June 1, 2011

Timbalan Presiden Pas: Pertandingan Menepati Citra Dan Kriteria Terbina

BBB, 28 Jamadil Awal = 01 Jun (Rabu):

Di awal bulan yang lalu siapa bakal menawarkan diri untuk kerusi Timbalan Presiden Pas masih kelihatan lembab, tetapi penyandangnya iaitu YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa pasti mempertahankan jawatan yang disandangnya. Kelembapan oleh kerana proses pencalonan dari kawasan-kawasan sedang berjalan dan pengumpulan data sedang dilakukan. Namun ada kalangan media yang mencium maklumat dan menampilkan dapatan tidak rasmi antara calon terkehadapan dipilih kawasan ialah Tuan Haji Mat Sabu. Maka bermula dari itu permukaan suasana politik Pas yang tenang mulai beriak. Saudara Mat Sabu memberi respond positif, Nampaknya kedudukan YB Ustaz Nasharuddin mulai tercabar. Namun pada tahap ini kita menganggap sebagai memanaskan suasana dan sebagai adat kebiasaan, sesuatu yang baru berbanding dengan yang lama disanjung, walaupun belum berasaskan kepada penilaian secara objektif. Walau bagaimana dalam perlumbaan peringkat awal saudara Mat Sabu semakin ghirah oleh sokongan yang makin bertambah berpihak kepadanya dan kelihatan YB Ustaz Nasharuddin seolah-olah tergugat. Walau bagaimana YB Ustaz Nasharuddin memperlihatkan ketenangan dan kematangan dan tidak membuat komen yang lebih dari kewajaran, tetapi konfiden akan terserlah suasana berpihak kepadanya.

Suasana di atas adalah pada peringkat penawaran diri antara saudara Tuan Haji Mat Sabu dengan penyandang – YB Ustaz Nasharuddin. Seorang lagi calon berkelayakan dan mendapat undi tertinggi bagi pemilihan Naib Presiden bagi pemilihan mutakhir yang lepas ialah Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man. Pada peringkat awal beliau meluahkan pendiriannya tidak berhajat untuk menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Presiden. Namun pada akhirnya melihat kepada pencalonan yang diterima menggalakkan dan melihat kepada suasana dan mungkin juga ada desakan perlunya beliau bertanding bagi kepentingan pimpinan parti, maka beliau disifatkan membuat `U turn` dan menerima pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden. Kemasukan beliau dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden merencatkan peningkatan sokongan terhadap Haji Mat Sabu dan memulihkan kedudukan YB Ustaz Nasharuddin yang dilihat sebagai terancam. Kini dilihat ketiga-tiganya ada keseimbangan dan seolah-olah berada pada permulaan track bagi memulakan pelarian dan pertandingan dalam memenuhi citra dan kriteria tokoh pimpinan Pas.

Pada dasarnya ketiga-tiga calon yang menawarkan diri mempunyai kelayakan dan mempunyai kelebihan masing-masing. Tuan Haji Mat Sabu terkenal sebagai aktivis yang mampu menggerakkan massa bagi sebarang protes, tunjuk perasaan dan perarakan. Untuk itu beliau sering ditahan polis dan keluar masuk lockup. Lebih dari itu beliau adalah tokoh pidato yang dapat menarik puluhribuan penonton dan menghangatkan perhimpunan. Kehadiran beliau meningkatkan semangat dan kemeriahan. Tokoh seperti ini amat diperlu oleh parti bagi menarik sokongan ahli. Sukar mendapati sepertinya di dalam parti.

YB Ustaz Nasharuddin mampu membina imej intelektual dan juga ulama. Beliau mampu berada di kalangan intelektual bertaraf antarabangsa dan menyampaikan idea di dalam bahasa Inggeris dan juga Arab. Beliau tidak berucap sebagai pemidato terkenal, tetapi dapat mengatur idea dan pengolahan secara akademik. Ini menggambarkan beliau seorang yang membaca. Di samping berimej intelektual beliau juga membawa ciri ulama dengan kemampuannya bercakap di dalam bidang-bidang keislaman dan sememangnya beliau bekas pensyarah di pengajian tinggi. Kekuatan intelektual-ulama memberi kekuatan kepadanya dan dengan kekuatan ini melayakkan beliau mencapai kedudukan sebagai Timbalan Presiden. Tetapi kedudukan beliau dicabar adakah dianggap beliau sudah agak lama dan tidak lagi mampu menampilkan sesuatu yang baru atau imejnya tidak sepenuhnya ulama` ?

Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man berjaya membina perwatakan berciri `ulama`. Kekuatan ini menjadikan beliau calon tertinggi mendapat sokongan bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan yang lepas. Imej dan kekuatan wataknya terus terbina. Dengan kekuatan ini beliau menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden. Beliau dianggap berkelayakan bagi jawatan `Presiden Menunggu` sebagaimana kelayakan penyandang Timbalan Presiden sekarang. Tetapi Dato` Tuan Ibrahim dianggap menepati citra dan kriteria Ulama yang ketara dituntut parti dan faktor ini terbina dan semakin kukuh selepas kejatuhan Asri selepas 1982. Kini tertanam di dalam minda para pendukung Pas, bahawa kalau bukan ulama, maka peluang ke pimpinan tertinggi terhenti. Bagi golongan intelektual ada had dan siling bagi mereka. Mereka dialu-alukan dari segi research dan sumbangan idea, tetapi tidak sampai merampas kedudukan ulama. Memang dengan kedudukan dan wibawa ulama memantapkan Pas sebagaimana keadaannya kini, tetapi dari satu segi menjauhkan golongan intelektual untuk melibatkan diri secara sungguhan, apa lagi golongan seperti ini dilabelkan dengan berbagai nama contoh ordogen dan sebagainya. Pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden nampaknya bukan sekadar menampilkan kelayakan individu dan peribadi, tetapi antaranya mesti menepati citra dan kriteria terbina atau memecahkannya ? Tentunya penuh kesukaran !

Sekian.

1 comment:

  1. PAS harus laksanakan penguatkuasaan syariah kepada pakaian wanita2 Islam di Selangor...ramai yang ketat2 menyeksakan mata...start di Selangor dahulu sebelum Malaysia..

    .......+++++++........
    Demi Manafaat Sesama Kita,
    Ingin Berkongsi 2 Blog Menarik Dengan Anda:
    Blog Kempen Anti-Leggings
    Blog Kempen Anti-WanitaSEKSA

    ReplyDelete