April 10, 2010

Pertarungan Merebut Pengaruh Dan Keyakinan

Bandar Baru Bangi, 25 R. Akhir = 10 April (Sabtu):

Kekosongan kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan kematian Penyandangnya Dato` Dr Zainal Abidin Ahmad mengundang pertandingan sengit yang dijangka berlaku di antara calon PKR dari Pakatan Rakyat dan calon MIC dari BN. Memandangkan majoriti yang didapati oleh al-Marhum Dato Dr Zainal Abidin pada pilihanraya Mac 2008 cuma sebanyak 198 undi, maka ruang terbuka bagi kedua-dua pihak menguasai kerusi berkenaan. Pemilihan dan ketokohan calon boleh mengatasi antara satu sama lain. Kedua-dua pihak kelihatan amat berhati-hati sebelum mengumumkan calon bagi penamaan calon pada 17 April dan seterusnya pengundian pada 25 April. Sebarang kesilapan, padahnya kekalahan.

Pihak BN nampaknya terpaksa patuh pada kesetiaan bersama di dalam BN, bahawa kerusi di Hulu Selangor secara tradisi adalah milik MIC. Maka Dato` Seri Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional terpaksa akur dan membuat kenyataan bahawa calon yang akan bertanding adalah dari MIC, walaupun ada yang menyuarakan jika calon dari MIC, khususnya bekas calon yang pernah bertanding melawan Dato` Dr. Zainal Abidin, iaitu Datuk G. Palanival jika bertanding semula mungkin akan menerima nasib yang sama. Dengan pengumuman calon dari MIC ini, kad percaturan berada pada tangan PR bagi memilih calon melawan sebarang calon dari MIC ini. Di dalam hal ini PR perlu berhati-hati dan jangan tersilap memilih calon. Calon hendaklah seorang yang amat berwibawa yang boleh diterima oleh semua rakyat dari semua kaum di kawasan Hulu Selangor. Target sokongan hendaklah lebih mengatasi majoriti dicapai yang lepas. Pengundi Parlimen Hulu Selangor berjumlah 65,553 dengan pengundi Melayu adalah 55.9, pengundi Cina 26.7 dan selebihnya 17.4 pengundi India dan lain-lain.

Setrakat ini sokongan dari orang-orang Cina kepada PR tidak diragukan. Perkiraan hendaklah diberi bagi menarik sokongan orang-orang India. Sokongan dari orang Melayu yang merupakan pengundi terbesar amatlah penting. Pemilihan calon hendaklah dikira dari faktor ini. Rakyat di Kuala Selangor memberi sokongan terhadap al-Marhum Dato` Dr Zainal Abidin, walaupun sudah diketahui beliau pada masa itu sudah uzur. Pemilihan calon yang berwibawa, cekap dan pragmatik menjadi faktor yang boleh membawa kemenangan kepada Pakatan Rakyat. Strategi kempen juga hendaklah diatar sebaik mungkin agar dapat memberi kesan dan keyakinan kepada rakyat.

Kerusi Parlimen Hulu Selangor amat penting bagi BN bagi memulihkan imejnya, khususnya di Selangor. Sebarang kemenangan bagi BN merupakan senjata dan keyakinan bagi mereka mara bagi menawan kembali Selangor. Bagi Pakatan Rakyat kemenangan di Hulu Selangor teramat penting bagi mempertahankan kedudukan dan memperlihatkan kepada rakyat bahawa Pakatan Rakyat di Hulu Selangor secara khusus dan di Selangor keseluruhan tetap utuh. Dengan ini memberi keyakinan bagi Pakatan Rakyat untuk meningkatkan keyakinan dan kekuasaan di Selangor dan pada peringkat nasional. Jika kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat maka keputusan dengan sendirinya akan melenyapkan suara-suara sumbang yang ditimbulkan seperti oleh YB Zulkifli Noordin, YB Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Ezam Mohd Nor dan lain-lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment