Satu Majlis Pertemuan antara Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Ybhg. Dato` Haji Zainal Abidin bin Aala dengan pimpinan-pemimpin setempat, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan Pengerusi JKKK Kampong Baru Hulu Langat diadakan di Kediaman Dato` Pegawai Daerah di sini petang ini. Tamu-tamu jemputan lebih kurang 100 orang. Antara mereka yang hadir ialah Yang Dimuliakan Pemangku Orang Kaya Daerah Hulu Langat En. Abdul Jalil bin Ungku Abdul Ghani, Adun Bangi, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar, Adun Kajang Y.B. Tuan Lee Kim Sin, Adun Lembah Jaya Y.B. Tuan Hj. Khasim bin Abdul Aziz, En. Zulkefli bin Khalid, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Tanah), Puan Norfaizah binti Omar Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Penolong-Penolong Pegawai Daerah, Wakil Ketua Polis Daerah Kajang, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong, Ketua-Ketua JKKK dan Ketua-Ketua Kampong Baru dan kakitangan Pejabat Daerah.
Majlis pertemuan akhir tahun ini menjadi tradisi bagi Pegawai Daerah, tetapi majlis pada petang ini lebih istimewa, kerana ia merupakan majlis Tiga Dalam Satu. Maksudnya:
1) Majlis adalah sebagai kesyukuran bagi Pegawai Daerah Dato` Zainal Abidin Aala yang menerima Darjah Kebesaran bergelar `Dato`` dari Duli Yang Maha Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Selangor baru-baru ini. Tahniah kepada Dato` Zainal Abidin Aala.
2) Majlis juga mengambil kesempatan mengucap Takziah kepada En. Zulkifli bin Khalid, Ketua Penolong Pegawai Daerah Tanah yang kematian isteri yang dicintai pada Khamis 16 Disember 2010. Majlis menghadiahkan al-Fatihah ke atas roh al-Marhumah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh al-Marhumah. Bersama Merasa Duka dan Takziah kepada Encik Zulkefli semoga bersabar di atas ujian Allah.
3) Majlis adalah bersifat ramah mesra antara Tuan Pegawai Daerah dengan pimpinan setempat dan anak buah yang terdiri dari Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan kakitangan Pejabat Daerah.
Majlis pada petang itu bermula dengan solat maghrib, bacaan Yasin, tahlil dan doa dan diikuti dengan sembahyang Isyak. Selepas sembahyang Isyak para tamu jemputan beredar dari dalam bangunan ke bawah khemah terbuka. Sebelum jamuan makan malam ucapan disampaikan oleh Tuan Pegawai Daerah yang mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua pihak di dalam menjalankan tugas. Beliau juga menyampaikan arahan-arahan kerajaan berhubung dengan tanah dan tindakan-tindakan lain yang harus dilakukan. Majlis pada petang itu juga diseri dengan pengurniaan kad perlantikan (Ketua Kampong) dan cenderahati kepada peserta-peserta yang hadir pada petang itu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment