Air
Rahmat yang turun dari langit
Memancut dan mengalir dari perut bumi
Kurniaan tak terbatas
Sepatutnya diguna secara bebas
Mengapa mereka miliki
Hak jagat rakyat dikuasai ?
Air sumber hayat
Titis-titis darinya menyumbang
Fungsi bagi penghayatan
Mengalir dalam badan
Juga dalam tubuh hewan
Bahkan bagi pokok tumbuhan
Menjadi sumber penghidupan
Mengapa mereka kuasai
Sumber air sepenting ini
Dengan perkiraan komersil
Merampas hak mereka
Hilang ihsan
Hilang kebajikan.
Air milik kurnia Tuhan
Untuk seluruh kejadian
Melebar di bumi permukaan
Meluas bertebar lautan
Memelihara kehidupan
Turunnya tidak membeza tempat
Di puncak gunung
Dihutan lebat
Di padang kontang
Di laut gelombang
Di tanah lembah
Di jurang dalam
Di kebun kehijauan
Di desa pedalaman
Di kota cosmopolitan
Begitu demokrasinya air
Dimana jua dia mengalir.
Sesungguhnya diperingatkan
Air
Api
Padang ragut
Milik terbuka
Untuk semua
Tanpa monopoli
Tapi mereka yang tamak
Bersikap tak peduli
Kalau boleh mau kuasai
Cahaya
Udara
Ruang terbuka
Yang mereka kira
Peluang komersil
Peluang menghimpun harta.
Ambil iktibarlah dari sifat air
Pada dasarnya merahmati semua
Sejuknya dituang di dalam cawan
Menghilang dahaga sebagai minuman
Menyembuh sakit yang berpenyakit
Mengekal suhu selesa suasana
Namun sifat air boleh mengancam
Jika dihangat ke suhu tinggi
Memudarat tanpa kawalan
Demikian toleran air ada batasnya
Boleh memuncak dengan kemarahan
Bernama banjir memusnahkan
Jangan biar air mengancam
Ke batas luar kawalan
Demikian toleran rakyat ada batasan
Jangan sampai bangkit mereka dengan kekuatan.
Prihatin adalah dipinta
Air yang ada
Hak rakyat jelata
Sebab itu jangan diswasta
Sesama kroni membahagi laba
Pulangkan air kepada rakyat
Mereka berhak mendapat manfaat.
Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
28 Zulhijjah 1431
05 Disember 2010.
No comments:
Post a Comment