December 29, 2010

Tokoh Ilmuan Selangor Pertama Dari DUN Bangi: Dr. Muhaya Bt. Muhammad Pakar Mata Terkenal

Shah Alam, 22 Muharram = 28 Disember (Selasa):


Majlis Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor 2010 bagi pertama kali diumumkan di Dewan Jubli Perak pagi ini. Tokoh yang diberi penghormatan ialah Profesor Dr. Muhaya bt. Muhammad seorang Pakar Mata Terkenal tanahair dari kawasan Dun Bangi. YB Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyampaikan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor kepada Prof. Dr. Mahaya di hadapan para hadirin yang antaranya YB. Adun Bangi, Prof. Dato` Dr. Rosdi Sorwono Presiden dan Rektor Unisal, Prof. Madya Dr. Zainal Kidam, Timbalan Rektor, Puan Mastura Pengarah Perpustakaan Negeri Selangor, Siti Sazwani Mohd Mohsin Setiausaha Sumber Tenaga Manusia, Dr. Supyan Husin, lulusan dan pelajar-pelajar dari Unisal dan Inpen dan para jemputan.


Menurut Dr. Halimah pemilihan adalah berdasarkan kriteria khusus yang tidak saja cemerlang dari segi akademik, tetapi mempunyai ketinggian dari segi integriti peribadi dan personaliti. Tokoh menjadi model dari segi akademik, kepimpinan, keagamaan dan kemasyarakatan. Juga menepati kriteria SPIES yang mengidamkan generasi Idaman bagi negeri Selangor.


Dr. Muhaya yang berkelahiran di Kuala Terengganu itu bersekolah rendah di Sekolah Tengku Ampuan, Paya Bunga, Kuala Terengganu dan terpilih menyambung pengajian menengah di Sekolah Tun Fatimah di Johor Bharu. Beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Perubatan UKM dan lulus dengan cemerlang (1986) dan ditawarkan oleh pihak Dekan Fakulti Perubatan pada masa itu, iaitu Dato` Dr. Mohd Nor Hakim menyambung pengajian pengkhususan bidang Mata. Beliau telah ditawarkan sebagai Pensyarah Pakar Mata di UKM sejak 1991dan berkhidmat selama lebih kurang 20 tahun di HUKM. Beliau menjadi pakar dan perunding pakar mata, pakar bedah dan banyak menerima anugerah kecemerlangan. Beliau juga menjadi Profesor Adjung bagi UKM, UIAM dan USIM. Beliau telah menerbitkan buku, How To Become A Good Medical Student dan menghasilkan banyak kertas-kertas kerja yang berhubung dengan kerjayanya yang dibentang di dalam seminar bersifat tempatan dan antarabangsa. Beliau mempunyai slot di TV 1, 2, 3, dan Astro. Dr. Muhaya bersuami dengan seorang yang juga Pakar Perubatan, iaitu Dr. Azmi Jamion yang juga pernah menjadi Pensyarah di HUKM, UKM dan kini membuka klinik perubatannya di Bandar Baru Bangi.


Dalam ucapan penerimaan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor beliau bercakap tentang pembinaan insan melalui pembinaan minda dan pemupukan `wisdom` yang seharusnya menjadi jati diri. Menurut Dr. Muhaya membina kemajuan, tamadun dan peradaban hendaklah bertolak dari membina minda manusia. Dengan membina minda mampu mempengaruhi dan merubah diri dan sekeliling. Pemikiran positif memberi kesan positif kepada diri dan penghidupan dan begitulah sebaliknya. Menurutnya bercakap benar memberi keyakinan dan kekuatan yang menghasilkan natijah yang positif. Sebaliknya orang yang dusta bersikap negatif, hilang keyakinan dan menghasilkan natijah yang negatif, lemah dan merosakkan. Pendeknya, membina tamadun melalui pembinaan minda manusia. Tiada satu tamadun dan peradaban yang mampu terbina tanpa kesedaran dan peningkatan minda manusia yang mementingkan pendidikan dan pelajaran.

Selain dari pembinaan minda beliau menekankan kehidupan secrara wisdom. Iaitu menyedari hakikat kehidupan dan membina kasih sayang sesama manusia. Menerima manusia seadanya dan tidak merendahkan mereka. Bagi mendekati manusia jangan ego, tidak cepat marah, tidak mementingkan pangkat dan kedudukan diri, selalu bekerjasama, tidak selalu menyalahkan orang lain dan menganggap hanya diri sendiri sahaja yang betul. Dengan berkasih sayang dan bertolong-tolongan sesama manusia, kita dapat menikmati erti kebahagian sebenarnya. Keikhlasan yang datang dari lubuk hati melimpahkan kesejukan dan ketenangan bagi diri dan kelilingan. Kehidupan yang baik adalah kehidupan secara redha dan mendapat keberkatan dari Allah.


Menurut Dr. Muhaya, seorang Islam sewajarnya adalah seorang yang baik dan disukai orang. Bila memandangnya ada kemesraan terpancar dari dirinya yang menyenangkan bagi yang mendekatinya dan orang lain. Beliau mau diri kita mencontohi `Lebah` yang menjadi Maskot orang-orang Islam (keistimewaan lebih terakam di dalam al-Qur`an yang mempunyai surah khusus mengenai `Lebah` - An-Nahl). Lebah mengambil inti sari kebaikan dari bunga-bunga dan mengeluarkannya sebagai madu yang memberi khasiat kebaikan dan penawar kepada penggunannya.


Demikianlah antara intisari madukata Dr. Muhaya yang mirip kepada motivasi. Tahniah di atas penerimaan Anugerah Tokoh Ilmuan Selangor 2010.

Sekian.

No comments:

Post a Comment