June 7, 2011

Projek-Projek Di Hati Adun Bangi

BBB, 02 Rajab = 04 Jun (Sabtu):

Banyak projek dan bantuan yang dilulus oleh Adun Bangi dari semasa ke semasa. Ini adalah hasil dari penilaian yang dibuat oleh AJK Penilaian setiap minggu pada hari Khamis. Besar atau kecilnya projek atau bantuan bergantung pada kesesuaian projek. Terdapat beberapa projek mutakhir dalam perhatian Adun. Projek berkenaan ada yang sepenuhnya dibiayai Adun, ada yang bersifat tambahan dan ada sebahagian Adun terlibat dari segi pengurusan. Pada petang ini Adun bersama dengan saudara Azizi keluar bagi meninjau dan menilai projek-projek yang telah dilulus dan sedang berjalan dari segi perlaksanaan. Kami sengaja tidak memberi tahu sesiapa berhubung dengan kehadiran kami dan kami tidak perlu disambut oleh sesiapa. Dengan demikian Adun dapat membuat penilaian secara objektif.

1. Projek Baikpulih Rumah Puan Rubainah

Masalah yang dihadapi Puan Rubainah yang uzur, iaitu ketiadaan peruntukan untuk membaiki rumahnya yang juga uzur dan juga bagi membetulkan kedudukan sebahagian rumah Puan Rubainah berada di dalam kawasan jiran (selepas diukur bagi penentuan sempadan). Ketika Turun Padang ke Sungai Ramal Dalam dari 6 – 10 Februari 2011. Ketua Kampung Encik Lateb bin Mannan mencadangkan agar Adun meluluskan peruntukan bagi membina rumah Puan Rubainah di samping menggunakan kayu-kayu rumah lamanya. Adun setuju. Perletakan awal kerja mulai dilakukan pada pertengahan Mei dengan Adun turun menyaksikan kerja-kerja awal pada 14 Mei, 2011. Kehadiran Adun pada hari ini menyaksikan progress pembinaan dengan dinding batu dan beam sudah dibina. Kerja di sini dibuat sambilan oleh kontrektor, sesuai dengan peruntukan yang agak kecil, iaitu RM6,500/=.

2. Baitul Imtiyaz
Ia itu sebuah perpustakaan desa di Sungai Ramal Luar. Pembukaan perpustakaan ini dilakukan oleh Adun pada awal 2010. Perpustakaan ini mendapat sambutan yang baik dari pelajar-pelajar. Tempat ini juga digunakan sebagai kelas-kelas tuisyen. Ada jawatankuasa yang mengurus perpustakaan diketuai Puan Laila. Di sini juga - termasuk di kawasan lapang digunakan sebagai tempat kegiatan masyarakat di samping kegiatan sukan. Masalah perpustakaan adalah sempit dan perlu diluaskan. Ketua Kampung Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir memohon peruntukan bagi menambah ruang perpustakaan dengan menambah bangunan di bahagian belakang. Permohonan sejumlah RM15,000/= diluluskan dalam mesyuarat pada Khamis 2 Jun lepas. Hari ini Adun turun mempastikan bahagian yang akan dibuat tambahan. Kita berharap bangunan tambahan ini akan dibina segera.

3. Menyambung Masjid Baru Dengan Yang Lama – Masjid Haji Mat Saman
Projek yang menjadi kesayangan Adun, kerana Adun terlibat dengan pengurusan masjid ini sejak awal Adun bertugas sebagai Adun Bangi. Peringkat permulaan berlaku pertikaian pendapat antara merobohkan masjid lama yang tidak betul arah kiblatnya bagi didirikan bangunan yang baru dengan peruntukan sedia diluluskan RM4 juta dan yang mau mengekalkan yang lama di samping yang baru. Pengarah Jais, S.S. Dato` Khusrin Munawi terpaksa turun padang dan berunding dengan penduduk termasuk Adun menghadirinya. Akhirnya disetujui dikekalkan masjid lama di samping membina yang baru. Masjid baru sempenan dibina dan mula digunakan Hari Raya Idil Adhha 2010 lepas. Kini usaha menyambung laluan antara masjid lama dan baru sedang progress dilakukan. Adun bergembira melihatnya setiap kali datang ke masjid ini. Adalah dijangka Masjid Berkembar Haji Mat Saman ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri kerana keunikan bangunannya yang merupakan satu-satunya Masjid Berkembar di Negara ini. Ianya juga merupakan antara masjid tertua di Selangor (1929).

4. Melawat Wakaf Menunggu Bas Dan Pondok Pengawal
Pondok ini didirikan oleh penduduk dan sebahagian dari peruntukannya dibiayai oleh Adun Bangi. Pondok sudah siap sejak setahun yang lepas dan baru-baru ini pihak penduduk memohon peruntukan untuk membina Pondok Pengawal. Permohonan diluluskan. Dalam lawatan ini Adun melihat Pondok Pengawal berkenaan sedang dalam pembinaan bersebelahan dengan Wakaf Menunggu, manakala di tengahnya ditambah dengan binaan tambahan.

5. Pembinaan Surau Taman Tun Perak berhampiran Bandar Tun Hussein Onn
Projek ini telah Adun lancarakan sejak awal tempoh perkhidmatan Adun (2008), tetapi surau yang diberi nama Surau Al-Faizin ini masih belum dapat didirikan, sedangkan projek kembar yang bersebelahan tapak, iaitu Sekolah Agama yang Adun juga membuat sokongan mendirikannya sedang progress di dalam pembinaan. Kebenaran memungut derma yang dibenarkan oleh pihak JAIS tidak berjalan. Setelah diadakan beberapa kali mesyuarat yang Adun sendiri hadir dan perlantikan AJK pembinaan baru dibuat dan disetuju dibuat pelancaran pembinaan yang baru. Ini dilakukan dengan secara formal dan meriah pada 15 Mei 2011 yang lepas. Pada hari yang sama pihak kontrektor sanggup melakukan pembinaan mengikut jumlah pungutan yang didapati. Pelan pembinaan telah dilulus oleh pihak berkuasa. Perlantikan pemungut-pemungut derma juga dibuat. Adun sendiri memberi peruntukan bagi gerakan kerja. Hari ini Adun datang dan agak keciwa, kawasan pembinaan ditutup. Adun intai dari luar dan ternampak progress pembinaan tidak begitu menggalakkan. Mungkin kewangan tidak dapat dikumpul menurut keperluan pembinaan. Adun harap pembangunan bagi kali ini tidak tertangguh lagi. Insya Allah.

6. Lawatan Ke Surau Al-Iman, Balakong
Lawatan terakhir pada petang ini ialah ke Surau Al-Iman, Balakong. Kawasan di sini dulunya adalah merupakan kawasan setinggan. Adun pernah datang pada peringkat permulaan pada malam hari sekitar 1999. Tempatnya berdebu dan dipenuhi pondok-pondok kayu semacam rumah kongsi. Mereka ditempatkan di sini dengan pembinaan rumah-rumah pangsa. Mereka secara berpakat mendirikan surau kecil yang diberi nama Surau Al- Iman. Kayu-kayu yang dibina dari lebihan binaan kontrektor. Kini hampir reput dan atapnya bocor dan dibimbangi runtuh jika dinaiki dari atas. Aduan kepada Adun dibuat sejak lama, tetapi tidak mampu dibaiki. Kini Adun menggunakan peruntukan yang dibenarkan untuk diguna keluar kawasan sekitar RM5,000 dengan tambahan derma dari berbagai sumber. Permulaan pembinaan dilakukan pada Khamis 26 Mei 2011 yang lepas dalam mana pada malamnya (malam Jumaat) Adun hadir sama membaca Yasin dan tahlil bagi menandakan permulaan pembaikan surau ini. Surau ini ada masalah dari segi arah Kiblat. Sebab itu disamping membina dibetulkan sekali arah kiblatnya.
Kehadiran pada petang hari ini dan melihat pembangunan sedang progress dilakukan. Cuma kerisauan Adun dari mana lagi sumber kewangan boleh didapati bagi menyiapkan surau ini yang dijangka memerlukan kewangan sekitar RM20,000. Semoga dimudah Allah mendapat derma dari mereka yang pemurah. Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan amalan mereka yang membuat kebajikan – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment