December 27, 2010

Sumbangan 'Kembali Ke Sekolah' 2011 DUN Bangi

Sungai Ramal Dalam, 19 Muharram = 26 Disember (Ahad):

Program `Back To School` adalah menjadi acara tahunan bagi Adun Bangi. Bagi tahun 2011 diadakan di Sekolah Agama Sungai Ramal Dalam. Majlis ini berlangsung dari jam 8.00 pagi dan berterusan hingga jam 12.00 tengahari. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bangi ini diurus oleh Dewan Muslimat Pas Kawasan Serdang yang Pengarahnya En. Abu Bakar Alias dan Timbalannya Pn. Siti Arbaisah Misman, Setiausaha Cik Aishah, Bendahari Cik Affiza Talha dan sejumlah AJK. Tujuan diadakan Program Kembali Ke Sekolah ialah untuk membantu meringankan beban anak-anak miskin kembali ke Sekolah mulai awal Januari 2011.
Pada tahun ini seramai 142 orang murid dari berbagai Sekolah dan berbagai kaum diberi bantuan. Bantuan berupa kewangan dan barangan bagi setiap orang. Selain dari murid dan pelajar, turut hadir ibu bapa anak-anak yang memenuhi dewan Sekolah. Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj turut sama hadir.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, menekankan bahawa pihak Kerajaan Pakatan Rakyat dan Adun Bangi memberi perhatian utama dari segi pelajaran. `Pelajaran Untuk Semua` adalah menjadi motto bagi kerajaan Negeri Selangor dan Adun Bangi. Kata Adun, ``Kita tak mau berlaku ada anak-anak tak bersekolah kerana tiada kewangan.`` Kita berusaha agar semua anak di negeri Selangor, khususnya di DUN Bangi mendapat pendidikan. Kita mau tiap murid/pelajar, sekolah, daerah, bahkan negeri maju di dalam pelajaran. Sebagai Negeri Maju, maka Selangor harus ke hadapan dari segi pencapaian pelajaran. Keputusan Peperiksaan PMR pada minggu ini Selangor di tempat keempat. Ini sudah tentu belum memuaskan. Kita mau Sekolah-sekolah, murid dan pelajar di Bangi mencapai keputusan pelajaran cemerlang. Kita memang berusaha bagi meningkatkan prestasi pelajaran murid dan pelajar di Bangi. Bantuan hari ini adalah sebahagian darinya, di samping bantuan dan insentif yang lain.. Kita juga memberi insentif kepada pelajar maju dan pelajar miskin, tetapi maju. Kita berbangga dengan kemajuan murid dan pelajar dan terus memberi galakan.

Sebelum daripada itu Saudara Nushi bin Mahfuz Pensyarah UIAM menyampaikan motivasi kepada murid, pelajar dan ibu bapa yang hadir. Beliau menekankan kerjasama antara Sekolah, guru dan ibu bapa penting di dalam mendidik anak-anak. Mereka hendaklah diberi perhatian dari awal dan mengelak mereka dari terjebak dari kegiatan-kegiatan yang merugikan diri seperti berkawan dengan anak-anak nakal yang memasalahkan mereka dari segi sosial. Mereka hendaklah dididik dalam suasana keagamaan dan mencintai pelajaran.

Adun Bangi menyampaikan bantuan kepada semua pelajar atau wakil mereka dari kalangan ibu bapa. Setiap pelajar menerima bantuan dalam bentuk kewangan dan barangan yang berjumlah RM100/= setiap orang.

Pada akhir majlis jam 12.00 tengahari ibu bapa, murid dan pelajar bersama Adun menyertai jamuan rakyat di kantin Sekolah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment