June 4, 2011

Projek Rumah Mampu Milik Selangor, Pertama Dibina Di BBB: YAB Menteri Besar Merasmikannya

Bandar Baru Bangi, 01 Rajab = 03 Jun (Jumaat):

Projek Rumah Mampu Milik Selangor, Pertama dilancarkan di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor di sini hari ini. Bahkan terawal bukan saja di Selangor, tetapi di Malaysia, kerana Kerajaan Persekutuan yang turut meniru Projek Rumah Mampu Milik di Selangor dan akan melancarkan pembinaan dalam masa terdekat. Projek yang sepatutnya dilancarkan pada 31 Mei Selasa lepas terpaksa ditangguhkan ke hari ini, kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Hadir ke Majlis Pelancaran hari ini ialah Y.B.Tuan Iskandar Abdul Samad Pengerusi Jawatakuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Exco-Exco Y.B. Ronnie Liu dan Y.B. Dr. Xavier. Dato` Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri, Adun-Adun Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Y.B. En. Lee Kim Sin Adun Kajang, Y.B. Tuan Edward Lee Adun Bukit Gasing, En. Othman Pengurus Besar PKNS dan pegawai-pegawai, ahli-ahli MPKj dan lain-lain.

Dalam ucapannya YAB Dato` Menteri Besar mengatakan bahawa, ``Rumah mampu milik adalah penting bagi Kerajaan Negeri Selangor. Projek ini diamanahkan kepada PKNS sebagai perbadanan yang professional dan banyak pengalaman dalam membina rumah.`` Setakat ini menurut YAB Menteri Besar, PKNS telah membina lebih dari 200,000 unit rumah., hampir ¼ dari rakyat negeri Selangor mempunyai hubungan dengan PKNS.`` Kata Menteri Besar, ``Kalau dulu sebut rumah pangsa kos rendah, semua kontrektor mengelak dari membinanya, kerana tidak menguntungkan. Kalau dibina ia sebagai rumah kotak dan tidak selesa digunakan. Ada kontrektor yang mengabai atau melambatkan pembinaan atau mengubahnya ke lokasi tidak sesuai, tetapi kita meletakkan cabaran kepada PKNS membina atas kos yang minima , tetapi masih untung. PKNS di samping mendapat keuntungan, tetapi juga mementingkan kebajikan.


Menurut YAB Menteri Besar, dinamakan `Mampu Milik`, kerana harganya bersesuaian, iaitu antara RM60,000 hingga RM100,000. Namun untuk kali pertama kita hanya membina sebanyak 124 unit sahaja. Permohonan di buka kepada golongan warga emas dan orang kurang upaya, tetapi 40% dari rumah tersebut ditawarkan kepada golongan muda di bawah 35 tahun. Menurut YAB, ``Kita akan memilih mereka yang benar-benar layak dan meminta Adun Bangai YB Dr, Shafie sama-sama mengenal pasti, kita cuba mengelak dari orang yang cuba menjadikannya sebagai spekulasi, memiliki beberapa rumah untuk disewakan dan cuba mendapatkan lagi rumah.``


Bagi mengenal pasti masalah dan mendapat cadangan dari masyarakat satu seminar berhubung dengan Rumah Mampu Milik akan diadakan di Selangor Convention Centre Shah Alam pada 5 Julai 2011 nanti. Daripada pandangan dan cadangan, menurut YAB, ``Kita akan perluaskan binaan Rumah Mampu milik ini selepas Bangi ke Antargupi, Kota Puteri, The Selangor Botani Development, Bernam Jaya dan Gombak.`` Menurutnya lagi, ``Kita akan membawa era baru di dalam menyediakan perumahan untuk rakyat sesuai dengan azam kita Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor.``


Sebelum daripada itu Y.B. Iskandar, Exco & Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Stinggan mengalu-alukan Y.A.B. Menteri Besar Selangor dan pegawai-pegawai serta para jemputan yang sudi hadir ke Majlis Pecah Tanah Projek Pangsapuri Mampu Milik PKNS, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Belaiu menyebut pembinaan Rumah Mampu Milik ditujukan kepada golongan muda, usia emas dan OKU. Menurut YB Iskandar, ``Ini adalah projek perintis yang diharap dapat meningkatkan kualiti hidup, membina integriti dan semangat kejiranan di kalangan penghuninya kelak.``


Tambah YB Iskandar, ``Ciri binaannya bersifat kondusif, bahagian bawahnya diutamakan warga emas dan OKU, diwujudkan kawasan hijau yang membolehkan penghuninya bertanam dengan kawasan tengahnya seluas 0.37 ekar tanah lapang dan laman permainan yang membolehkan penghuni-penghuni beriadah dan beristirahat.`` Kata YB Iskandar lagi, `Keluasannya ialah 700, 750 & 800 kaki persegi lantai yang harganya antara RM60,000 hingga RM90,000 dan dikhususkan bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan. 35% adalah dikhususkan bagi golongan muda di bawah 35 tahun.``. Keseluruhan kawasan pembangunan adalah seluas 3.99 ekar. Antara kemudahan yang didapati ialah kemudahan komuniti, kawasan bercucuk tanam, ruang legar di tingkat bawah, surau, tadika, dewan komuniti, pusat tuisyen dan bilik bacaan.


Selepas majlis perasmian, YAB Menteri Besar diiringi Exco-Exco, Adun-Adun dan pegawai-pegawai menanam pokok bagi maksud `Pecah Tanah` dan melawat pameran reka bentuk Rumah Mampu Milik berkenaan dan menjamu selera sebelum bersurai.


Sekian.

No comments:

Post a Comment