Selepas merasmikan sambutan satu dekad sebuah surau di Kajang pagi ini Adun segera pulang dan bersedia bertolak ke Terengganu dengan dua tujuan. Pertama menunaikan jemputan kahwin anak sepupu di Paka (dari keluarga pendokong kuat Pas) dengan anak lelaki seorang Bendahari Pas Pandan Indah, Kuala Lumpur dan kedua menziarah kematian bapa saudara isteri dua minggu lepas, tetapi tidak berkesempatan menziarah pada masa itu. Selain dari itu menziarah keluarga yang lain yang mana berkesempatan. Adun mohon kemaafan kerana tidak dapat menunaikan jemputan-jemputan kahwin di DUN Bangi hari ini dan esok.
Perjalanan agak sesak terutama antara Sungai Besi ke Gombak. Apa yang menarik di dalam perjalanan ini, pada sebelah kanan jalan Adun melihat perarakan-perakan bola. Ya pada malam ini pertandingan bola FA final antara Terengganu dan Kelantan – dua pasukan dari Pantai Timur Semenanjung juga dua negeri jiran yang sering `bermusuhan` dari segi sukan bola sepak.
Perarakan Bola dimaksudkan ialah penglahiran sokongan penyokong-penyokong bola dari pasukan sama ada kepada negeri Terengganu atau Kelantan, iaitu dengan cara beberapa motokar berkonvoi menaikkan bendera di kanan atau kiri, bahkan di kedua-dua belah kereta, iaitu dengan bendera negeri yang disokong sama ada Terengganu atau Kelantan. Ada motokar yang bergerak secara sebuah-buah. Apa yang lucu ada kereta yang memasang kedua-dua bendera – Terengganu dan Kelantan pada sebuah kenderaan. Ada yang memasang secara paparan bendera negeri yang disokong pada permukaan bonet kereta. Bas-bas yang membawa penyokong-penyokong kedua belah pihak juga ditemui di perjalanan yang antaranya memasang bendera negeri dan yang tidak memasang. Beberapa kenderaan four wheel drive memasang bendera Terengganu pada kanan kiri kenderaan berkenaan dan pada tengah-tengah Bendera Pas ! Ini sudah tentulah perarakan berkonvoi yang diambil inisiatif oleh penyokong-penyokong Pas dari Terengganu ! Yang anihnya Adun tidak pula bertembung dengan konvoi atau perseorangan yang memasang bendera Kelantan kiri kanan dengan di tengahnya bendera Pas. Perarakan yang sedemikian berterusan ditemui dari Gombak hingga ke Bentong. Adapun perjalanan dari Bentong ke Kuantan semakin kurang dari kereta yang membawa bendera, kerana hari makin petang, hingga 6.00 petang penokong-penyokong sudah berada di Kuala Lumpur. Adapun penyokong-penyokong Kelantan dari Bentong kebanyakan melalui jalan Gua Musang, Kuala Lipis ke Bentong, sebab itu Adun jarang bertembung dengan kereta-kereta yang membawa bendera Kelantan dari Kuantan ke Bentong.
Perjalanan seterusnya Adun bersama isteri lebih berbual berhubung dengan keluarga sambil menelefon anak-anak yang membawa keluar anak-anak mereka ke tempat-tempat percutian di akhir percutian Sekolah. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 6 jam termasuk waktu rehat dan salat al-hamdulillah Adun bersama isteri tiba ke rumah walimatul urus di Paka (Kg. Baru, Tebing Tembah) jam 7.00 petang dan menzirah dan mengucap tahniah dan baru pergi berihat di rumah Adun di Paka. Semasa di rumah ini kesan dan aura Perarakan Bola Sepak di perjalanan menggerak hati Adun untuk mengikuti siaran langsung perlawanan bola sepak final FAM 2011 antara Terengganu dan Kelantan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Selangor. Penyiaran yang diulas oleh pengulas, Hasbullah Awang dan ko-pengulasnya disifatkan sebagai amat berjaya menarik penonton secara life, khususnya dari Terengganu dan Kelantan. Jumlah mereka menurut pengulas lebih kurang 85,000 orang yang dapat memuat sepenuhnya stadium pertandingan bola sepak berkenaan. Dari paparan gambaran pertandingan antara putih dan merah. Putih adalah berdasarkan bendera negeri Terengganu yang berlatar belakangkan warna putih – di samping hitam dan Kelantan yang warna benderanya didominasi warna merah. Jumlah penonton menurut pengulas adalah lebih ramai penonton dari Kelantan dari Terengganu di samping penonton tempatan dan penonton-penonton dari kedua negeri menetap atau bekerja di Selangor dan kawasan berdekatan.
