June 2, 2011

Santai Ber-Bowling Bersama Pengerusi-Pengerusi Surau Hulu Langat

Bandar Kajang, 28 Jamadil Akhir = 01 Jun (Rabu):


Setahun yang lepas buat pertama kali Adun Bangi bersama al-Marhum Tuan Haji Mohd Amin (Meninggal semasa bertugas di PAID 2010) Pentadbir Pejabat Agama Daerah Hulu Langat (PAID) buat pertama kali mengadakan pertandingan bowling antara pegawai-pegawai PAID dan kakitangan dari pejabat Adun. Kali ini buat kali kedua Pertandingan Bowling dianjurkan oleh pihak PAID dengan sponsor dari Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar dan Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rusli Che Mat yang sama hadir dan bertanding pada malam ini. Pertandingan berlangsung di Pusat Super Bowling di Kajang. Hadir sama pada malam ini dan mengambil bahagian ialah Tuan Haji Mughni Asrari Pegawai Tadbir PAID, Ustaz Bong Salleh bin Adnan sebagai Pengarah Pertandingan, Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mohd Saman, Sungai Ramal Luar, pegawai-pegawai PAID dan penyokong-penyokong.


Pertandingan kali ini adalah antara surau-surau yang mendirikan Solat Juma`at di Hulu Langat dan penganjur. Pada malam ini 20 surau yang mendirikan Jumaat hadir dan mendaftar untuk bertanding. Jumlah pasukan ialah 25 pasukan, iaitu:

PAID 2 Pasukan

Pejabat Adun Bangi 1 Pasukan

Pej. Parlimen H. Langat 1 Pasukan

Majlis Agama Islam 1 Pasukan

Surau Berjumaat 20 Pasukan


Ketika merasmikan pertandingan jam 9.00 malam Adun Bangi melahirkan kegembiraan kerana Pertandingan Bowling bagi kali kedua dapat diadakan. Beliau berterima kasih terutama kepada Ustaz Bong yang berusaha menjayakan pertandingan Bowling pada malam ini. Beliau juga berterima kasih dan mengalu-ngalukan kehadiran pasukan-pasukan, terutama dari surau-surau yang mendirikan Jumaat di Hulu Langat sebanyak 20 pasukan itu. Menurut Adun Bangi, tujuan mengadakan pertandingan bukanlah untuk mencari kemenangan. Menurutnya, ``Kita bukan professional, bahkan mungkin antara kita pertama kali hadir ke tempat bermain bowling dan pertama kali menjamah bola bowling,`` kata Adun Bangi secara bergurau. Kata Adun ``Tapi jangan risau, main bowling mudah benar, ambil bola dan golekkan ke atas ruang slot, insya Allah dia akan mengena dan menjatuhkan pin – kalau tak kena pun tak apa, lama-lama kenalah tu.`` Tambah Adun secara bergurau, ``Minimum untuk melayakkan tuan-tuan – semua pemain adalah lelaki, untuk digelar pemain bowling ialah `Menjatuhkan Sekurang-Kurangnya Satu Pin` dari awal permainan hingga ke akhir.`` Sambil ketawa Adun bertanya Ustaz Bong Salleh, ``Tidak begitu, Ustaz Bong antara syarat yang dikenakan ?`` Ustaz Bong menjawab ``Ya`` membenarkan pertanyaan yang sebenarnya tidak termaktub sebagai syarat sedemikian !

Menurut Adun, `Tujuan utama pertandingan, sebenarnya bukan pertandingan, tapi permainan mudah – kerana kita tidak mampu bermain golf, ialah untuk mengikat tali silaturrahim di kalangan pengerusi-pengerusi surau dan merapatkan hubungan dengan pihak pentadbir di PAID. Menurutnya, `Mungkin antara pengerusi-pengerusi surau belum mengenali Pentadbir Paid yang relatif baru bertukar ke PAID Hulu Langat– Tuan Haji Mughni, maka pada malam ini dapatlah kita berkenalan. Sebenarnya pertemuan secara santai ini lebih memesrakan kita, Sememangnya kegiatan seumpama ini sekali sekala wajar diadakan. Kami akan terus sokong!


Pertandingan malam ini berterusan sehingga jam 12.00 malam. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Adun Bangi. YB Dr. Che Rusli Che Mat terpaksa meminta diri lebih awal, kerana mempunyai program ditempat lain. Semua pasukan menang dan menerima hadiah berbentuk hemper yang sama besarnya beserta dengan sijil penyertaan. Cuma bagi tiga pasukan yang berjaya menjatuhkan lebih banyak pin dikategorikan sebagai penerima hadiah pertama hingga ketiga:


Hadiah Ketiga Surau Taman Sutera, Balakong

Hadiah Kedua Surau Al-Ikhlas Bukit Belimbing

Hadiah Pertama Surau Al-Asma`, Kajang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment