December 1, 2010

Peniaga Kecil Berpersatuan, Adun Bangi Diminta Rasmikan Mesyuarat Agung Pemilihan

Desa Surada, BBB, 22 Zulhijah = 28 November (Ahad):


Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil – warung dan kios, Hulu Langat ditubuhkan pada 23.08.2010 yang lalu dan didaftarkan atas nama Pertubuhan Pengusaha Kiosk Melayu (PPKM) dan didaftar atas no. 2098-10-SEL di bawah Seksyen 7 Akta Register of Society (ROS) 1966. Alamat berdaftar persatuan ialah:

No. 9 – 1
Jalan Reko Sentral 2,
43000 Kajang, Selangor

Pada hari ini mereka mengadakan Mesyuarat Agung Pertama bagi melantik AJK. Mesyuarat diadakan di Dewan Komuniti berhampiran Surau Al-Mujahidin Desa Surada. Adun Bangi dijemput bagi merasmikan persatuan.Turut hadir pada malam ini ialah Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj Zon 23, Mejer (B) Abdul Halim selaku Penasihat Persatuan, Encik Muhamad Bin Hanapiah Pengerusi Persatuan, saudara Shukor Atan Pengerusi Surau Al-Mujahidin dan ahli-ahli yang berjumlah (yang hadir) lebih kurang 30 orang.


Encik Muhamad Hanapiah selaku Pengerusi PPKM telah berucap mengalu-ngalukan kehadiran Adun, tamu-tamu dan ahli-ahli yang hadir. Menurut En. Muhamad PPKM ditubuhkan tidak lain dari untuk membela dan menjaga kepentingan ahli-ahli PPKM. Menurutnya setakat ini persatuan berjaya mengumpul ahli seramai 45 orang. Mereka adalah sama ada dari Bangi, Kajang, Semenyih dan Cheras Batu 5.


Adun Bangi sewaktu dijemput berucap dan merasmikan Mesyuarat Agung PPKM mengucapkan terima kasih di atas jemputan dan mengucapkan tahniah di atas penubuhan PPKM yang diketuai oleh En. Muhamad Hanapiah. Menurut Adun Bangi, peniaga-peniaga kecil sememangnya wajar berpersatuan. Kerana dengan berpersatuan dapat membela dan menjaga kebajikan ahli. Banyak cabaran dihadapi oleh peniaga-peniaga kecil seperti mendapat modal, lokasi tapak dan ancaman-ancaman. Dengan berpersatuan masalah-masalah yang dihadapi dapat diselesaikan melalui persatuan. Urusan dengan berbagai pihak lebih diberi perhatian dari perseorangan. Permohonan dan aduan kepada pihak berkuasa lebih diberi perhatian. Adun Bangi menyebut Kerajaan Negeri ada memberi bantuan dan bimbingan di bawah skim latihan dan bantuan usahawan. PPKM boleh mendapat maklumat dan mengambil faedah bagi ahli-ahli. Pada masa ini Kerajaan Negeri juga menyediakan pinjaman Micro Credit yang disalurkan melalui Pejabat Daerah. PPKM boleh menanyakan peluang yang boleh dimanfaat oleh Ahli. Adun Bangi juga berharap PPKM dapat berusaha membimbing ahli dalam perniagaan seperti mengikuti dan menganjurkan kursus-kursus perniagaan dan keusahawanan, mendapat modal dan bimbingan. Antara yang wajar difikirkan ialah penubuhan koperasi bagi mengumpul modal yang dapat dipinjam oleh ahli. Adun berharap pada satu masa PPKM dapat memiliki bangunan sendiri sebagai pejabat di samping sebahagian disewakan. Adun Bangi akan terus sedia bekerjasama dengan PPKM bagi memajukan peniaga-peniaga kecil dan berharap hubungan akan dapat diteruskan.


Sebelum daripada itu Ustaz Shafie Ngah bercakap atas kedudukannya sebagai Ahli MPKj. Beliau menerangkan mengenai perlesenan perniagaan. Pihak MPKj dalam pendekatan mencari tempat yang strategic bagi mengumpulkan peniaga-peniaga kecil yang kebanyakannya bersifat berselerak dan kadang-kadang memburukkan pandangan. Antara tempat strategic bagi peniaga-peniaga kecil yang dikumpulkan seperti di Seksyen 8 BBB, 4 Tambahan dan Seksyen 3. Beliau menasihati peniaga-peniaga mendapatkan lesen. Perkara ini lebih mudah diuruskan melalu persatuan. Banyak perkara lagi lebih mudah diuruskan melalui persatuan. Pihak berkuasa tentulah lebih memberi perhatian urusan-urusan dan permintaan-permintan melalui persatuan. Beliau juga berpesan agar peniaga dan persatuan memberi perhatian dari segi kebersihan tempat dan makanan. Tidak ada kompromi mengenai kebersihan. Sebarang premis perniagaan, khususnya peniaga makanan yang tidak memenuhi piawaian boleh ditutup. Kita berharap peniaga-peniaga lebih maju jaya melalui berpersatuan.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment