June 20, 2011

Mengapa Tidak Hari Keluarga ?

BBB, 17 Rajab = 19 April (Ahad):

Pada hari Rabu 15 April 2011 lepas, ketika Adun sibuk dengan tugas-tugas harian, menandatangani surat-surat, melayan pengunjung yang hadir dan menyemak soalan-soalan bagi Persidangan Dewan Negeri yang perlu dihantar segera, tiba-tiba kakitangan Pejabat menjemput Adun bagi menyertai satu Majlis Kecil yang diadakan secara spontan dan tidak diketahui Adun sebelumnya, iaitu jemputan jamuan yang tidak begitu diketahui tujuannya. Ada sebuah kek yang diminta Adun selepas membaca doa memotongnya. Adun bertanya, ``Apa tujuan majlis diadakan ?` Yang hadir lebih kurang 10 orang termasuk Tuan Haji Yusof Ketua Kampung Sungai Ramal Luar yang kebetulan datang berurusan. Yang menyediakan kek – tak pasti siapa, tidak dapat menjawab dengan pasti tujuan majlis diadakan. Untuk dikatakan untuk menyambut Hari Lahir/Jadi Adun, sebenarnya sudah berlalu lebih dari dua minggu dan tentulah tidak releven. Sebenarnya Adun sendiri dan isteri yang kebetulan tarikh lahir berdekatan, tetapi berlainan tahun, kami tak pernah mengadakan sambutan Hari Lahir dan kami menganggap tidak penting!
Lalu kami bersetuju mengambil tema sebagai Kesyukuran Hari Bapa? Adun sendiri juga tidak pasti bila sebenarnya Hari Bapa dan menganggapnya juga sudah berlalu.

Pada malam tadi 18 Jun 2011 – Hari Sabtu, Adun menghadiri jemputan Persatuan Penduduk dan Persatuan Belia Taman Impian Putra bagi menyertai Majlis Sambutan Hari Ibu Dan Bapa mulai jam 9.00 malam hingga 11.00 malam bertempat di Gelanggang Sepak Takraw, Taman Impian Putra. Dari kehadiran ini baru Adun mengetahui bahawa Hari Bapa sebenarnya kelmarin Hari Jumaat 17 Jun. Tapi mengapa tidak digunakan tema Sambutan sebagai Hari Bapa? Mungkin dianggap sambutan tidak wajar difokuskan kepada kaum bapa semata-mata. Bahkan jika dikaitkan dengan ibu lebih mesra. Sebab itu Persatuan Penduduk dan Persatuan Belia menggunakan sebagai `Hari Ibu Dan Bapa`. Dari program yang Adun ikuti bersama YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, En. Mohd Khair, Pengerusi Persatuan Penduduk, En. Nizam dari Persatuan Belia, Puan Murni Ketua Hal Ehwal Wanita dan AJK sambutan, bahawa program lebih melibatkan anak-anak seperti perbarisan, silat gayung, pakaian beragam bagi anak-anak, manakala program untuk lelaki ialah peraduan membancuh minuman dan orang dewasa perempuan ialah memasak.
Apa yang mahu ditimbulkan di sini, bahawa kita mempunyai sambutan hari-hari yang banyak seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Belia, Hari Kanak-Kanak dan sebagainya. Oleh kerana sambutan banyak terasa kurang signifikannya dan menyebabkan orang kurang beri perhatian. Bagi Hari Ibu dan Hari Bapa adalah lebih wajar disatukan sahaja dan disambut atas nama `Hari Keluarga sahaja. Sambutan Hari Ibu atau Hari Bapa terlampau bersifat individual dan mungkin dimegah-megah sangat terhadap individual tertentu, sebaliknya dengan nama dan pilihan satu hari dengan nama `Hari Keluarga` memberi kesan yang lebih baik. Dengan Hari Keluarga antara kebaikan:

  1. Melibatkan semua pihak dalam keluarga seperti ibu, bapa, anak-anak, mungkin datuk lelaki dan perempuan dan juga melibatkan cucu-cucu.
  2. Memupuk kasih sayang dan keharmonian di dalam keluarga
  3. Lebih meriah kerana melibatkan semua anggota dalam keluarga
  4. Hari ini akan dirasakan lebih penting, kerana tidak banyak sambutan yang perlu diadakan seperti sebelumnya
  5. Ia adalah hari sambutan yang mengatasi kaum, budaya, adat dan kepercayaan.
  6. Lebih mudah diberi pengiktirafan jika misalnya mau menjadikan hari cuti umum, upacara-upacara dan sebagainya.
  7. Lebih bersifat kekitaan dan dirasai sebagai hari bersama.
  8. Berperanan sebagai salah satu pendekatan yang dapat mengurangkan masalah sosial yang diakibatkan oleh keluarga yang berpecahbelah.
  9. Menjadikan lebih meriah, sambutan boleh dilakukan secara satu unit keluarga dan bersama berbagai keluarga.
  10. Hari yang dapat dijadikan hari pengiktirafan kepada orang tua (warga mas dalam keluarga), kejayaan anak-anak dalam pelajaran dan sebagainya dan memberi semangat dan sokongan terhadap misalnya yang yatim, kurang upaya, yang sakit, kemalangan dan sebagainya.
Sekian.

No comments:

Post a Comment