April 12, 2010

Pelancaran Tuisyen Rakyat Dan Bengkel 'Smart Learning'

Bandar Baru Bangi,25-26 R. Akhir = 10-11 April (Sabtu-Ahad):


DUN Bangi memang memberi perhatian terhadap pelajaran. Ini membuktikan kesungguhan kita memprojekkan Bangi Bandar Ilmu. Usaha pihak Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan tuisyen percuma di bawah Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan adalah disokong. Pada tahun 2009 pihak lajnah pendidikan melalui usaha Puan Arbaisyah dan Puan Sakinah pihak DUN Bangi berjaya memberi tuisyen kepada 110 orang pelajar miskin menerusi empat tempat, iaitu di Sungai Ramal Dalam dan Luar, West Country dan Pekan Bangi. Perbandingan hasil keptusan SPM 2009 dengan pencapaian pelajar berkenaanpada 2008 menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan. Dan peningkatan pelajar-pelajar bagi mengikuti tuisyen pada tahun 2010 makin bertambah.


Hari ini Sabtu (10 April) adalah hari pelancaran tuisyen Rakyat bagi tahun yang kedua (2010) bertempat di Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi bermula dari jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari. ADUN memuji di atas kejayaan pelajar-pelajar dan meningkatnya keputusan matapelajaran, khusus bagi mata pelajaran yang dibimbing oleh guru-guru tuisyen. Beliau berharap guru-guru yang mengajar lebih bersungguh dan pelajar-pelajar lebih rajin. Dari pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang dilalui memantapkan guru-guru mengajar dan anak-anak yang belajar. ADUN Bangi berharap Kelas Tuisyen dari DUN Bangi menjadi kelas-kelas tuisyen yang terbaik dan mengeluarkan pelajar-pelajar cemerlang. Pihak pengurus tuisyen diharap dapat mengambil profil semua pelajar yang mengikuti tuisyen bagi meneruskan hubungan dengan membantu mereka di dalam pelajaran dan membimbing memilih pengajian dan kursus pada peringkat pengajian tinggi dan juga di dalam memilih kerjaya.

Pada pagi majlis yang dihadiri oleh ibu bapa ini disampaikan hadiah dan cendera hati kepada pelajar-pelajar berjaya, termasuklah Adik Fatin Asyiqin bin Abdul Hamid pelajar tuisyen yang berjaya mendapat 7 A di bawah DUN Bangi. Mereka juga diberi motivasi bagi panduan pelajar-pelajar di dalam pelajaran dan kerjaya pada masa hadapan.


Majlis yang hampir sama hari ini (11 April) satu majlis yang dikenali dengan Bengkel Smart Learning dilancarkan juga oleh ADUN Bangi. Pelajar yang hadir ke Smart Learning adalah dari Dengkel, Bangi, Kajang dan Balakong. Jumlah mereka adalah lebih kurang 300 orang. Tempat yang dipilih adalah di ODT di Institut Malaysia-Perancis. Pakar motivasi bagi smart learning disampaikan oleh En. Osman bin Affan. Sebelum daripada merasmikan Bengkel Smart Learning ADUN Bangi mengucapkan syabas kepada pelajar-pelajar yang datang dari empat tempat berkenaan. Beliau percaya hasil dari peningkatan pencapaian pelajar-pelajar tahun lepas menambah minat pelajar-pelajar mengikuti tuisyen. Beliau berharap pada masa hadapan dapat diperluaskan mata pelajaran yang dibimbing dan lebih banyak kelas yang dianjurkan. Beliau berharap melalui bengkel pelajar dapat mengikuti pelajaran lebih smart dan juga mendapat bimbingan dari segi pemilihan kursus.


ADUN Bangi juga mahu pelajar-pelajar di Selangor, khususnya yang dibimbing meningkat dari segi prestasi dan muncul antara pelajar terbaik dalam peperiksaan SPM akan datang dan mengharapkan ramai daripada mereka dapat menyambung pengajian pada peringkat tinggi, iaitu di universiti-universiti. Kerajaan sedia membantu pelajar-pelajar cemerlang dengan menyediakan pelbagai insentif seperti hadiah pelajar masuk universiti dan menyediakan pinjaman atau biasiswa pengajian di universiti. Melalui bengkel pada hari ini pelajar dibimbing dari segi matlamat pembelajaran, teknik memori dan gaya belajar yang dibimbing oleh Encik Osman bin Affan, Pakar Motivasi.


No comments:

Post a Comment