December 31, 2010

Karnival Rakyat Di Surau Al-Kauthar Dan Taman Impian Putera

Seksyen 4, BBB, 19 Muharram = 26 Disember (Ahad):


Kepelbagaian fungsi masjid dan surau amat ketara dimanfaatkan oleh masyarakat kini, khususnya selepas pemerintahan Kerajaan PR. Masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadat di dalam maknanya yang khusus, tetapi menjadi pusat kegiatan pendidikan, Kemasyarakatan dan ekonomi. Sebagai contoh Surau Al-Kauthar, iaitu salah sebuah surau terbesar (sebenarnya bertaraf masjid) di Bandar Baru Bangi mengadakan, Karnival Rakyat: Program Surau Sejahtera.


Program mendapat kerjasama dari Surau Al-Kauthar, Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Menderma Darah, Persatuan Penduduk Jalan 4. Turut dibuka gerai-gerai perniagaan bagi yang berminat berniaga. Program-program yang diadakan seperti pemeriksaan kesihatan – pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, derma darah, pameran dan jualan.


Hadir ke majlis pada sebelah pagi ini selain dari Adun Bangi, ialah Tuan Haji Nazri Daud Pengerusi Surau Al-Kauthar, Tuan Haji Mazwan Johar, Ahli MPKj, Dr. Norzawani dari Jabatan Kesihatan, Dato` Haji Abdul Karim Ketua Persatuan Penduduk Jalan 4/5, Yang Berbahagia Ustaz Shukri dan ramai lagi.

Majlis yang berlangsung sejak pagi hingga ke malam itu bermula dengan Majlis Perasmian Program yang dilakukan oleh Adun Bangi yang berterima kasih di atas jemputan dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama bagi menjayakan karnival, terutama dari Jabatan Kesihatan Daerah Hulu Langat, Jabatan Menderma Darah dan Persatuan Penduduk. Kempen membasmi denggi masih berterusan, kerana kes denggi masih berterusan berlaku. Beliau berharap masyarakat dapat memberi kerjasama bagi membasmikan denggi yang boleh mengancam nyawa. Adun Bangi juga menyeru kepada masyarakat setempat mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma bagi mengetahui status kesihatan masing-masing seperti tekanan darah, kadar gula dalam darah dan sebagainya, di samping berpeluang melihat pameran dan membeli produk-produk yang diperkenal dan dijual pada karnival berkenaan. Menurut Adun sesungguhnya karnival hari ini melatih mereka yang terlibat mengadakan penganjuran karnival dan berkerjasama dengan berbagai pihak.


Sebelum dari itu Tuan Haji Nazri Daud berucap dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan karnival pada hari ini. Menurutnya Surau Al-Kauthar senentiasa terbuka dan memberi kerjasama kepada semua pihak bagi mengadakan kegiatan di surau, selagi kegiatan memberi manfaat dan kebajikan bagi semua pihak.

Selepas pembukaan Adun Bangi turut melawat gerai-gerai pemeriksaan kesihatan dan turut memeriksa tekanan darah, melihat pameran dan gerai-gerai perniagaan.


Pada malamnya karnival mengadakan forum `Keselamatan Dunia-Akhirat yang panelnya terdiri dari tokoh-tokoh terkenal.


Sementara itu pada malam tadi (25 Disember) Adun Bangi juga turut hadir ke Karnival Penduduk Taman Impian Putera jam 10.00 malam. Majlis diisi dengan persembahan-persembahan yang lebih berfokus kepada golongan belia setempat. Menurut Saudara Azmi dari Persatuan Penduduk dan Surau, majlis bertujuan untuk menyatukan kalangan anak muda setempat bekerjasama. Di samping persembahan diadakan cabutan bertuah untuk mengekalkan kehadiran ke majlis. Selepas berucap ringkas Adun mencabut nombor-nombor bertuah dan menyampaikan hadiah-hadiah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment