June 23, 2011

Kepimpinan Pragmatik Dan Agresif Aset Bagi Selangor ?

BBB, 20 Rajab = 22 Jun (Rabu):

Harapan tinggi ditagih dari kepimpinan Pas yang baru dilantik untuk mengekal dan meningkatkan kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor. YB Dr. Abd. Rani Osman diberi kepercayaan oleh pimpinan Pusat mengepalai kepimpinan peringkat negeri. Apakah aset yang ada di Selangor bagi mencapai tujuan ini ?



Modal insan bernama `Kepimpinan Yang Baik dan Dinamik` ! Mekanisme bagi memilih kepimpinan terbaik telah berlaku melalui muktamar dan mesyuarat agung. Rumusan dapat dibuat, perubahan kepimpinan ketara berlaku di semua peringkat. Trend pemilihan kepimpinan mengutamakan yang baru/muda jelas berlaku di semua peringkat, termasuk di negeri Selangor.

Tetapi di Selangor trend penolakan bukan saja terhadap yang semata-mata tua, tetapi kepada Ahli Dewan Harian yang lama di bawah pimpinan lama jelas berlaku, kecuali seorang dua terpaksa dikekalkan, manakala perlantikan yang baru memperlihatkan trend dan aliran ke satu arah, atau lebih jelas dikatakan mereka yang bertentangan dengan PJ yang lama – sebagai berbalas buku bertemu ruas ? Walau apa pun ini adalah realiti perlantikan yang factual.

Lantas dan yang penting bagaimana dengan fenomena politik masa depan Pas Selangor dalam konteks Pakatan ? Dengan beradanya kembali kepimpinan Pas peringkat negeri – paling utama Khalid Samad yang vocal dan intelektual menjadi dinamika kepimpinan Selangor bersifat pragmatik dan agresif’. Khalid akan lebih berani mengeluarkan pendapat, sokongan, cadangan dan kecaman. Dulu beliau pernah disingkir pada peringkat negeri dan pusat atas sebab-sebab demikian. Kelantangan Khalid bersambut dengan keberanian Saari Sungib – Bekas Tahanan ISA, yang rajin mencari fakta dan mengemukakan idea dan cadangan, bahkan kritikan. Beliau juga pernah menerima nasib yang sama dengan Khalid Samad tersingkir pada peringkat negeri. Antara tokoh yang akan mengukuhkan kedudukan mereka, ialah Izham Hashim yang petah bercakap dan berhujah. Ini menjadikan gelanggang politik Pas Selangor hangat dan bersemangat.

Kewujudan mereka di dalam gelanggang politik Pas Selangor ada semacam keselarian dengan pemimpin-pemimpin PKR yang dulu tidak selari, bahkan dianggap bermasalah dengan Bekas PJ lama. Bagaimana dengan kepimpinan yang lain dalam perhubungan Pas Selangor ? Baik pada peringkat kepimpinan ulama, pemuda dan muslimat kurang dengan perwatakan unggul yang menonjol ke taraf Pusat.

Di mana kedudukan dan peranan PJ ?

PJ dilantik atas sifatnya yang menonjol, terkenal dan aktif pada peringkat kawasan, giat di dalam gerakan NGO, khususnya Amal Malaysia dan terlibat dengan pemulihan dan pertolongan pada peringkat nasional dan antarabangsa, mengetuai `Backbencher` di Dewan Negeri Selangor. Beliau dilihat sebagai `Mr. Clean` dan mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan peringkat Pusat, berwatak religious dan tidak kontroversi. Tetapi beliau tidak agresif, tidak vocal, lembut, bila bercakap selalu tersudut ke soal agama dan sedang menunggu ujian bagi memperlihatkan kebijaksanaannya di dalam kepimpinan. PJ baharu perlu menangani watak dinamik, progresif dan agresif yang ada di dalam kepimpinan negeri untuk dimanfaatkan bukan memudaratkan. Mereka bukan musuh, tetapi aset. PJ juga perlu meningkatkan kualiti kepimpinan yang lain yang kelihatan umum dan biasa yang lebih bersifat mendengar dan melihat dari bercakap. Mereka perlu diberi tugas yang layak dan bersesuaian dengan mereka dengan demikian timbul rasa kekitaan dan semangat bekerjasama di dalam jamaah. Mereka perlu digembleng dan bergerak serentak di dalam menghadapi musuh politik yang tak kurang dari mengatur strategi.

Di dalam konteks menghadapi pilihanraya ke 13 Selangor memerlui kepimpinan berwatak matang, intelektual, pragmatic dan agresif, sesuai dengan kedudukan Selangor yang maju dengan pelajaran, industri dan lalulintas maklumat. Watak pragmatif dan intelektual memang menjadi watak pilihan. Sebagai contoh Khalid Samad tokoh kontroversi ini, walaupun tidak disenangi oleh beberapa pihak, tetapi menjadi pilihan perwakilan. Ciri ini dan ciri-ciri positif yang lain bukan saja perlu ada di Shah Alam, tetapi di kawasan-kawasan Pas bertanding, bahkan di semua kawasan Pakatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment