December 4, 2010

Perang Berhabis-Habisan Terhadap Denggi

Pejabat Daerah Hulu Langat, 24 Zulhijjah = 30 November (Selasa):

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Hulu Langat Bil. 4/2010 diberitahu oleh Jabatan Kesihatan Hulu Langat bahawa kes denggi di Selangor berdasarkan statistik terbaru hingga ke akhir November 2010 menunjukkan Selangor tertinggi dari kes denggi. Statistik di bawah membuktikan:

Selangor 15,544
Johor 4,831
Sarawak 4,065
WPKL 4,008
Kelantan 3,443
Perak 2,130
Sabah 2,012
P.Pinang 1,617
Melaka 1,578
Pahang 1,474
N. Semb.. 1,467
Tereng.. 1,354
Kedah 711
Perlis 202
WP. Labuan 17

Di Selangor, Hulu Langat berkedudukan kedua dari segi tingginya dengan kes denggi yang membawa kematian 2010 kepada 15 orang.

Petaling 5,182
H.Langat 4,064
Gombak 2,857
Klang 1,613

Kes di Hulu Langat pada umumnya meningkat setiap tahun

1999 124
2000 104
2001 225
2002 512
2003 257
2004 1,994
2005 2,212
2006 2,150
2007 3,250
2008 5,018
2009 4,588
2010 4604

Oleh kerana merebaknya kes denggi, berbagai pihak menganjurkan gotong royong membasmikan denggi. Antaranya dianjur oleh Adun ditempat-tempat berlakunya kes denggi, biasanya dengan kerjasama persatuan penduduk, AJK Surau, agensi-agensi kerajaan dan penduduk setempat. Adun & AJK turun setiap minggu bergotong royong di tempat-tempat yang ditentukan dan kadang-kadang lebih dari satu tempat. Misalnya pada hari Ahad 28.11.2010 menyertai gotong royong di Taman Tenaga yang dianjur oleh Persatuan Penduduk, Jabatan Kesihatan dan penduduk setempat, manakala pada masa yang sama ada gotong royong di Taman Seri Kenari, Sungai Ramal Luar.

Difahamkan oleh Jabatan Kesihatan, bahawa Dato` Hasan Nawawi YDP MPKj pernah dijemput dan hadir sama bergotong royong di Kajang. Tuan Pegawai Daerah Tuan Haji Zainal Abidin bin Ala juga pernah dijemput turun bergotong royong di Sungai Ramal Dalam, sebagaimana Adun dijemput bergotong royong di Taman Tenaga.





Perang terhadap nyamuk aedes dan denggi tiada henti-henti. Misalnya petang 3 Disember berlaku penyemburan (fogging) di Section 15 BBB. Pada pagi Ahad 5 Disember akan diadakan gotong royong besar-besaran melibatkan perumahan Seri Ayu, Jubli Perak, Jalan 4/5, 4/6, 4/7 dan 4/8. Orang ramai akan turun padang bergotong royong beramai-ramai membasmikan nyamuk aedis bagi mengurangkan kes denggi..

Denggi sebenarnya disebabkan oleh sikap manusia yang mengabaikan kebersihan.
Bagi mencegah denggi orang ramai jangan membuang sampah contoh bekas plastic merata-rata, jangan biarkan bekas-bekas air terbuka, lapik-lapik pasu bunga hendaklah selalu dibersihkan, laluan air hendaklah dipastikan berlari, periksa kawasan redup seperti di bawah pokok tidak menjadi tempat nyamuk bertelur, bekas-bekas misalnya tong cat jangan dibiar ditakungi air dan terbiar.





Semua tempat dalam rumah yang menakung air hendaklah diperiksa dan jangan diberi peluang nyamuk aedis bertelur, jangan biarkan kereta buruk tersadai dan terbiar hingga menjadi tempat pembiakan nyamuk, saluran air di atap `gutter`` jangan dibiar menjadi tempat bertakung air, pastikan airnya mengalir. Bilik air hendaklah selalu dibersih, begitu juga kawasan dapur. Pastikan semua tempat bersih.

Jadikanlah budaya bersih amalan harian dan berterusan.

Terima Kasih. Sekian.

No comments:

Post a Comment