June 16, 2011

Pentas Politik Itu Sering Menggegarkan Kepimpinan


(Simpati Buat YB. Dato` Dr. Hasan Mohamed Ali)

Pentas politik itu
Tidak selamanya abadi
Tiba masanya kita turun
Dengan kemahuan
Atau arahan
Bahkan paksaan.

Luka kecilku dikesampingkan
Kurang pedihnya dibandingkan
Parah lukamu diturunkan
Gemuruh dulu sanjungan
Allahu Akbar berulang
Sepi kini terdiam
Cuma musuh dulu menikam
Kini hipokrit membelakan.

Politik pimpinan kita muncul
Ketika sangsi menyelubungi
Fitnah kepimpinan dekad 1990an
Sebagai pentadbir dan motivator
Kau tampil dengan sanjungan
Melonjak kau ke pentas pusat pimpinan
Sekaligus merampas kerusi kemenangan
Sedang aku hanya pemecah tradisi
Memenangi kawasan campuran – Kajang
Dengan kemenangan tipis sekadar 37 undi
Dicabar lawan ke mahkamah berulang
Melibatkan Peguam Karpal Singh
Dan Shafie Abdullah dipihak lawan
Sedekad lamanya berguam menunggu keputusan
Melibatkan kewangan RM30 ribu perbelanjaan
Begitu ujian menuntut korban.
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiZdOixHwGzZg2vsaenb3kFAP5Fc23FaxRCcn9GEE4F1D-1MPdJt7JVufSAPg6x41oe5WK9VsiyFdfIlKALgsK2lcpwi2_nBl2qSsFtdK0xID-sOlDLcy6Dh2c6Sssp9MXp6fvhLAWtepSx/s1600/P4195655.JPG

Namun pahit pengalaman
sukarnya menjadi pembangkang
Ketiadaan dana dan peruntukan
Begitu getirnya ujian
Dianaktiri di jabatan-jabatan
Namun kepahitan menjadi manisnya pengalaman
Tapi bintang kita dalam parti cemerlang
Aku membantumu sebagai Timbalan
Dari 2000 hingga 2007
Dan dalam Dewan Negeri
menggoncang dengan hujah
menarik minat dan kehadiran
menggelabahnya pihak kerajaan BN
bukankah Abu Hassan terpaksa berundur
kini penangan terkena pula pada Khir Toyo ?

Kejayaan 1999 kita ulang
Setelah direhatkan antara 2004-2008
Dengan ketara lemahnya pimpinan BN
Angin perubahan bertiup kencang
Dan Pakatan berjaya menukar kerajaan
Kau berjaya di Gombak sedang aku di Bangi
Dengan majoriti semua kaum amat memuaskan.

Dengan berkerajaan dalam pemerintahan
Kita cukup selesa dalam pentadbiran
Kau berada di dalam exco kanan
Sedang aku pembantu sebahagian
Dengan rangka pendekatan peringkat negeri
Dengan MES, Warga Emas, Tawas,
Air Percuma, Pinjaman Pelajaran tanpa faedah
Kredit Bandar, Luar Bandar dan berbagai tawaran
Kita perturun ke peringkat kawasan
Nikmat rakyat di bawah Pakatan
Selain itu peringkat kawasan mempunyai
Pendekatan sendiri dengan peruntukan diberi
Bandar Ilmu identiti Bandar Baru Bangi
Melalui kabinet mini dan saluran parti
Adun dan rakyat mengatur program
Mesra rakyat, sambutan dan perayaan
Gotong royong, cegah denggi pasti kebersihan
Ziarah pesakit, kemalangan dan kebakaran
Menerima aduan menerusi ahli Majlis Ketua kampung
MPKj, Pejabat Daerah ke ADUN dan Dewan
Dan berbagai program dan kegiatan
Berusaha memberi kepuasan dan keselesaan
Warga Bangi di bawah kerajaan Pakatan.

Kata orang lumrah kehidupan
Ketika susah sukar orang mau menanggung beban
Tapi berkat jamaah muafakat membawa berkat
Ketika senang ramai orang berebut mengintai peluang
terkadang hilang ikhlas oleh kepentingan
Sudah menjadi lumrah politik
Setelah sekian lama perjalanan
Dalam sanjungan ada kecaman
Dalam kebaikan ada keburukan
Kalau dulu tenggelam dalam takbir dan sanjungan
Kini suara sumbang dari jauh kedengaran
Bahkan dalam jamaah ada penyokong ada penentang
Dalam pentadbiran ada yang memuji ada mengecam
Bahkan dalam pakatan ada membantah sikap dan pendirian
Gelora politik tak pernah padam
Ada ketika melonjak kepimpinan
Ada ketika menurunkan kedudukan.

Pentas dan kerusi pimpinan politik itu
Terlalu hangat untuk diduduki
Walaupun kelihatan tenang
Tapi menjadi fokus rebutan
Dan di atas nama pemilihan
Dianggap dinamika kepimpinan
Tiba ketika dan masanya
Terima atau enggan
Kita diminta berundur
Memberi laluan.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
11 Rajab 1432
13 Jun 2011.

No comments:

Post a Comment