April 19, 2010

Hari Takrim 2009 Sekolah Menengah Sri Al-Amin, Bangi

Sungai Tangkas, 2 Jamadil Awal = 17 April (Sabtu):


Hari ini Sekolah Menengah Sri Al-Amin Sungai Tangkas, Bangi mengadakan Hari Takrim bagi menghargai dan memuliakan pelajar cemerlang. Majlis dihadiri ADNS Bangi, Ir Amirul Faizi bin Abdul Wahab Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah, Ustaz Megat Mohd Amin bin Megat Mohd Nor Pengerusi Lembaga Muslih, Dr. Badrul bin Ahmad Pengerusi PIBG Sekolah, Puan Rohaida binti Jamaluddin Pengetua Sekolah Sri Al-Amin, Puan Nurashikin Mohd Tahir Pengarah Hari Takrim dan ibu bapa.


Berucap bagi mengalu-ngalukan hadirin Pengetua memberitahu bahawa tema bagi Hari Takrim ialah "Menjunjung Keunggulan Ilmu Menyanjung keindahan Akhlak", yang mencerminkan matlamat pendidikan Sekolah Sri Al-Amin yang menekankan kecemerlangan ilmu kepada pelajar, tetapi dalam masa yang sama amat menekankan akhlak. Penyanjungan dan penghargaan diberi kepada pelajar dari segi kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan akhlak dari semua kelas sebagai insentif agar mereka lebih rajin belajar.


ADNS Bangi dimaklumkan Sekolah Sri al-Amin Sungai Tangkas, Bangi ini merupakan salah satu dari 14 buah Sekolah Menengah seumpamanya di seluruh Negara, manakala 20 buah lagi adalah Sekolah rendah yang terdapat di seluruh Negara.


ADNS Bangi memuji Lembaga Tertinggi dengan sokongan AJK PIBG dan Guru-Guru yang mampu menyediakan pendidikan pengajian alternative bagi menampung kekurangan tempat bagi pelajar-pelajar Sekolah rendah menyambung pengajian mereka ke Sekolah yang menekankan pendidikan Islam disamping kecemerlangan pelajaran akademik. Menurut ADNS Bangi, di Selangor ada 207 sekolah Kafa atau Kafai dengan pelajar seramai 130,000 orang. Ramai yang lulus peperiksaan pada peringkat Mumtaz dan jayyid jiddan, walaupun ada 23 sekolah Agama Menengah kerajaan negeri, tetapi ramai pelajar tidak mendapat tempat yang memangnya amat terhad. Adalah difahamkan hanya satu daripada 8 pelajar cemerlang yang dapat menyambung pengajian di Sekolah Agama Menengah. Ini bererti ramai pelajar tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Islam yang menjadi pilihan mereka dan pilihan ibu bapa. Di dalam hal ini ADNS mengharapkan kepada Lembaga Pentadbir Sekolah Al-Amin menambah pengajian yang sedia ada agar lebih ramai pelajar dapat menyambung pengajian.


Salah satu cara memperbanyakkan pengajian Sekolah agama menengah ialah kerajaan menggalakkan pembukaan Sekolah menengah agama swasta dengan menggunakan kurikulum yang dipersetujui dengan dibantu dan dipantau mutu dan perkembangan oleh pihak Kerajaan. Kepada pihak Lembaga Pengelola Sekolah Al-Amin wajar memperluaskan tawaran pengajian bukan saja pada peringkat persekolahan – rendah dan menengah, tetapi wajar juga memikirkan kemungkinan menawarkan pengajian pada peringkat tiggi hingga ke peringkat kolej atau kolej universiti. Dengan melengkapkan tawaran pengajian pada semua peringkat dapat menambah peluang bagi pelajar-pelajar menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.


Majlis dilengkapkan dengan penyampaian-penyampaian sijil dan anugerah kepada pelajar-pelajar cemerlang dari semua kelas seperti Al-Farabi, Ibn Tufail, Ibn Khaldun,, Ibn Sina, Ibn Taimiyah, Al-Biruni, Al-Jabar, At-Tabari, Ar-Razi, Al-Kindi dan Al-Ghazali.. Nama-nama kelas ini adalah diambil dari tokoh-tokoh ilmuan yang terkenal di dalam bidang masing-masing yang pernah menyemarkkan keilmuan Islam di dalam peradaban dan tamadun Islam. Adalah diharapkan dengan memahami tokoh-tokoh berkenaan memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar di dalam mempelajari berbagai ilmu. Antara pelajar ada mencapai keputusan 12A, 4B iaitu Hanis Binti Mohamad Salleh dari Kelas: 1 Al-Biruni, 12A, 3B Nur Bashirah bt. Abu Hassan Shaari dari Kelas 2 Ar-Razi, 11A, 4B Nurul Ruwaidah bt. Saadon dari Kelas 2 Al-Tabari. 11A, 5B Haifa Nasuha bt. Mohd Nazlan dari Kelas 2 Al-Kindi dan 10A, 4B Sundus bt Ahmad Faridz dari Kelas Dua Al-Jabbar. Nampaknya mereka yang mencapai akademik terbaik semuanya terdiri dari pelajar-pelajar al-banat.Diharap menjadi cabaran kepada pelajar-pelajar al-banin untuk lebih bersungguh lagi.




Selamat Mengadakan Hari Takrim 2009. Tahniah di atas pencapaian pelajar dan Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi. Didoakan kepada Allah semoga terus maju jaya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment