Jam 1.00 hari ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Sultan Selangor merasmikan Masjid Manba'il Ulum Cheras Jaya. Dalam Ucapan Perasmian Baginda bersyukur dapat hadir merasmikan Masjid Manba'il Ulum yang tersergam Indah. Titah Baginda Masjid amat penting bagi umat Islam beribadah, belajar, mengadakan kegiatan kemasyarakatan dan menghubung silaturrahim antara sesama umat Islam. Sebaliknya Baginda tidak mau masjid dijadikan tempat berdemonstrasi dan perkara negatif yang lain. Baginda juga mau pegawai-pegawai masjid patuh pada aturan, tidak membenarkan mereka yang tidak bertauliah mengajar dan berceramah serta membawa fahaman yang bercanggah dan boleh membawa pecah belah masyarakat. Baginda mengharapkan pegawai-pegawai masjid menjaga masjid yang indah dengan baik seperti menjaga kebersihan dan mengekalkan keindahan kawasan sehingga kekal menarik. Menurut Baginda Kerajaan mengeluarkan peruntukan berjuta ringgit, sebab itu hargailah Masjid dan makmurkanlah Masjid dengan berbagai-bagai kegiatan yang bermanfaat.
Sementara itu Dato' Haji Mohamed Khusrin bin Haji Munawi Pengarah JAIS, ketika merafak sembah dan menyampaikan ucapan alu-aluan menjunjung kasih di atas kesudian DYMM Tuanku Sultan merasmikan Masjid Manba`il Ulum pada tengahari tersebut.
Menurut beliau Masjid Manba'il Ulum bermula dari sebuah Madrasah yang didirikan pada tahun 1987 yang ketika itu berharga RM38,000, iaitu hasil sumbangan dari penduduk di Cheras Jaya dan pada tahun 1995 dinaik taraf membolehkan Surau Manba`il Ulum didirikan sembahyang Jumaat. Pertambahan penduduk dari taman-taman perumahan yang wujud memerlukan sebuah masjid.
Masjid yang baru dirikan tidak jauh dari tapak surau lama, iaitu terletak di Batu 11, Taman Cheras Jaya di atas tanah Lot 27910, seluas 2.6 ekar. Pembinaannya bermula 12.12.2004 dan penggunaannya bermula dari 28.8.2006 yang dapat memuatkan jamaah seramai 2,500 orang. Harga pembinaannya ialah RM5,331,684.28.
Pada majlis ini DYMM Tuanku Sultan diiringi oleh Tan Si Dato' Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Pembesar-Pembesar Negeri dan Daerah Pengarah Jais dan pegawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid serta rakyat merasmikan Masjid dan menandatangani plag perasmian serta menunaikan sembahyang Jumaat bersama rakyat jelata. Sembahyang Jumaat diimami oleh Sahibus-Samahah Dato` Seri Utama Diraja Haji Tamyiz Mufti Kerajaan Negeri Selangor yang juga membaca khutbah.
Pengerusi Pertama Madrasah Manba'il Ulum ialah Tuan Syed Abu Dzahir. Beliaulah yang memilih nama Madrasah pada permulaan dibangunkan dengan nama Madrasah Manba`il Ulum yang bermaksud Tempat Pancaran Ilmu. Kini Masjid Manba'il Ulum dipimpin oleh sebuah Ahli Jawatankuasa yang dipimpin oleh Nazir yang dilantik, iaitu Tuan Haji Azman Idris. Imam I ialah Ustaz Ahmad Fauzi bin Dahalan, Imam II Tuan Haji Md Nah bin Abdullah dan Imam III Ustaz Ahmad Nawai bin Sabaruddin. Bilal I Tuan Haji Mohd Nasri bin Abdul Hamid, Bilal II Ustaz Ahmad Faiz Amini bin Salleh, manakala Siak I En. Mohd Yusoff bin Mohamad dan Siak II En. Eman bin Hj. Sa'arani.
Kita berharap Masjid Manba'il Ulum terus dimakmurkan dengan kegiatan ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan – Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment