June 29, 2011

Lajnah Kebajikan Itu Akan Kembali Berkonvoi Mengunjungi Kalian!

(Sebuah Cerkas – Cerita Ringkas)

BBB, 23 Rajab = 25 Jun (Sabtu):

Sebagaimana biasa `Dia` sebagai Ketua Lajnah Kebajikan di bawah Adun Bangi membuat penyiasatan terlebih dahulu setiap aduan yang diterima melibatkan Lajnah Kebajikan. Selepas puashati dan layak menerima bantuan, maka diatur masa yang sesuai, kadang-kadang melibatkan beberapa individu atau kes mahu dilawat pada satu kali turun. Bila mahu turun perlu dipastikan peruntukan kewangan dan barangan cenderahati yang perlu dibawa. Penting juga berapa ramai pengiring yang sanggup turun sama menziarah dan menyampaikan bantuan. Dalam keadaan kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, banjir, tanah runtuh dan sebagainya keputusan perlu dibuat segera termasuk persediaan bahan dan peruntukan. Adalah perkara biasa sebagai Ketua dia mendahulukan peruntukan dari poketnya sebelum membuat tuntutan. Lawatan biasanya bersifat konvoi dan disambut bukan saja keluarga yang kena ziarah, tetapi juga oleh AJK dan cawangan setempat.

Pada petang 24 Jun (Jumaat) itu, seperti biasa dia mengatur program ziarah Dato` Dr. Siddiq Fadhil yang sakit di Hospital Serdang, kepada Setiausahanya dipastikan barangan dan cenderahati yang perlu dibawa dan jumlah pengiring Adun. Biasanya pengiring-pengiring pergi dahulu dan menyambut ketibaan kami. Kalau tempat yang mahu diziarah tidak begitu diketahui, biasanya kami berkonvoi. Dia Ketua Lajnah Kebajikan ini biasanya mendahului kami bersama isteri setianya yang selalu bersama kerana dia juga AJK Lajnah Kebajikan dengan kereta kecil Kelisa berwarna kelabu sepadan dengan Dia dan isteri yang bertubuh kecil.

Pemergian kami ke Hospital Serdang dari Bangi tak ada masalah sama ada sendiri atau diiringi, tapi dalam perjalanan saudara Azizi cuba membuat kepastian sama ada Dia bersama isterinya sudah tiba di Hospital Serdang atau tidak atau kemungkinan dalam perjalanan dari tempat kerja (Pada hari kerja biasanya kami menziarah selepas Asar). Bila saudara Azizi menelefon, ada jawapan yang disifatkan oleh beliau sebagai teragak-agak. Bila ditanya saudara Azizi, `Di mana?,` ` Saya di Hospital` jawabnya.

Dengan jangkaan beliau sudah tiba di Hospital Serdang, kami berdiam diri.
Tetapi bila kesemua jamaah yang mahu menziarah sudah tiba dan tiada Dia dan isterinya,
Kami mulai bertanya, `Dia kata berada di Hospital!`.
Lantas saudara Azizi menghubunginya sekali lagi dan dengan agak malu dan segan beliau menjawab,
`Saya berada di Hopital UKM (HUKM), isteri ada sedikit masalah.`
Sah Dia dan isterinya di Hospital. Tetapi bukan di Hospital UPM yang kami ziarah, tetapi di HUKM.

Selepas membuat lawatan menziarah Dato` Siddiq Fadhil, maka dalam perjalanan keluar dari bangunan Hospital UPM kami mengambil keputusan akan menziarah beliau secepat mungkin, iaitu pada hari esok juga, kerana dari perbualan telefon menunjukkan Isterinya sudah dimasukkan ke Hospital pada hari Rabu lagi, iaitu dua hari sebelum kami mendapat maklumat. Kami perlu ziarah segera, kemungkinan isterinya akan keluar lusa atau sehari dua lagi.

Maka pada petang Sabtu 25 Jun kami berhimpun di Pejabat Adun. Sebenarnya beliau boleh dilawati bila-bila masa sebelum 10.00 malam, kerana beliau masuk bahagian pakar – Swasta di HUKM yang ditanggung oleh majikannya. Sebelum kami bertolak kami pastikan ada muslimat menyertai, kerana yang dilawat adalah muslimat dan tidak begitu manis kalau muslimin saja melawat, walaupun ada suaminya bersama. Dari Pejabat Adun kami bertolak dengan dua buah kenderaan dan dua buah lagi pergi terus dan berkumpul di HUKM. Lebih kurang jam 4.00 petang kami menziarah isterinya di wad khas dan single room yang memberi kebebasan kami berbual dan membolehkan juga kami mengambil gambar sekadar sesuai. Pertemuan didahului muslimat dan kami mengekori dari belakang. Kami semua serombongan lebih kurang 10 orang disambut oleh Dia dengan agak malu, kerana beliau seorang yang lembut, tapi penuh mesra.

Keadaan isteri beliau yang dibedah tidaklah serius dan mampu bercakap dan mengagah seorang anak kecil yang dibawa bersama. Dia begitu bersedia dengan kedatangan kami dan menyediakan air kotak untuk diminum oleh kami. Suasana kebalikan, selama ini kami beramai yang menziarah. Hari ini Ketua Penziarah dan isterinya kena ziarah! Satu kemanisan dan kesyahduan bagi kami berkesempatan menziarah. Andainya maklumat tidak dicungkil saudara Azizi, tidak diketahui maklumat dan terlepas dari ziarah kemudian mengetahui isteri beliau yang juga AJK Kebajikan masuk Hospital, tentulah terkilan bagi kami. Walau bagaimanapun ziarah ini merupakan nikmat dan kebahagiaan bagi kami yang bergiat di dalam berjamaah.

Sebelum bertolak dari Pejabat Adun tadi, kami berbincang kecil, `Sekarang yang diziarah Ketua Lajnah Kebajikan yang darinya dikeluarkan peruntukan, sekarang bagaimana dengan peruntukan? Kami bersetuju dengan mengeluarkan dahulu, kemudian dikira kemudian. Kami berada lebih kurang sejam berziarah bercakap dan bergurau mesra. Terbayang kasih sayang Dia terhadap isterinya. Dia mengambil cuti sepenuhnya dari Rabu dan sampai seminggu menunggu isterinya di Hospital setiap hari dan setiap masa. Menurutnya, Dia hanya pulang sekali ke rumahnya di Seri Kembangan kerana mengambil pakaian. Bila ditanya di mana tidur? ``Di atas kerusi lipat bersebelahan isterinya.`` (Beliau bebas bermalam kerana wad beliau adalah bahagian swasta pakar yang bayarannya adalah lebih tinggi dari biasa – tapi ditanggung majikannya). Setelah berada sejam, kami memohon diri dengan penuh kemesraan.

Kami berharap dalam seminggu dua lagi Konvoi Kebajikan Kami akan bergerak lagi di dahului kereta Kelisa Kelabu mengunjungi pesakit dan mereka yang bermasalah sebagai pernyataan prihatin kami terhadap warga Bangi.

Dia dan isteri begitu banyak menyelesaikan masalah
Tiba giliran mereka berdua pula bermasalah
Tapi cuba dirahsia dan disembunyi dari kami
Begitu luhur jiwa dan hati budinya
Tapi Allah menunjukkan kebesaranNya
Maklumat tercungkil juga dari silap percakapan
Hingga kami berkonvoi menziarah mereka di HUKM
Kebalikan dari keadaan selama ini
Ketua Penziarah & Isteri kena ziarah
Kami gembira dengan pimpinan Lajnah Kebajikan
Selama ini diberi sanjungan dan pengiktirafan
Kami merasa semacam kepuasan
Ini adalah nikmat persaudaraan
Bergiat bersama dalam Jamaah Islam.

Sekian.

No comments:

Post a Comment