June 28, 2011

Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Jadikan Masalah Kebersihan Sebagai Resolusi Mesyuarat Agung Ke 22: Cabaran Kepada MPKj !

Bangunan PKNS, BBB, 24 Rajab = 26 Jun (Ahad):

Jam 12.00 tengahari ini Adun berada di Bilik Cempaka, Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi (BBB) bagi merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk BBB Kali Ke 22. Sebelum Majlis Perasmian Adun berkesempatan mengikuti perbincangan, khususnya mengenai Kebersihan BBB yang dibawa oleh seorang ahli dan usul bermasalahnya BBB dari segi kebersihan diterima sebulat suara!

Daripada banyak persoalan yang dilapor dan diperkatakan oleh ahli, isu masalah kebersihan ini paling menggugat bahkan menempelak Adun. Usul ini sebenarnya memperkukuhkan kritikan terhadap masalah kebersihan di dalam blog, bahkan dalam sebuah akhbar tempatan beberapa hari lalu. Adun tidak marah dan tidak berkecil hati dengan kritikan yang berasas, sebaliknya ini semua membuktikan kepada pihak pentadbir di MPKj, bahawa apa yang ditimbulkan bukan tuduhan melulu dan tidak berasas, tetapi realiti keadaan BBB yang kotor !

Dalam perbincangan ada pihak yang menjawab secara escapisme, bahawa masalah sampah bukan di bawah kuasa kita (MPKj). Tetapi di bawah Alam Flora. Kuasa mereka berterusan hingga 2015 baru tamat perjanjian ! Begitu mudah melepas tangan! So apa peranan mereka kita lantik menduduki MPKj, khususnya bagi yang menduduki bahagian kebersihan?

Sebenarnya tidak ada pada mereka sentuhan dan kehalusan dalaman yang sensitif dengan permasalahan bersih dan keindahan, sebab itu tidak timbul rasa tanggungjawab dan rasa kecintaan terhadap kerja berhubung dengan kebersihan dan keindahan. Kalau dikatakan kekangan Alam Flora mengapa Subang Jaya dan Shah Alam kelihatan bersih, hijau dan menjadi Bandar dalam taman? Sedangkan BBB adalah Bandar sampah, semak samun dan penuh kotoran? Adakah semua ini sebagai satu sabotaj yang disengajakan?

Apakah pihak pentadbiran di MPKj dari atas ke bawah perlu diketuk baru mengambil inisiatif dan bekerja? Keadaan nampaknya sedemikian! Misalnya apabila pihak Adun Bangi melancarkan dan menjadikan tahun 2009 sebagai Tahun Bersih, dan diikuti oleh MPKj selepas itu atas arahan dari Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, maka boleh pula pihak MPKj dan ahli-ahlinya turun padang sehingga lahirnya zon bersih (sekadar sementara, tetapi papan tanda berterusan!) dan keadaan kebersihan agak baik pada masa itu, mengapa semangat, inisiatif dan tindakan kebersihan sedemikian tidak berterusan? Mengapa pada masa itu tidak timbul halangan Alam Flora sebagai escapisme? Apakah semua kerja kebersihan yang menjadi tanggungjawab bagi MPKj perlu disertai sama oleh pihak lain – misalnya perlu mengadakan gotong royong berterusan sebagai tugas rasmi NGO dan penduduk setempat bersama MPKj, maka kebersihan baru berjalan?

Apa yang diperhatikan tugas dari segi kebersihan selama ini adalah mengangkat dan mengangkut sampah yang sedia terlonggok dan yang dipungut dari belakang atau hadapan rumah. Tidak ada konsep kerja membersih dalam mana skuad bersih bergerak membersih kawasan Bandar, taman, longkang dan pemotongan semak dan lalang, sebab itu tempat-tempat sedemikian terbiar kotor. Jauh dari meningkatkan jalan dan taman dengan hiasan-hiasan pokok bunga dan pohon-pohon menghijau yang menarik pandangan, Nampaknya jauhlah bagi Bangi untuk menjadi Bandar Dalam Taman.

Bandar Baru Bangi Bandar Ilmu dan strategik, merupakan jalan masuk ke Putrajaya dan ke Kajang. Kita impikan selepas memasuki tol Kajang ternampak pandangan indah dengan taman-taman menghiasi tepian jejambat dan jalan-jalan ke Bangi dan ke Kajang, hijau dan cantik serta sejuk mata memandang dan tidak kering kontang, begitu juga jalan masuk dari Gerbang Selatan melalui tol Bangi kiri kanan jalan, bulatan dihiasai taman-taman menghijau, bahkan setiap jalan ke pengajian-pengajian tinggi wajar di hiasi taman, juga taman-taman di kawasan kediaman. Sebenarnya adalah kasar untuk mengatakan pimpinan di MPKj kekeringan idea, kreativiti dan usaha menyebabkan keringnya kawasan dari daya tarikan indah dan menyenangkan!

Kita mengharapkan MPKj yang banyak dengan mesyuarat itu, tidak hanya terhenti mesyuarat setakat dalam bilik mesyuarat, tetapi misalnya yang berhubung dengan kebersihan, penghijauan dan seni taman perlu turun padang berterusan. Paling utama atasi masalah kebersihan yang menjadi rungutan umum dan tingkatkan BBB sebagai Bandar taman sesuai dengan BBB sebagai Taman Ilmu!

Andainya keadaan seperti sekarang yang miskin dari idea, kreativiti dan usaha yang menyebabkan kawasan kotor, kering, tidak ceria dan menarik hati, kita syorkan pentadbiran perbandaran dipecah dua, peratusan cukai yang didapati dari kawasan BBB dan sekitarnya diserah dibawah pentadbiran Ketua Bandaran BBB atau diserah kepada Jawatankuasa penduduk sahaja yang kita percaya mampu mentadbir dan menjadikan Bangi Bandar Taman dan Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment