai Timur – Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah negeri Melayu yang mempunyai sistem pendidikan yang teratur. Masing-masing mempunyai sejarah dan latar pendidikan tersendiri, tetapi tidak terasing dari segi pengaruh mempengaruhi. Yang membezakan antara satu negeri dengan negeri yang lain dari segi pendidikan keislaman dan pengaruh ialah dari segi penekanan pendidikan dan amalannya di tengah masyarakat yang memberi kesan pula kepada budaya penghidupan dan politik pemerintahan.

8.1 Terengganu

Oleh kerana negeri ini lebih awal menerima Islam dan menggunakan tulisan jawi dan lebih awal juga dikenal pasti dengan ulama dan pendidikan, maka negeri ini mantap dari segi keislaman. Karangan dan pengajaran yang diasas ulama Terengganu dipelajari di pondok-pondok pengajian dan dipelajari di surau dan masjid, maka pengajaran Islam lebih kukuh. Abdullah Munshi tatkala berexpedisi ke Terengganu mencatat bahawa kadar celik huruf dan membaca adalah tinggi di negeri Terengganu. Tulisan jawi adalah popular digunakan di dalam pengajaran dan urusan kehidupan. Penduduk Terengganu begitu mahir membaca al-Quran dan melagukannya secara indah. Sultan Zainal Abidin III adalah juga seorang yang alim dan turut belajar dan mengajar. Belajar seperti dengan Haji Wan Muhammad Amin Duyung dan Haji Abdul Kadir Bukit Bayas. Oleh kerana kesedaran keislaman tinggi, maka kesedaran dari segi kecintaan terhadap negeri dan benci kepada penjajahan, terutama terhadap golongan yang dikatakan kafir adalah tinggi.

Apabila penjajah British mau menjadikan Terengganu sebagai naungan British mendapat tentangan dari Syed Abdul Rahman yang terkenal sebagai Tuan Paloh yang juga merupakan Shaykhul Islam negeri. Baginda Sultan juga turut menentang percubaan British campur tangan negeri Terengganu. Kesedaran Islam yang tinggi juga menyebabkan berlaku pertentangan pada tahun-tahun 1920an apabila British mau menguasai Terengganu dan berlaku pemberontakan yang dicetuskan oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Adalah dikatakan Negeri Terengganu tidak pernah jatuh kepada Kerajaan British secara mutlak dan keadaan in berterusan sehingga Negara mencapai kemerdekaan.

Perlu disebutkan benih keislaman yang ditanam melalui pengajian tradisi termasuk pondok, masjid, surau dan sekolah-sekolah agama mencetuskan kesedaran politik di kalangan rakyat yang mendapat pendidikan agama. Dalam masa perjuangan kemerdekaan dan pengisian kemerdekaan pemimpin-pemimpin politik di negeri Terengganu adalah merupakan lepasan pengajian sekolah-sekolah, terutama dari Sekolah Sultan Zainal Abidin dan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin. Hasil dari kesedaran keislaman yang tinggi di kalangan rakyat dan ahli politik yang dicetus oleh jiwa keislaman, maka kita dapati Terengganu adalah negeri terawal ditawan oleh Pas pada pilihanraya Umum 1959 dan sekali lagi ditawan Pas pada pilihanraya umum tahun 1999.

Sesungguhnya wujudnya institusi-institusi pengajian agama, rakyat mempraktikkan kehidupan secara agama Islam dan surau dan masjid dimakmurkan dengan pengajian, maka rakyatnya tinggi dengan kesedaran agama dan berjuang bagi menegakkan syiar agama Islam. Dalam menghadapi perkembangan moden, maka di Terengganu didirikan KUSZA, Kolej yang bertaraf universiti ini adalah menjadi faktor penting di dalam mencorakkan rakyat negeri ini bernilai dan bercirikan Islam. Cuma perubahan pimpinan politik negeri KUSZA telah diubah fungsinya kepada pengajian yang tidak sepenuhnya tertumpu pada menyemarakkan Islam. Maka dari sudut ini dan kepimpinan politik yang memerintah Terengganu kini, tidak berminat dengan perjuangan keiaslaman, maka mungkin terbantut sedikit dari segi kelancaran pendidikan dan dakwah keislaman.

8.2 Negeri Kelantan

Sebagai sebuah negeri yang pada awalnya dicetus kesedaran ulama, maka negeri yang utuh dengan budaya tempatan ini menjadi kuat dengan nilai-nilai keislaman. Sebab itu negeri Kelantan terkenal dengan pengajian pondok dan sekoah-sekolah bercirikan Islam atau dikenali sebagai sekolah agama. Dengan pengaruh keislaman yang tinggi, Kelantan mengatasi Terengganu dari komitmen perjuangan keislaman. Kelantan diperintah oleh Pas sudah 22 tahun. Rakyat tinggi dengan komitment keislaman, walaupun pada satu masa Pas yang mempunyai majoriti satu undi, tetapi calon-calon Pas tetap tidak tergugat. Dari perjuangan kemerdekaan juga kita lihat apabila British mau mengenakan cukai kepada penduduk negeri, maka pemberont berlaku dibawah pimpinan Pahlawan Tok Janggut. Hingga kini Kelantan, walaupun digugat dari berbagai sudut dengan berbagai ancaman politik, maka negeri itu tetap kukuh dengan ciri dan nilai keislaman.

8.3 Negeri Pahang

Pahang dapat dikatakan negeri yang kurang menonjol dari segi keagamaan, berbanding dengan negeri Terengganu dan Kelantan, sebab itu pengaruh politik keislaman di negeri itu kurang menonjol. Walaupun Pahang mempunyai rangkaian sekolah menengah agama, tetapi pengendalian dan pendekatan ke arah semangat juang keislaman agak rendah. Walau bagaimana politik keislaman diharap pada satu masa akan berkembang. Satu keistimewaan di negeri Pahang yang juga pemimpin mempunyai kesedaran agama dan kasih sayang terhadap negeri, maka negeri ini banyak melahirkan tokoh-tokoh perjuangan tanah air seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan Tok Gajah. Begitu juga dengan tokoh-tokoh politik tanahair banyak lahir dari sini. Walau bagaimana dengan fenomina politik terbaru, pengaruh politik keislaman turut tumbuh dan bercambah di Negeri Pahang. Kita mengharapkan dengan pengajian-pengajian keislaman pada peringkat tinggi dan wujudnya Fakulti Perubatan dari UIAM, maka pengaruh keislaman dan tradisi intelektual keislaman berkembang di Pahang.

9. Rumusan

Antara rumusan yang dapat diambil dari perbincangan di atas ialah:

Semua negeri di Pantai Timur Semenanjung mempunyai tradisi keislaman dan keilmuan yang berasaskan keislaman serta surau dan masjid digunakan dengan baik bagi kegiatan ibadat dan kemasyarakatan, lantaran itu pengaruh Islam menghunjam kukuh di dada masyarakat umat Islam.

Wujudnya pengajian tradisi dan institusi agama mencirikan sesebuah negeri secara mendalam dengan nilai Islam. Misalnya Negeri Terengganu lebih awal dan kukuh dengan nilai-nilai keislaman, tetapi penekanan dari segi pendidikan dan keilmuan Islam di Negeri Kelantan, kelihatan negeri tersebut kini mendahului dari Negeri Terengganu dan Pahang.

Hasil dari pegangan keislaman yang kukuh memupuk semangat jihad di kalangan mujahidin menentang penjajahan. Ini berlaku di ketiga-tiga negeri sama ada di Terengganu, Kelantan dan Pahang. Pahang dari segi jihad menentang penjajahan British lebih kehadapan. Perjuangan jihad menentang penjajahan ini dipimpin oleh golongan ulama dan yang faham dengan agama.
Dengan wujudnya institusi pendidikan Islam di negeri-negeri, terutama Terengganu dan Kelantan, melahirkan ulama tempatan yang dapat membimbing masyarakatnya dengan nilai-nilai keislaman, bahkan sebahagian dari ulama-ulama ini mengarang karangan-karangan keagamaan yang menjadi panduan kepada penduduk setempat dan di tempat-tempat yang lain.
Dengan kuatnya pengaruh pendidikan Islam melahirkan pemimpin-pemimpin berjiwa Islam dan masyarakat berjiwa Islam, sebab itu mereka dapat menguasai dan memerintah negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, melalui kemenangan parti yang memperjuangkan Islam.
Pendidikan dan dakwah keislaman hendaklah dipertingkatkan agar pejuang-pejuang parti keIslaman menguasai politik dan pemerintahan dan mewarnai pentadbiran dengan nilai-nilai keislaman.
Kerjasama antara negeri, kepimpinan dan pendidikan hendaklah diadakan berterusan bagi menyemarakkan negeri-negeri dengan nilai-nilai Keislaman dan dikuasai oleh kepimpinan Islam.
Sistem pendidikan, kurikulum dan pengajaran hendaklah diselaras dan dipertingkatkan bagi memberi kesan yang lebih dari segi pengajaran dan penanaman nilai-nilai keislaman.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara tradisi dan terkini hendak sama diguna di dalam menyampaikan pengajaran keislaman
Institusi masjid dan surau hendaklah diimarah dan digunakan sebaik dan semaksima yang mungkin bagi menyebarluaskan pengajaran dan pendidikan Islam di tengah masyarakat.

10. Penutup

Institusi pendidikan keislaman janganlah dilihat sebagai satu bidang terasing dan tersendiri di dalam memupuk dan memperjuangkan keislaman, tetapi ianya adalah 'part and parcel' sebahagian dari keseluruhan di dalam membina masyarakat umat dan Negara Islam. Bahagian-bahagian yang lain hendaklah diperjuangkan sama dalam menegakkan Islam. Ini termasuklah bidang ekonomi, politik, sosial, budaya dan lain-lain.

Wallahu'alam.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,

17 Rabiul Awwal 1431
03 Mac 2010.

No comments:

Post a Comment