April 15, 2010

Sidang Dewan Negeri Selangor Dipendekkan, Tidak Jejas Mutu Persidangan







Shah Alam, 29 R.Akhir = 14 April (Rabu):


Sidang Dewan Negeri Selangor dipendekkan dari 6 hari kepada tiga hari saja, kerana ahli-ahli Dewan baik dari pihak kerajaan, mahupun dari pihak pembangkang mahu memberi tumpuan untuk turun berkempen bagi pilihanraya kecil Hulu Selangor. Sidang tamat pada jam 7.00 petang ini.

Walaupun sidang dipendekkan ianya tidak menjejaskan mutu perbahasan dan persidangan. Pada hari pertama pagi 12 April (Isnin) berlangsung Majlis Perasmian Sidang yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibn al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di pekarangan Bangunan SSAAS berdepan bangunan Dewan Negeri diikuti Penyampaian Titah baginda bagi pembukaan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kedua Belas Tahun 2010. Titah Duli Yang Maha Mulia yang padat dan bernas menjadi panduan bagi persidangan. Hari kedua bermula dengan ucapan Usul Terima Kasih di atas Titah Tuanku (selepas menjawab soalan) yang diwakili dan disampaiakn oleh YB Saudara Azmin Ali dan dikuti pembahasan usul, sokongan dan terima kasih dari ahli-ahli dewan sama ada dari pihak kerajaan, maupun dari pihak pembangkang. Ahli Dewan Negeri Bangi berpeluang sama turut membahaskan usul ucapan terima kasih dan menyokong. Jika pada hari-hari sidang biasa, Tuan Speaker memberi peluang kepada semua ahli Dewan baik dari pihak kerajaan, maupun dari pembangkang berucap dan mengeluarkan pendapat sehingga dua hari, maka pada kali ini peluang dibuka selama satu hari saja dari segi pembahasan dan dijawab oleh pihak MMKN (Exco) berkait dengan persoalan-persoalan yang ditimbulkan oleh Dewan. Untuk memberi ruang kepada ucapan dan jawapan, maka waktu sidang ditambah hingga kepada jam 9.00 malam.

~YB Lee Kim Sin (ADN Kajang), YB Dr Shafie Abu Bakar (ADN Bangi) dan YB Ng Suee Lim (ADN Sekinchan)~

Sebagaimana biasa pada sebelah pagi setiap hari bersidang selepas dibuka dengan doa, dimulakan dengan pertanyaan-pertanyaan berdasarkan kepada soalan-soalan yang dihantar oleh ahli Dewan. Pertanyaan dan jawapan yang memakan masa satu setengah jam ini biasanya sempat untuk dijawab sebanyak lebih kurang sepuluh soalan sahaja. Contohnya hari ini hanya sebanyak lapan soalan sahaja yang sempat dijawab. Bagi hari kedua ini (Selasa 13 April) Ahli Dewan Negeri (AND) Bangi berkesempatan membuat dua soalan tambahan, iaitu mengenai peluang membuat lawatan kerja ke luar negeri bagi ADN-ADN sebagaimana MMKN dan soalan tambahan mengenai pelaburan di negeri Selangor. Pada pagi hari ini sebelum perbahasan dimaklumkan mengenai kertas-kertas mesyuarat dan laporan-laporan beberapa jabatan kepada Dewan.

Pada hari ketiga (Rabu) sebagaimana biasa bermula dengan jawapan-jawapan terhadap soalan-soalan lisan yang dihantar oleh ADN-ADN, termasuk sebuah soalan dari ADN Bangi mengenai pendidikan pra-sekolah oleh JAIS yang dijawab oleh YB Gombak Setia dan ADN Bangi turut membuat soalan tambahan. Sebanyak 8 soalan juga yang dapat dijawab pada pagi ini, menjadikan semua soalan dengan semalam hanya 16 soalan sempat dijawab bagi sidang kali ini (Soalan yang lain akan dijawab secara bertulis). Selepas ini dibentangkan kertas peruntukan tambahan bagi tahun ini bagi menampung subsidi air kepada pengguna-pengguna di negeri Selangor. Peruntukan tambahan ini dibahaskan oleh beberapa Ahli Dewan sebelum diterima.

Pada sebelah petang hari ketiga ini, tumpuan sidang ialah terhadap usul-usul. Terdapat tiga usul dikemukakan yang dua daripadanya dari ADN Lembah Kelang (YB Shaari Sungib), iaitu menuntut pemantauan terhadap 24 buah Subsidiari Kerajaan Negeri Selangor menurut Warta Kerajaan (P.U.(A)443) yang dengannya jumlah semua subsidiari Kerajaan Negeri 73. Setelah dibahas oleh beberapa ADN, diterima, tetapi usul beliau yang kedua kerana tidak jelas mengenai status tanah UKRC (Ulu Klang Recreation Club), maka usul beliau ditangguh untuk dibuat kepastian dan mengubahsuai usul jika berkenaan, manakala usul ketiga dari ADN Sekinchan (YB Ng Suee Lim) menurutnya mengenai penyelewengan pengagihan kuota subsidi benih padi oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Setelah dibentang dan dibahaskan oleh beberapa ADN, usul beliau diterima.

Pebahasan dirumus dan dijawab oleh YAB Menteri Besar. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang mengambil bahagian dalam sidang dan pihak jabatan-jabatan yang mengikuti persidangan. Persidangan disifat beliau amat bermutu.

Terima kasih

No comments:

Post a Comment