Perlawanan sejak dari awal kedua-dua pasukan menampilkan kecergasan dan semangat yang tinggi bagi mengatasi antara satu sama lain. Kelantan disifatkan lebih agresif dari segi penyerangan pada separuh pertama perlawanan. Bagi perlawanan separuh pertama kedua-dua pihak tidak dapat mengatasi antara satu sama lain dan kedudukan separuh pertama adalah masih 0 – 0. Pada perlawanan bagi separuh kedua insiden yang mengganggu perlawanan berlaku, iaitu lontaran obor api besar di hadapan penjaga gol Terengganu yang boleh mengganggu perlawanan. Ini membawa pihak pasukan Terengganu membuat protes dan perlawanan dihentikan selama empat minit. Provokasi ini berjaya membangkitkan kemarahan terutama pihak pemain-pemain Terengganu dan menurunkan konsentrasi pasukan Terengganu di dalam perlawanan. Perlawanan boleh disifatkan kasar hingga beberapa kad kuning terpaksa dilayangkan oleh pihak pengadil dan puncak dari penyerangan pada separuh kedua pihak Pasukan Kelantan dapat menyumbat gol sulung menerusi tendangan Nurl Azwan Roya pada minit ke 79 menggagalkan penjaga gol Terengganu Sharbinee Allawi Ramli menyelamatnya menerusi sepakan lambung. Hingga ke akhir waktu pertandingan memperlihatkan Kelantan seakan-akan berjaya memenangi perlawanan jika tidak pada minit ke 90, pasukan Kelantan dikejutkan dengan tandukan bola oleh pemainnya sendiri Daudsu. Dengan kedudukan seri sama ini meningkatkan semangat pemain-pemain Terengganu, sedangkan pemain-pemain Kelantan di bawah latihan Datuk M. Karathu kelihatan letih. Serangan berterusan dari pasukan Terengganu hingga ke minit-minit terakhir dari masa tambahan. 10 minit sebelum permainan berakhir pasukan di bawah bimbingan Irfan Bakti dari Terengganu itu berjaya mengatasi Kelantana dengan tendangan pemain gantian Terengganu Ahmad Nordin Alias di minit ke 110 membawa Terengganu menjulang piala FA 2011 bagi kali kedua sejak memenanginya pada tahun 2000, manakala Kelantan gagal bagi memenanginya bagi kali pertama.
Pada pagi minggu ini, kalau semalam (kelmarin) Sabtu Adun berdepan dengan perarakan penyokong-penyokong Terengganu dan Kelantan dari kedua-dua buah negeri ke Bukit Jalil, maka pada pagi ini, ketika Adun bersama isteri singgah di sebuah warung untuk minum pagi Adun bersama dengan beberapa penyokong Terengganu yang sama singgah minum pagi dengan kenderaan masih bebendera Trengganu parking di tepi jalan. Bila Adun bergerak dari Paka ke Kuala Terengganu untuk berziarah di sana, Adun seolah-olah mengiringi atau dilintasi kenderaan-kenderaan sama ada motokar atau bas-bas yang mengebarkan bendera-bendera Terengganu. Mereka juga singgah diberbagai tempat diperjalanan pulang. Kadang-kadang Adun dihon oleh kenderaan-kenderaan berkenaan (mungkin pada kenderaan Adun terpampang lambing bulan dan kerajaan Selangor !), Perarakn sedemikian dapat dilihat di sepanjang perjalanan dari Paka hingga ke Kuala Terengganu.
Pada sebelah petang hari Ahad ini dalam perjalanan pulang ke Paka, antara lawatan terakhir ialah ke rumah kenalan isteri di Gong Badak, Seberang Takir, Kuala Terengganu. Selepas ziarah rumah kenalan tersebut jam 5.30 petang Adun bertolak pulang ke rumah di Paka untuk kembali bermalam. Ketika keluar dari rumah jiran yang berhampiran dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu itu kenderaan-kenderaan tersekat termasuk kenderaan Adun di sekat di api trafik kerana memberi ruang kepada laluan penyokong-penyokong Terengganu yang menyambut kepulangan wira-wira bola yang pulang dari Kuala Lumpur pada petang ini. Sekatan yang agak lama dan kenderaan Adun tidak jauh dari persimpangan yang dilalui perarakan penyokong-penyokong berkenaan membolehkan Adun merakamkan gambar-gambar dari kenderaan Adun. Apabila laluan trafik light dibuka Adun dapati Adun seolah-olah orang yang turut sama berarak mengiringi pasukan bola yang baru pulang dari Kuala Lumpur. Adun terpaksan mengikuti perarakan dari simpang Lapangan Terbang hinggalah kle Bulatan Batu Buruk dalam mana perarakan bergerak ke kiri ke Bandar Kuala Terengganu dan Adun ke Kanan ke Dungun untuk pulang ke rumah di Paka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment