June 9, 2011

Balada Pilu Seorang Ibu

(Dengan apologi kepada Puan Suriani binti Shafie, Putera-Putera & Puterinya)

(A Prose Poetry)

Ketika benih kasih yang kita semaikan di sini membuah mesra dengan anak-anak kita sedang membesar dan dahagakan belaian serta semangat bagi mengisi masa depan dengan pelajaran, tiba-tiba nahas heli dalam bertugas itu dengan kejam merampas kasih sayang. Dengan takdir itu abang pergi meninggalkan kami termangu di sini – tanpa jaminan. Bagaimanakah kami menghadapi situasi yang segala-galanya masih segar berdepan. Ruang tamu yang menjadi himpunan kita sekeluarga bermesra dan gelak ketawa dan kadang-kadang teguran dan marah mendidik, masih terpandang-pandang dan terngiang-ngiang. Meja makan yang menghimpunkan kita sekeluarga menikmati rezeki Ilahi dengan ketiadaan bapa mengurangkan selera anak-anak, bahkan cenderung mereka berasingan seolah-seolah mereka mahu lindungkan bahawa apa yang mereka makan ialah kepingan kedukaan dan yang mereka minum ialah air mata kesedihan. Sesungguhnya kemesraan di meja makan bertukar kemuraman.

Roh dan semangat abang seperti masih bersama. Tiap pagi ketika menyediakan pakaian anak-anak ke sekolah, masih kusediakan unifom pakaian untuk dipakai abang bagi menghantar mereka dan terus ke tempat kerja. Kelupaan itu kadang membuat kumerasa masih bersama di tempat beradu. Puncak sendu dan sayu apabila yang kujamah ialah bantal dan cadar. Ya Allah ! Bagaimanakah derita ini mampu ku tanggung ? Bila duka membumbung, sedikit derita dapat dikurangkan, ialah dengan menguak pintu bilik anak-anak yang sedang lena tidur dan memerhati mereka seolah-olah terlihat dari mereka sinar cahaya harapan, walaupun masih berbalam. Kedukaan ini membawa diri lama bertafakkur di atas sejadah duka untuk menterjemahkan realiti kepada sabar dan reda.

Abang ! Di teratak lindungan yang kita bina, inilah syurga kehidupan yang kita idamkan. Segala peristiwa suka duka terakam di sini. Ingin diri dan putera-puteri kita mahu kekal di sini menyalakan terus kehangatan kasih yang kita cetuskan dan menghirup mesra yang kita adunkan. Tetapi kita orang kecil, sukar mendapat pembelaan orang besar, walaupun kita berkhidmat untuk mereka. Setelah dua purnama bertahan di sini, desakan hidup itu menghimpit kami, sedangkan permata-permata hati kurnia Ilahi dari kasih kita bersama perlu dijaga dan dididik sebaik mungkin, sedang pusara kanda di desa berhampiran keluarga menggamit rindu kami ingin bersama. Dari tahajud dan istikharah penilaian adalah lebih wajar bagi diri ini dan anak-anak dibawa pulang ke pangkuan desa dekat dengan pusara bapa mereka dan berada di dalam riayah keluarga di samping adinda mencari rezeki meneruskan hidup bersama. Di desa mungkin anak-anak kita mendapat kesegaran bersama sepupu-sepupu mereka dan kenalan lama. Yang penting mereka akan meneruskan pelajaran dalam keadaan tidak tertekan, bahkan dalam keadaan aman. Bukankah di desa yang hijau dengan bendang, pohon-pohon rendang dan sungai kecil jernih berlari, bukankah di sini bermulanya cinta kita bersemi ?
Insya Allah anak-anak kita akan mengulangi kehidupan kita pagi bersekolah, petang mengaji Qur`an, mengikuti pelajaran agama dan berjamaah di surau. Insya Allah kami akan didik sehingga mereka mengikut jejak langkah abang menyambung pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Teratak yang kita bina di Taman yang kita besarkan anak-anak kita tidak kami jual dan gadai. Ia antara pertaruhan sewa bulanan bagi menampung perbelanjaan anak-anak kita di samping adinda bekerja. Biarlah adinda sekali sekala mengarak rindu menghangatkan cinta kita antara ziarah rumah kita di kota dan menghening jiwa di desa, sebelum anak-anak kita menamatkan pengajian, bekerja di ibu kota dan berkemampuan kembali tinggal di teratak cinta yang kita bina.


Shafie Abu Bakar,
Kajang Utama,
03 Rajab 1423
06 Jun 2011.

No comments:

Post a Comment