June 18, 2011

Membesarkan Surau Taman Sutera - ADUN Bangi Melawat

Taman Sutera, Kajang, 15 Rajab = 17 Jun (Jumaat):


Taman Sutera adalah Taman Perumahan yang relatifnya baharu. Taman ini baru dihuni pada tahun 2007. Perumahan di sini sekitar 300 buah rumah dan beberapa rumah pangsa. Majoriti penduduknya adalah orang Islam (95%). Lantaran itu sebagai satu Taman yang dari segi politiknya berada di bawah kawasan Balakong Serdang, Adun mengikuti dan terlibat dengan perkembangan kawasan ini sejak awal lagi. Bagi keperluan ibadat dan kemasyarakatan sejak awal lagi penduduk secara berpakat mendirikan surau kecil di sini yang dapat digunakan sejak 2009. Surau ini menjadi pusat bukan saja bagi ibadat, tetapi juga kegiatan keilmuan, pendidikan dan kemasyarakatan. Adun sendiri sering dijemput menyertai berbagai-bagai kegiatan.


Sebagai satu Taman Perumahan yang tersendiri dan agak jauh dari Masjid Cheras Jaya dan Kajang timbul keperluan bagi dirikan solat Jumaat di surau tersebut. Adun menyokong mendirikan sembahyang Jumaat di Surau Taman Sutera ini dan kelulusan diberi oleh JAIS dan solat Jumaat didirikan di sini sejak minggu kedua Mac 2011 yang lepas. Apabila solat Jumaat didirikan di sini, didapati ruang surau tidak dapat menampung jamaah bagi menunaikan solat Jumaat. Lalu usaha yang diketuai Tuan Haji Ramli Pengerusi Persatuan Penduduk dan Cikgu Nazri Pengerusi surau digembeling bagi meluaskan Surau Taman Sutera ini. Kemuafakatan penduduk di sini adalah tinggi sebagaimana mereka dulu dirikan surau secara gotong royong dari segi peruntukan, maka bagi membesarkan surau mereka juga bergotong royong.


Adun datang ke Surau Taman Sutera pada hari ini atas jemputan menjadi khatib Jumaat dan juga melawat surau yang sedang diperbesarkan. Menurut Tuan Haji Ramli, kos bagi memperbesarkan surau dijangka memerlukan sejumlah RM60,000. Apa yang membanggakan pihak penduduk dalam masa yang singkat menderma dan kini berjumlah RM45,000. Kata Cikgu Nazri. Pengerusi Surau, ``Insya Allah kekurangan akan dapat ditampung oleh penduduk dalam masa terdekat. Adun menyaksikan yang surau sedang rancak ditambah bahagian kiri bangunan. Ruang tambahan dijangka siap pada akhir Jun ini juga. Walau bagaimana bangunan surau ini adalah bersifat sementara dari segi mendirikan solat Jumaat. Kerana pihak penduduk dan surau mempunyai perancangan jangka panjang bagi mendirikan masjid. Adun dimaklumkan bahawa:


Sebenarnya kawasan lapang (padang) seluas 10 ekar bersebelahan surau disediakan sebagai tapak bagi masjid dan Pendidikan. Menurut Tuan Haji Ramli dan Cikgu Nazri pihak penduduk telah membuat permohonan supaya didirikan masjid. Bahkan pada kawasan yang agak luas ini juga akan didirikan Sekolah Kafa (Agama) bersebelahan. Kedua-dua bangunan dijangka memakan peruntukan sebanyak RM11 juta. Daripada jumlah ini, bangunan untuk masjid dijangka sebanyak 4.5 juta dan selebihnya ialah bagi pembinaan Sekolah agama. Adun ditunjuk tapak masjid akan datang dan juga tapak bagi Sekolah Agama.


Dengan semangat yang ditunjukkan oleh Tuan Haji Ramli Pengerusi penduduk dan Cikgu Nazri Pengerusi Surau dan kesungguhan penduduk Adun Percaya hasrat penduduk inginkan sebuah masjid dan sebuah Sekolah agama akan terlaksana – Insya Allah.


Sekian.

No comments:

Post a Comment