April 23, 2010

Kalumpang Dan Gumut: Apa Erti?

Anekdot:
Pada petang Ahad 18 April, kami tiba di Kuala Kubu dengan tujuan menghadiri jemputan Pelancaran Geleri Seni Dan Sastera, di Kuala Kubu Baru. Sepetang kami mencari dan bertanya tempat yang akan diadakan Pelancaran pada malam itu, tapi tak ketemu. Setelah sembahyang Asar di Masjid Kuala Kubu, kami ke Markas Serdang (bersama 3 UPU yang lain) di Kalumpang. Di Markas ini kami dapat kerjasama dengan Cikgu Soroso. Kami dibawa mengenali kawasan operasi bagi Kawasan Serdang dari Kalumpang membawalah ke Gumut menaiki kereta. Dalam perjalanan, sebagai orang tempatan beliau memperkenalkan kawasan, kawasan putih, hitam dan juga kelabu. Latar belakang penduduk. Beliau mengenali setiap penduduk dan menerangkan kecenderungan mereka. Ini bagi memudah dan menjadi panduan untuk kami meraih undi.
Dalam perjalanan aku bertanya, "Cikgu memang asal orang di sini ?"
"Memang saya orang sini dan terlibat dalam gerakan parti sejak berumur 15 tahun," jawabnya.
"Tidak ada tekanan dari pihak atasan?" tanyaku. "Ada", katanya, "Banyak kali ditukar, tapi dikeliling kawasan yang membolehkan saya berulang dari rumah," katanya.
"Kita tidak boleh tunjuk rasa takut tentang kebenaran perjuangan", tambahnya.
"Oleh kerana kita cekal, akhirnya mereka tak kisah," tegasnya.
"Cikgu, Apa erti Kalumpang ?," tanyaku.
Entahlah jawabnya, "Ada dikatakan nama bagi pokok buah," jawabnya.
"Ada pokok itu di sini ?"tanyaku lagi.
"Cakap orang, tapi saya tidak melihat pokoknya," jawabnya.

Dalam perjalanan, kami sampai ke Kampong Gumut yang papan tanda bagi nama kampong tersebut berada di tepi jalan, tapi kampungnya tersorot masuk ke dalam.
Sambil beliau menerangkan tentang latar dan kependudukan serta kecenderungan penduduk, sekali lagi aku bertanya.
"Apa pula makna Gumut yang jadi nama kampong di sini?"
Beliau menjawab, "Nama ini kami warisi dan tidak tahu maknanya,"
Keinginan untuk mengetahui erti Kalumpang dan Gumut melekat di mindaku. Apabila aku pulang ke Bangi. Ketika di pejabat aku membuka Kamus Dewan bagi mengetahui erti kedua-dua istilah tersebut.
Dari Kamus Dewan Edisi Keempat, 2007, halaman 715 dan 722, aku dapati istilah:

Kelompang bererti kulit telur yang tidak berisi, atau kosong (tidak berisi) juga bererti kecewa, hampa.
Kelompangan bererti keadaan kosong, kekosongan.
Kelempung, kelumpung juga bererti sejenis tumbuhan.
Aku membuat kesimpulan Kalumpang adalah seerti di atas, berlaku perubahan sebutan kerana dipengaruhi dialek tempatan – semuanya memaksudkan kepada sejenis tumbuhan.
Aku juga mencari dari segi istilah 'Gumut'. Tiada kedapatan dalam Kamus Dewan. Istilah yang ada ialah:
Gomok bereerti Katak yang buncit atau Kuih yang dibuat dari jagung, kacang atau beras (halaman 480).
Gumuk, gumukan bererti Bukit Kecil.
Sememangnya Kampung Gumut ini berlatarbelakangkan bukit-bukit kecil yang mensempadankan negeri Selangor dengan Perak.
Aku mengambil kesimpulan istilah Gumut adalah berasal dari Gumuk, terjadi perubahan kepada sebutan Gumuk kepada Gumut oleh pengaruh dialek tempatan.

Pada tengahari 21 April 2010 (Rabu), aku berada lagi di Pekan Sijantung, Kalumpang. Sementara menunggu YAB Menteri Besar Selangor tiba bagi menyampaikan peruntukan bagi Sekolah-Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK C) di sini. kami bercakap-cakap dengan Speaker Dewan Negeri Selangor, penduduk tempatan, Guru-Guru Besar atau Pengerusi-Pengerusi PIBG atau Wakil-Wakil mereka. Dalam percakapan timbul lagi tentang istilah Kalumpang.

Menurut Tuan Speaker, orang-orang Cina di Kalumpang, lebih suka menyebut Kalumpang dengan istilah 'Lumpang' sahaja, kerana lumpang (Lompang) memberi erti Singa dan juga Keemasan. Sedangkan Lumpang atau Lompang bagi istilah bahasa Melayu ialah Kosong atau sesuatu yang kosong berada di antara yang lain.
Secara bergurau aku katakana.
"Kalumpang yang selama ini lompang (kosong) dari bantuan (SRJK C), hari ini dilompangi (singa dan keemasan) dengan bantuan (peruntukan bagi Sekolah-sekolah) dari Kerajaan Pakatan Rakyat.

Buah ketapang buah gucil
Sama-sama masam rasanya
Kalumpang dan Gumut terpencil
Terkenal dengan pilihanraya.

Dari Bangi ke Kuala Kubu
Dua jam masa perjalanan
Kami ke mari berhala tuju
Sokongilah Kerajaan Pakatan

Di Masjid Kuala Kubu kami berhenti
Rehat seketika selepas sembahnyang
Dua tahun Pakatan Rakyat membukti
Adil, telus, demokratk, berkebajikan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment