Hospital Serdang, 16 Muharram = 22 Disember (Rabu):
Petang ini sebagaimana program disusun, ialah melawat seorang pesakit di Hospital Serdang, mangsa kebakaran di rumah pangsa MPOB (Malaysian Palm Oil Berhad) akibat dari pembakaran 12 motorsikal secara khianat pada pagi Isnin (20 Disember) di Seksyen Satu BBB. Sebagaimana dijanjikan selepas Asar kami bertolak dan tiba bertemu di sana dalam satu kumpulan 10 orang. Mereka terdiri dari Adun Bangi, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan dan AJK terdiri dari isterinya, Tuan Haji Hasan Basri, Sdr. Shamsul, sdr. Abu Bakar, Sdr. Farid, Kamal, Yusof, Tuan Haji Azizi, Puan Khamsatul Azura dan dua pengiringnya.
Semasa di lobby kami dapat tahu ada dua pesakit lagi dari kawasan Dun Bangi yang patut kami lawati. Setelah merujuk tentang persediaan buah tangan kepada Tuan Haji Rushdi kami ke Tingkat 6 melawat Cik Aishah binti Haji Idris yang kesampaian kami disambut oleh keluarganya iaitu Tuan Haji Idris bin Othman bapanya dan Puan Rasiah bt. Alang Pin ibunya yang berasal dari Perak dan saudara maranya yang lain. Kami dibenar melawat secara terhad tidak lebih dua orang sekali masuk. Dari Jururawat yang sedang merawatnya kami dimaklumkan kebakaran yang dialami Cik Aishah tidaklah serius ia melibatkan 23% anggotanya, iaitu mukanya dan kaki. Ini adalah disebabkan semasa kebakaran Cik Aishah membuka pintu untuk menyelamatkan diri, tapi kepanasan menghadangnya dan ia terpaksa berundur ke dalam dan pengsan. Bagi yang tidak membuka pintu kalis kebakaran dan berundur ke anjung ke belakang sementara menunggu penyelamat adalah selamat. Setelah bercakap ringkas dan memberi kata-kata semangat kami mohon diri dan berterima kasih kepada jururawat bertugas. Hanya satu pasukan saja yang menziarah. Kami difahamkan dari ibu bapa Cik Aishah bahawa Aishah sepatutnya menjalani upacara bertunang pada 25 Disember hampir ini. Tarikh tersebut terpaksa ditunda.
Daripada tingkat 6 kami turun ke tingkat 4 melawat En. Adnan bin Yasin yang menghadapi pembedahan by pass pada 13 Disember lepas kerana sakit jantung . Beliau adalah Pengarah bahagian Aquaculture di Mardi Serdang dan tinggal di Seksyen Dua, Bandar Baru Bangi. Semasa kami melawat – dibenar secara ramai-ramai En. Adnan sudah pulih, boleh duduk di atas katil dan bercakap-cakap. Bahkan sekali sekala kami bergurau dengan isu-isu yang mencuit hati. Kami mengucap selamat kepada En. Adnan selepas menyampaikan sedikit cenderahati.
Pesakit ketiga juga ditingkat 4, tetapi sebelumnya naik ke atas, tempat beliau dipindahkan, tetapi diberitahu jururawat telah dipindah kembali ke tingkat 4. Pesakit berkenaan ialah Tuan Haji Amir Hamzah bin Shafii yang baru pulang sekeluarga dari Makkah. Di Bangi Tuan Haji Amir lebih dikenali dengan panggilan `Haji Amir Harakah`, kerana beliau adalah pengedar Harakah Bertauliah di kawasan Bangi.
Menurut Tuan Haji Amir, pulang dari Makkah beliau adalah sihat, tetapi kembali dari Melaka – Serkam, tempat asal beliau, kerana menghadiri acara perkahwinan anak keluarganya di sana, beliau mengesyaki keracunan makanan. Beliau dan isterinya mengalami pening. Anaknya terpaksa memandu pulang ke Bangi. Bagi Haji Amir, sakitnya melarat dan kaki kirinya membengkak dan biru dan terpaksa masuk Hospital di atas nasihat kelinik awal yang dilawatinya. Ditanya, adakah sebarang penyakit biasa yang dihidapi selama ini, ``Ada sedikit tanda-tanda kencing manis, tetapi selama ini saya berpantang dan keadaan adalah terkawal,`` kata Haji Amir. Walau macam mana sakitnya sudah beransur hilang dan insya Allah akan sembuh dalam beberapa hari lagi.
Hari telah senja dan maghrib tiba. Kami memohon diri mengakhiri lawatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment