Hulu Selangor, 10 J. Awal = 25 April (Ahad):
Adalah tarikh membuang undi
Pilihanraya kecil P94 Hulu Selangor
Kami membuat keputusan mengunjungi
Sebanyak pusat dapat di kejar
Pagi selepas rasmikan gotong royong
Kami bergegas ke lokasi terawal
Pertama Pusat Bukit Beruntung
Hangat pertentangan PKR-BN terkawal.
Kami bergerak ke Pusat Bukit Teratai
Kedua pihak dimeriah orang India
Grassroot kepada PKR teramai
Hanya pegawai dan elit kepada BN saja.
Lokasi ketiga berpusat di Sungai Buaya
Tempat BN memberi habuan seribu
Bakinya disempurna jika BN berjaya
Tidakkah SPRM mengira rasuah itu ?
12.30 di Serendah kami tiba
Jumpa dengan Ean dan Fauziah
Di sini pengundi Cina nyata
Beri sokongan tiada masalah.
1.30 berada di pusat Ulu Yam Baru
Beri semangat pada petugas-petugas
Bersalat jamaah Zohor di masjid di situ
Sebelum bergerak berada secara ringkas.
Kunjungan keenam di Yam Lama
Pengundian di Pusat SRJKC Choong
Kedua pihak nampaknya sederhana
Tidak agresif menarik penyokong.
Pusat ketujuh di Batang Kali
Berderet jem dengan kenderaan
Kedua pihak hangat bersuara tinggi
Ejek-mengejek menyebab pertengkaran.
Ziarah kelapan di Pekan Rasa
Menerima hadir YB Ronnie Liu
Sokongan pada Pakatan nampak nyata
Walaupun keseluruhan belum tentu.
Kunjungan ke 9 Kg. Melayu Rasa
YAB Menteri Besar bersama datang
Sokongan di sini tak begitu nyata
Kehadiran YAB meningkat peluang.
Ziarah ke sepuluh di Kuala Kubu Baru
Pengundian di Sekolah Ampang Pecah
Di sini kedua pihak agresif menyerbu
Campurtangan polis dapat mencegah.
Jam 4.30 di Sijantung Kalumpang
Kawasan Cina dalam kawasan pekan
Sebelah menyebelah bertengkaran
Meskipun tegang ada yang melucukan.
Masa sedikit kunjungan ke 12 berbaki
Kami bergegas ke pengundian di Titiwangsa
Bertembung dengan Kamalnathan di sini
Di dalam berkejar berakhirnya masa..
Di sini berkesempatan tamatnya lawatan
Salat Asar berjamaah di Surau Hidayah
Pengakhiran memanjatkan doa mohonan
Kemenangan jua hendaknya dari Allah.
Malam ini jam 9.00 selepas pulang
Berita tidak berpihak menguji tabah
Perlu muhasabah dengan kekhilapan
Tiada noktah perjuangan di jalan Allah.
Bandar Baru Bangi,
Shafie Abu Bakar.
kami penduduk kawasan bangi lama memerlukan traffic lite di persimpangan menghala ke jenderam... sangat susah untuk melintas di waktu pagi! terima kasih
ReplyDelete