June 6, 2011

Muktamar Pas Ke 57 Di Melewar: Yang Menang Ialah Perwakilan

BBB, 03 Rajab = 05 Jun (Ahad):

Muktamar Pas yang tamat pada hari ini setelah bersidang dari Jumaat 1 -3 Rajab 1432 bersamaan 3 – 5 Jun 2011 disifatkan berjaya mencetuskan kelainan yang bakal membawa perubahan ketara bagi mencorakkan Pas pada masa hadapan, di samping mengundang kontroversi dan kritikan. Mitos ulama sebagai mentor yang isyarat darinya harus diikuti tidak dipeduli. Ulama dilihat selama ini sebagai statis dan diam dan kurang dengan dinamika yang membawa kemajuan. Isu-isu yang timbul di sekeliling bersifat tempatan, Negara dan antarabangsa tidak diberi respond dan tidak ditangani secara baik yang peluang sedemikian boleh meningkatkan imej ulama. Keputusan pemilihan 0leh 1077 perwakilan boleh disifatkan sebagai hasil kematangan perwakilan dan bukan dari pengaruh dalaman atau luaran.

Pemilihan Timbalan Presiden adalah puncak kematangan perwakilan bermuktamar. Di dalam pemilihan ini memperlihatkan perwakilan adalah konsisten dengan pendirian. Pada peringkat permulaan perlumbaan berlaku antara penyandang YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Tuan Haji Mohd. Sabu. Dalam perlumbaan ini memperlihatkan Mat Sabu terkedepan. Apabila Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man yang pada peringkat permulaan tidak berhasrat untuk bertanding, tetapi merubah pendirian kepada bertanding, dijangka merubah pendirian perwakilan, tetapi ternyata perwakilan konsisten dengan pendirian. Tidak berlaku pemecahan undi, kerana jika tidak berlaku pertandingan tiga penjuru, bererti kedua-dua calon menerima peningkatan undi. Sebenarnya pemilihan calon bagi perwakilan ditentukan dalam mesyuarat agung kawasan atau diberi mandate kepada Dewan Harian atau jawatankuasa pemilihan buat penentuan. Dalam kata lain pemilihan calon telah ditentukan dan perwakilan adalah membawa mandate apa yang telah ditentukan dalam mesyuarat agung. Di dalam hal ini Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan kesediaannya untuk bertanding sesudah sebahagian besar perwakilan membuat keputusan dan mereka patuh dengan keputusan yang telah dibuat. Sikap Dato` Tuan Ibrahim sendiri memperlihatkan dia tidak konsisten dengan pendirian dan dianggap sebagai proksi kepada yang lain. Pemilihan Tuan Haji Mat Sabu dilihat sesuai dengan watak beliau yang berani bertindak, mampu menarik khalayak. Dia adalah wira yang akan mengepalai gerak gempur pilihanraya dan sememangnya beliau paling digeruni musuh.

Para perwakilan adalah mereka yang matang dan tidak terpengaruh dengan usaha pihak-pihak luar yang cuba melencong pemikiran perwakilan dan orang ramai dengan perkara yang tidak wujud dan tidak disedari oleh kalangan dalam parti pun. Mereka berusaha untuk memecahbelah ahli dan perpaduan parti. Mereka menyifatkan golongan yang bukan ulama sebagai golongan erdogan, Anwarisme dan pro Anwar. Pada hakikatnya tidak wujud dan merupakan permainan media semata-mata. Kita lihat di dalam pemilihan Naib Presiden maka pemilihan adalah berdasarkan kelayakan dan kemampuan calon. YB Salahuddin Ayob adalah pemimpin berkemampuan berdasarkan rekod-rekod kerjanya selama ini. Demikian YB Husam Musa seorang yang matang dari segi politik dan tidak terjejas dengan usaha memfitnahnya, begitulah juga dengan YB Mahfuz Omar. Pemilihan mereka bukan atas dasar erdogan dan tidak ada Anwarisme dalam Pas. Ahli Pas adalah pendukung Pas dan kedudukan Pas seharusnya setaraf dengan parti-parti yang lain, bukan menjadi pendukung atau pengikut parti yang lain yang boleh menjejaskan parti. Ketiga-ketiga mereka adalah golongan muda yang masing-masing mempunyaiu dinamika yang mampu memacu parti untuk kemenangan di dalam pilihanraya ke 13. Pemilihan AJK Tertinggi juga adalah merupakan pengukuhan bagi trend yang berlaku.

Mukrtamar ke 57 mampu membawa perubahan yang drastic dengan terpilihnya pemimpin-pemimpin yang relatifnya muda dan dinamik. Cuma hasil yang tercetus dalam Muktamar dilihat ada perkara yang akan digunakan oleh musuh di dalam menghentam Pas itu sendiri. Misalnya perubahan dari prinsip memperjuangkan Negara Islam kepada pendekatan bersifat kebajikan dilihat sebagai escapisme kononnya tiada ayat di dalam al-Qur`an tentang Negara Islam, tetapi bagaimana dengan Madinah hasil dakwah dan perjuangan Rasulullah ? Akan timbul, bahkan sudah timbul tuduhan bahawa perubahan pendekatan demi menyesuaikan dengan pendirian parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Mereka akan menuduh apakah semudah itu kita menggadaikan prinsip bagi menyenangi teman-teman. Lebih jauh dari itu kita dilihat dan dituduh tunduk pada kemahuan orang lain dari mempertahankan prinsip yang berdekad diperjuangkan. Perhatian juga perlu diberi kepada elemen-elemen yang sengaja dicetuskan oleh pihak luar, khususnya media misalnya mengkelompokkan pemimpin Pas kepada erdogan dan ulama, pro-Anwar atau Anwarisme seharusnya ditangani sebaik mungkin agar kekukuhan parti tidak terjejas dan matlamat mencapai kemenangan parti dalam pilihanraya ke 13 tidak terhalang.

Sekian.

1 comment:

  1. Setuju dengan pandangan Dr.Shafie.Yang menang sebenarnya ialah perwakilan.Muktamar kali ini,perwakilan telah menunjukkan kematangan dan faham PAS akan berhadap dengan PRU ke13.Perwakilan mahukan pemimpin yang boleh bekerja,rajin,gigih dan punya idea yang dapat menandingi pihak lawan UMNO/BN.Perwakilan telah melakukan pembetulan kerana telah tersalah pilih diMuktamar,Shah Alam.Mereka telah melihat padahnya dan masa untuk membuat lagi kesilapan sudah berakhir.Perwakilan mengenepikan momokan UMNO "Ulamak vs Profesional" dan telah memilih pemimpin yang berkaliber,rajin dan boleh diharap.Tahniah kepada perwakilan semua.

    ReplyDelete