December 6, 2010

Khalid Wira Air Untuk Rakyat !

BBB-KL, 28 Zulhijjah = 05 Disember (Ahad):

Untuk menyertai Demonstrasi Kembalikan Air Kepada Rakyat, kami berazam ke Kuala Lumpur pada tengahari ini secara kumpulan. Untuk memudahkan pemergian, kami memilih pemergian dengan menaiki komuter. Kalau pergi dengan kereta kemungkinan tersekat - jem untuk ke Masjid Negara atau ditahan dari memasuki Bandar dan ke Masjid Negara. Dengan kumpulan 6 orang –Adun, Azizi, Abu Bakar, Zulfikar, Iqbal dan Khuzairi – dua lagi terlambat pergi dengan komuter berasingan. Kami bertolak dari Stesyen Komuter UKM jam 12,30 tengahari dan tiba ke Stesyen Kuala Lumpur berdekatan Masjid Negara betul-betul azan sedang berkumandang di Masjid Negara. Sebaik tiba, kami segera bergerak ke Masjid Negara dan solat berjamaah di Masjid. Di sini bertemu dan bersalam dengan saudara Muhammad Sabu, Tan Sri Dato` Seri Khalid Menteri Besar Selangor turut berada sama berjamaah. Takbir Allahu Akbar bergema berkali-kali selepas menunaikan sembahyang.



Arahan dibuat melalui mikrofon, bahawa peserta hendaklah mengikut segala arahan dan semua jamaah diminta keluar untuk berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan Memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong. Menjangka takut ketinggalan, kami segera turun melalui tangga tempat kasut yang kami tinggalkan. Apabila bergerak, kami terdengar ucapan yang disampaikan oleh Y.A.B.Tan Sri Khalid dari anjung Masjid dan pergerakan terhenti mengarah ke anjung mendengar ucapan yang disampaikan oleh Tan Sri Khalid dari anjung berkenaan. Sekali sekali diselang seli dengan tepukan dan sambutan dengan takbir bergemuruh.



Partisipasi Tan Sri Khalid mengetuai Demonstrasi Menuntut Dikembalikan Hak Air Kepada Rakyat dan Mengetuai berceramah dari anjung Masjid Negara melengkapkan komitmen beliau di dalam menerokai dan mendesak hak air dikembalikan kepada rakyat.
Di dalam hal ini beliau benar-benar Wira Air Untuk Rakyat. Sejak pemerintahan Pakatan Rakyat memerintah Selangor – antara perkara yang diberi perhatian, ialah isu air. Air telah diswastakan pada 1997. Berikutnya lahir syarikat-syarikat air yang mengambil peluang keuntungan seperti Syabas, Splash, Abbas dan lain-lain beroperasi yang merugikan rakyat beratus juta ringgit. Sebagai pemimpin negeri beliau berusaha untuk membeli syarikat air kembali kepada Kerajaan rakyat. Tawaran membeli dibuat lebih dari RM7 billion, tetapi harga yang ditetapkan lebih RM9 billion. Beliau menggantung operasi mengorek saluran untuk membawa air dari Pahang ke Selangor (Hulu Langat) yang lebih bermotifkan keuntungan, lantaran air masih kecukupan di Selangor. Beliau juga mendedahkan bahawa syarikat-syarikat air mau menaikkan tariff air kepada 37% bagi tahun 2009, 25% 2012 dan 20 % 2015. Pihak negeri tidak membenarkan kenaikan 37% menyebabkan syarikat berkenaan bercadang menyaman RM1 billion Kerajaan Negeri. Semasa Kerajaan Pakatan memerintah Selangor yang dipimpin Y.A.B. Tan Sri Khalid mempelopori pemberian air percuma kepada rakyat bagi kegunaan di bawah 20m3.

Dalam ucapannya Tan Sri Khalid membangkitkan penswastaan air tidak dirundingkan dengan rakyat Selangor, begitu juga tidak dirunding berhubung dengan kenaikan tariff harga air. Kerajaan Persekutuan dan Umno berpihak kepada syarikat swasta dan tidak berpihak kepada tuntutan rakyat, bahkan Kerajaan Persekutuan memberi pinjaman yang tinggi kepada syarikat air menyebabkan kadar bayaran juga adalah tinggi. Kerajaan Selangor sekarang menurut Tan Sri Khalid adalah berpihak kepada rakyat dan membela rakyat.

Selepas ucapan dari Y.A.B. Menteri Besar, orang ramai yang mencecah kehadiran 15,000 orang bergerak dari Masjid Negara di dahului oleh Y.A.B Menteri Besar dan pengiring-pengiring dan orang yang keluar bersesak-sesak, sebahagian membawa sepanduk sederhana dan kecil dengan berbagai-bagai ungkapan yang menyokong tuntutan dan mengecam penswastaan dan kenaikan. Berbagai-bagai kaum kelihatan sama hadir. Antara mereka ramai dari parti Pas termasuk dari PKR dan DAP, kelab penyokong dan orang ramai. Kumpulan Mahasiswa juga turut turun dengan postar-postar antaranya mengungkapkan:

Mahasiswa Menyokong Tuntutan Mengembalikan Air Kepada Rakyat



Pergerakan orang ramai adalah dari Masjid Negara, melalui jalan berhadapan bangunan Kereta Api untuk membelok ke Istana Negara. Tetapi sebelum orang ramai yang berpusu-pusu keluar untuk membelok ke kiri ke Istana pihak FRU memngadakan sekatan jalanraya, Yang hanya diberi pergi menghantar memorandum ialah Tan Seri Khalid dan pengiring-pengiringnya.

Manakala orang ramai terdesak untuk mara berdepan dengan FRU. Kira-kira jam 2.30 pihak FRU mulai menembak gas pemedih mata beberapa kali, menyebabkan terhenti pergerakan orang ramai. Bila orang ramai berusaha kehadapan tembakan gas pemedih mata makin bertambah. Selepas tembakan-tembakan dilakukan dan orang ramai masih berada di jalan pancutan air berkimia pula dilakukan sehingga jauh ke tengah orang ramai, menyebabkan ada yang lari melindung diri. Antara mereka masuk berlindung di dalam bangunan keretapi.

Oleh kerana tembakan gas dan pancutan air, perarakan tidak dapat diteruskan, orang ramai antaranya diminta kembali ke Masjid Negara, tapi oleh kerana ramai orang, mereka berlegar memenuhi ruang antara masjid Negara berhadapan bangunan keretapi hingga ke bawah jejambat. Lori-lori FRU dan pemancut air makin bergerak ke hadapan bangunan keretapi dan menuju bulatan bagi menyuraikan penunjuk perasaan dan bagi membuka jalan laluan. Mereka akhirnya bertumpu di hadapan masjid Negara. Antara kumpulan seperti mahasiswa berucap secara bersemangat dan menyatakan sokongan terhadap usaha mengembalikan hak air kepada rakyat – Sebahagian mahasiswa adalah dari UNISEL – sebuah universiti dikendali oleh kerajaan Negeri Selangor.



Sementara itu pihak FRU makin bergerak ke hadapan bahagian Masjid sambil tembakan dan pancutan dilakukan. Pada masa itu berita disampaikan Rombongan Menyampaikan Memorandum selamat sampai menyampaikan memorandum di Istana Negara, manakala sejumlah lebih kurang 50 peserta demonstrasi ditangkap. Tindakan Polis nampaknya tidak bersifat adil, semasa pasukan Baju Hitam berdemonstrasi dihadapan Pejabat SUK dua hari lalu tidak diambil tindakan apa-apa oleh pihak polis, tetapi terhadap Pakatan Rakyat yang ramai dari mereka berbaju merah tindakan kepada mereka berbeza, mereka dihujani dengan peluru gas dan pemedih mata. Sebahagian dari mereka ditangkap, walaupun mereka berhimpun dan bergerak secara aman.

Walau apapun, kita berpendapat objektif perhimpunan dan perarakan dapat dicapai. Rakyat dapat menyampaikan mesej bahawa mereka menuntut agar Hak Air hendaklah dikembalikan kepada rakyat. Rakyat dapat mengetahui pihak mana yang berkeras di belakang syarikat-syarikat mau memegang terus hak air dan mengaut keuntungan. Merekan sepatutnya bermaruah dan berunding secara baik dan wajar bagi menyerahkan kembali hak konsesi air kepada rakyat. Kerajaan Pusat sepatutnya berpihak kepada rakyat, bukannya menekan kerajaan negeri untuk menerima kehendak syarikat swasta air. Jika kena rundingan, kerajaan negeri boleh menerima kemasukan air dari Pahang, tetapi jangan membebankan negeri dan rakyat dengan perjanjian yang tidak adil serta membebankan Kerajaan Negeri dan rakyat menanggung kos air yang tinggi.

Dalam hal ini kita menghormati Y.A.B Tan Seri Dato` Seri Khalid Ibrahim yang berdiri tegak dan tegas di dalam rundingan bagi mengembalikan hak air kepada rakyat. Walaupun Tan Sri Khalid kini tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti yang dianggotainya – sama ada beliau dilantik atau tidak beliau dihormati rakyat dan mempunyai tempat di hati rakyat.

Sesungguhnya Tan Seri Khalid adalah Wira Air Untuk Rakyat !

Sekian.



No comments:

Post a Comment