April 5, 2010

Ziarah Simpati Pada Anak-Anak Yatim Piatu Dikasihi

Bandar Baru Bangi, 18 R. Akhir = 03 April (Sabtu):


Tengahari hari ini menerima maklumat dari Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan PAS Serdang yang dimaklumi Sdr. Shahrum Ketua Cawangan PAS Taman Jasmin, bahawa dua adik beradik yatim piatu (dua ibu bapa mereka, iaitu En. Mohd Amli bin Hussein Bendahari PAS Cawangan Jasmin dan isterinya Puan Noora bt. Mohd Zawi - ahli PAS cawangan dan anak mereka Hakimi Ahmad meninggal dunia dalam kemalangan kereta di jalan antara Gua Musang dan Kuala Kerai semasa pulang ke Bangi 21 Mac), dua anak arwah suami isteri telah dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Jasmin hari ini. Tapi berita yang menambah sayu kita dimaklumi bahawa satu-satu anak perempuan arwah suami isteri berkenaan yang koma selepas kemalangan di hospital Kuala Krai, kelmarin 2 April (Jumaat) turut meninggal. Al-Fatihah.


Hari ini (3 April – Sabtu) dua beradik iaitu Amirul Shafiq dan adik bongsunya Amirul Afiq dibawa pulang oleh keluarga ke rumah mereka di Taman Jasmin, tetapi seorang abang mereka berdua, iaitu Amirul Akmal, masih berada di Kelantan, kerana memerlukan rawatan susulan di hospital di sana.



Berikut dari maklumat berkenaan, ADUN memaklumkan kepada Saudara Haji Rushdi dan Sdr. Shahrum untuk mengatur kunjungan kasih dan simpati terhadap anak-anak yatim berkenaan. Keputusan diambil bagi mengadakan 'Ziarah Kasih dan Simpati' pada hari ini (4 April) selepas menghadiri Perasmian Mesyuarat Agung Muslimat Pas Serdang). Saudara Haji Rushdi membuat persediaan dari segi jumlah kehadiran dan apa-apa yang perlu dibawa.


Kami berhimpun di Surau Taman Jasmin tengahari ini dan bertolak dengan sepuluh orang pengunjung ke rumah arwah En Mohd. Amli yang tidak begitu jauh dari surau. Sesampai kami dapati ramai sanak saudara berada di rumah. Mungkin mereka dimaklumkan mengenai kedatangan kami. Di rumah kunjungan, kami diperkenalkan dengan ibu bapa kepada isteri Mohd Amli, iaitu En. Mohd Zawi bin Yong dan isterinya, iaitu Puan Sharifah binti Amardin yang tinggal di Batu 40, Lampung tidak jauh dari Kuala Kangsar. Ini bererti arwah Puan Noora berasal dari Perak, manakala suaminya berasal dari Kelantan. Turut bersama ialah beberapa bapa saudara dan ibu-ibu saudara bagi anak-anak arwah Mohd Amli. Seorang daripada mereka (En. Azman bin Mohd, Zawi) akan tinggal di rumah arwah untuk menjaga anak-anak arwah En. Mohd Amli dan Puan Noora.



Kedua-dua anak yang dibawa pulang ke sini, iaitu Shafiq dan Afiq pada masa kami tiba keluar. Kami menunggu mereka pulang dan menemui dan membelai mereka. Pada diri Afiq masih kelihatan parut-parut luka pada lengan tangannya dan parut pada kepalanya yang masih bengkak dan belum betul-betul surut. Tetapi Shafiqkelihatan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kami dimaklumi Shafiq belajar di Ma`had Tahfiz di Sungai Serai, Hulu Langat dan akan meneruskan pengajian di sana, kerana itulah hasrat ibu bapa mereka, manakala Afiq belajar di Pasti yang tidak jauh dari rumah arwah. Kami menyerahkan kepada anak-anak ini sejumlah buku-buku dibeli yang sesuai dengan mereka termasuk alat-alat tulis, barang-barang permainan dan seraga buah-buahan bagi menceriakan mereka. Sejumlah wang RM700 diserahkan kepada keluarga yang menjaga mereka. Menurut Tuan Haji Rushdi wang RM1,000 lagi yang diderma oleh seorang hamba Allah akan dimasukkan ke dalam akaun bersama anak-anak berkenaan (tiga beradak) dengan nama seorang pemegang amanah dari keluarga anak-anak bila akaun berkenaan dibuka. Pihak kami akan berusaha mendapat bantuan - contoh dari zakat dan sebagainya. Kami ditunjukkan album gambar-gambar arwah Mohd Amli dan Puan Noora dan mengambil gambar dua beradik dan keluarga mereka. Kami berada lebih kurang sejam mendengar maklumat tentang kedua-dua arwah, berkenalan dengan keluarga, berbincang bagaimana jagaan terhadap anak-anak yatim berkenaan dan masa depan mereka di rumah berkenaan dan sebelum pulang kami berjanji akan membuat kunjungan lagi pada masa akan datang serta memantau perkembangan anak-anak yatim tiga beradik berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment