December 7, 2010

Hijrah Hendaklah Dengan Niat-Azam-Jihad Kerana Allah

BBB, 01 Muharram 1432 = 07 Disember 2010 (Selasa):

``Mereka yang beriman, berhijrah dan berjihad pada Jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan merekalah orang-orang yang berjaya (At-Taubah: 20).

Daripada Amiril Mu`minin Abi Hafs Umar Ibn Al-Khattab r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesungguhnya segala amalan bergantung pada niat …(Riwayat Al- Bukhari)

Tiba-tiba pada petang itu
Angin menggoyangkan pohon tahun
Menggugurkan ke bumi daun terakhir
Mengingatkan kita Hijrah tiba
Menuntut diri memasang niat dan azam
Lebih meningkatkan perjuangan
Menegakkan Islam.

Tiap kita yang hidup
Sedar atau tidak
Adalah berdiri di depan sungai hayat
Berlari membawa pengalaman dan kenangan
Yang dipungut dari hulu punca air
Dari puncak gunung dan bukit
Menghimpun diri bersatu
Mengalir ke lurah, lembah
Ke pancur alur ke anak sungai
Mengalir persis masa berlari
Menghimpun pengalaman
Ke muara dengan surut pasang
Tamsil ibarat perjuangan
bertamadun dan peradaban.
.
Dan insan yang berdiri
Di tebing masa seharusnya
Bukan pemerhati yang pasif
Tanpa niat, azam dan amalan
Hijrahlah sebagaimana Rasulullah
Walau di tengah tanah kekeringan
Diutus dengan misi dakwah
Di kota purba Makkah
Menyebarkan Islam
Baginda bangkit dengan jihad
Walaupun lebih sedekad disekat
Tidak sedikit mematah semangat
Baginda terus dengan misi Rahmat
Berdasarkan kebenaran Millah.

Penentangan membawa baginda
Mengatur strategi dakwah dengan Hijrah
Dari permulaan Habasyah ke pemilihan Madinah
Titik permulaan Hijrah bersejarah
Bersama sahabat dan jamaah
Baginda membangunkan Madinah al-Munawwarah
Negara pertama Islam bersejarah
Model ikutan bagi memerintah
Dalam menegakkan Islam kerana Allah.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi.

No comments:

Post a Comment