Dalam membicarakan tentang bab Fiqh Politik Yang Matang dari teks Fiqh ad-Daulah fi al-Islam oleh al-Qaradhawi, Prof. Madya Dr. Muhammad Nur Manuty Fellow Kanan KUIS yang membuat huraian dalam siri Kuliah Bulanan di Kediaman Menteri Besar di sini selepas Maghrib mengkategorikan pendekatan fiqhiyyah ulama` Islam dari dahulu hingga terkini dapat dilihat dalam tiga kategoroi. Iaitu al-Isalah (Asal), pendekatan yang keras dan pendekatan yang bersifat wasatiyyah dan semasa.
Golongan Al-Isalah – asal dan tradisional. Golongan ini dihormati dan menjadi asas pendekatan fiqhiyyah. Ini dapat disusur galur kepada peringkat awal Islam seperti Imam Malik dan imam-imam yang empat. Pembicaraan dari segi fiqhiyyah sudah jadi standard. seperti membicarakan tentang Ibadat, Muamalat, munakahat, jinayah dan Jihad. Ulama-ulama fiqhiyyah tradisional seterusnya seperti kehilangan pendekatan dan terus mengikuti jejak pendekatan tradisional. Akhirnya pendekatan sedemikian yang diakui penting, tapi semacam static dan tidak berkembang dengan perkembangan semasa dan zaman.
Pendekatan kedua ialah pendekatan keras dan seakan memaksa, tiada semacam diplomasi dan tahaluf. Menurut Dr. Mohd Nor Manuty contoh pendekatan keras pada peringkat awal ialah golongan Khawarij yang keras terhadap Ahlussunnah dan Jabariyyah. Pada peringkat mutakhir pendekatan keras dapat dilihat pada Al-Mujahidin dan yang lebih keras ialah Taliban dan juga Al-Qaedah. Beliau mengkategorikan Shiah juga termasuk di bawah pendekatan yang keras. Beliau menyatakan pendapatnya bahawa pendekatan yang keras tidak akan maju dan berkembang dan akan setengahnya berakhir dengan sendiri. Tokoh moden yang beliau kategorikan sebagai mempunyai pandangan-pandangan yang keras yang menyebabkan beliau terseret ke tali gantung iaitu Syed Qutb.
Golongan ketiga yang beliau tekankan ialah Golongan Wasatiyyah dan menyesuaikan dengan waqi` semasa. Baginya Al-Qaradhawi tergolong di bawah kategori ini. Al-Qaradhawi melihat Islam adalah Din yang Syumul, ianya masuk kesemua sudut peraturan kehidupan. Pendekatan fiqh masuk kepada semua aspek. Kalau dulu Imam-Imam fiqh dari mazhab empat juga seperti Ibn Taymiyyah, Ibn al-Qayyim dan Al-Ghazali terikat dengan pendekatan tradisi, tetapi Al-Qaradhawi meneroka pendekatan baru yang bersifat semasa (Al-Fiqhul Waqi`) . Dulu tidak ada ulama yang meneroka ke dalam dimensi seperti Fiqh al-Muwazanah, Fiqh at-Taghyir, Fiqh al-Maqasid, Fiqh Al-Auliyat, Fiqh al-Jihad dan sebagainya yang menyentuh mengenai perkembangan semasa, menjadikan fiqhul Islam semasa dan releven.
Dr. Mohd Nor Manuty yang mendukung ABIM itu memasukkan pergerakan Ikhwanul Muslimin sebagai gerakan Wasatiyyah sederhana yang menurutnya Al-Qaradhawi terlibat sama mengasaskannya. Beliau juga menkategorikan ABIM ke bawah golongan yang bersifat sederhana, tetapi sebagaimana Ikhwanul Muslimin di Mesir di bawah pemerintahan yang lalu di Mesir tidak disenangi dan disekat demikianlah dengan ABIM menghadapi situasi yang sama dan berhati-hati mengambil pendekatan agar tidak berlaku pertembungan yang keras dengan pihak pemerintah. Beliau melihat perubahan pendekatan di dalam PAS kepada `Negara Berkebajikan` sebagai perubahan dari dulu yang boleh disifatkan sebagai keras kepada situasi yang bersifat Waqiiyyah. Di dalam perbincangan lanjut apabila ditanya adakah beliau bersetuju diterjemah `Baldah Tayyibah` kepada `Negara Berkebajikan ?`, Beliau menyebut di Indonesia diterjemahkan `Negara Terbaik` dan dalam bahasa Inggeris sebagai `Excellence State`, bukan `Welfare State`, kerana dengan menterjemahkannya kepada `Welfare State` memberi implikasi yang besar terhadap falsafah, budaya, ekonomi dan sosial. Profesor Dr. Syed Muhammad Naguib al-Attas seorang ahli falsafah dan pemikir semasa sering menyebut di dalam kuliah-kuliahnya, bahawa dengan menjadikan England sebagai `Welfare State` negera yang pada abad 18, 19 dan 20 begitu maju dengan berbagai perkembangan ilmu pengetahuan, kreatif dan innovatif dan berjaya menguasai tiga perempat dunia, tetapi pada abad 21 menjadi Negara yang kecil dan tidak maju kerana mencandu masyarakatnya terutama golongan muda dengan subsidi yang menjadi ciri `Welfare State`. Rakyat di England, termasuk golongan muda boleh hidup kalau tak bekerja, kerana kerajaan memberi elaun sara hidup. Elemen subsidi ini juga wujud di dalam Negara Malaysia, terutama memberi subsidi kepada bumiputera yang menyebabkan mereka malas dan tidak kopetatif serta terkebelakang. Umat Islam juga jangan jadi umat subsidi yang menyebabkan mereka lemah dan tidak kompetatif.
Hadir pada malam ini ialah YAB Tan Sri Dato`Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, YB Dr. Shafie Abu Bakar Ahli Dewan Negeri Bangi, Prof. Dr. Rosti Suruwono Presiden dan Naib Canselor Unisel, Pengarah JAIS S.S. Tuan Haji Marzuki bin Hussein, Dato` Mohd Maidin Pengarah Inspen, pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment