December 18, 2010

Makan Malam Amal Hulu Langat

Sungai Chua, 09 Muharram = 15 Disember (Rabu):


Hadir ke Makan Malam anjuran Pas Hulu Langat pada malam ini mengingatkan Adun Bangi majlis yang seumpama ini diadakan sekitar 1999 dalam rangka mencari dana pilihanraya pada masa itu yang dihadiri oleh Dato` Fazil Nor Presiden Pas pada masa itu juga hadir Lim Kit Siang Setiausaha Agung DAP pada masa itu dan pemimpin-pemimpin lain. Berikutnya Pas bertanding di Hulu Langat dan Kajang dan menang di Kajang!


Pada malam ini Makan Malam seumpama itu diadakan kembali di tempat yang sama, Cuma bangunan dibina baru dari satu tingkat yang agak lusuh kepada dua tingkat yang lebih selesa. Hadir pada malam ini Y.A.B. Tan Sri Dato` Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, Y.B. Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas, Y.B. Dato` Teng Chang Khim Speaker Dewan Negeri Selangor, Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Y.B. En. Lee Kim Sin Adun Kajang, Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Tuan Haji Razali YDP Pas Hulu Langat, Cikgu Ridhuan Ketua PKR Hulu Langat, Cik Lee Ketua Dap Hulu Langat, Dato` Zainal Abidin A`la Pegawai Daerah Hulu Langat dan pemimpin-pemimpin tempatan. Menurut Tuan Haji Abdullah Acheh Pengarah Makan Malam, program dianjur bagi mencari dana bagi kegiatan kawasan Parlimen Hulu Langat. Menurutnya 100 meja dijual. Beliau berterima kasih di atas sambutan yang hangat diberi oleh semua pihak dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat.


Y.A.B. Menteri Besar Selangor sebagai Tamu Kehormat berucap memuji di atas kejayaan Makan Malam Hulu Langat dan disokong kuat oleh rakan-rakan dalam Pakatan. Menurutnya majlis seumpama ini tidak mampu dibuat oleh BN. Tiada pakatan antara Umno-MCA-MIC. Kerajaan Pakatan di Selangor menggunakan hasil negeri untuk rakyat. Menurutnya penanaman modal dan hasil di Malaysia, 30% daripadanya di Selangor. Kerajaan Selangor memberi sumbangan yang besar kepada Kerajaan Persekutuan. Tanpa kemajuan Negeri Selangor Kerajaan Persekutuan lumpuh. Meniurut Menteri Besar, mana ada negeri yang memberi rakyat air percuma seperti Selangor dan meyekat syarikat air dari menaiki tarif 37 % ? Kita banyak lagi bantu rakyat dengan Tawas, Warga Mas yang akan diubah formatnya, sebahagian dari peruntukan diberi kepada warga Mas sebelum meninggal, kita juga ada bantu pelajar masuk universiti dan skim pinjaman. Menteri Besar menyelar kos pembinaan jalan raya sebanyak 33 km tiga kali ganda harga, iaitu 997 juta, sedangkan dari pengalamannya ianya boleh dijimatkan dengan harga satu pertiga darpadanya iaitu RM325 juta. Kerajaan Persekutuan lebih membantu kroni dan syarikat konsesi seperti Syarikat Tol dan air, sedang kita membantu rakyat.


Y.B. Ustaz Nasharuddin Timbalan Presiden Pas dalam ucapannya memaklumkan Konvensyen Pakatan Rakyat Ketujuh selepas Pakatan Rakyat memerintah tiga tahun akan diadakan pada akhir minggu ini di Pulau Pinang bagi membincang pendekatan yang diambil, khususnya bagi persediaan pilihanraya ke 13. Beliau juga mendedahkan tektik kotor BN di Parlimen yang menggantung Ahli-Ahli Parlimen Karpal Singh, Sivarasa, Azmin dan Dato` Seri Anwar Ibrahim atas isu `Satu Malaysia` adalah dari cadangan UPKO yang ada hubungan dengan Yahudi. Beliau menjangkakan ada lagi yang akan digantung tanpa sebab yang wajar dan sesuatu akan dilakukan apabila BN mempunya simple majority dua pertiga. Beliau juga menceritakan kekecohan di Parlimen hari ini yang mencerminkan kelemahan Speaker. Beliau berpendapat Parlimen telah hilang wibawa dan kebebasan.


YB Dato` Teng Chang Khim Speaker Dewan Negeri Selangor mendedahkan kelemahan MCA yang sedang bergaduh dan dengan cara tak bermoral menawarkan tempat baginya. Sikap yang dianggap tidak bermaruah dan merendahkan integreti diri. Beliau tidak akan menumpang kapal yang rosak dan akan tenggelam bila-bila masa. Menurutnya Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan dalam tempoh tiga tahun berjaya melakukan apa yang tidak dapat dilakukan oleh BN yang memerintah selama 50 tahun ! Kita tak naik cukai tanah, tak naik cukai pintu, tapi bajet tahunan kita lebih baik dari bajet BN. Kita berjaya tadbir negeri Selangor. Ini bermakna kita mampu tadbir Putera Jaya mungkin lebih baik. Sebab itu beliau berharap rakyat akan terus memberi mandate dan mempertingkat sokongan agar Pakatan Rakyat dapat memerintah pada peringkat Persekutuan.


Turut berucap ialah Y.B. Dr. Che Rusli Che Mat, Y.B. Teo Nie Ching dan Y.B. Lee Khim Sin. Majlis disifatkan oleh semua pihak meriah dan berjaya.


Sekian.

No comments:

Post a Comment