March 9, 2012

Banjir Lumpur Terbesar Di Hulu Langat; Adun Bangi Luluskan Peruntukan Membeli Jet Water Untuk Pembersihan

Hulu Langat, 16 Rabiul Akhir 1433 = 09 Mac 2012 (Jumaat):

Hujan lebat pada malam Khamis (7 Mac) semalam menyebabkan beratus rumah sepanjang sungai dari Batu Sepuluh hingga ke Hulu Perdik, Hulu Langat mengalami banjir Lumpur. Banjir sedemikian disifatkan terbesar sejak 1995.

Pagi ini Adun bersama YDP Pas Serdang Ustaz Shafie Ngah dan AJK berkonvoi sebanyak 4 buah kereta ke Hulu Langat kerana menghantar barang-barang bantuan. Sepanjang jalan yang dilalui kelihatan kiri kanan alat perabut rumah dijemur dan pemilik-pemilik rumah bertungkus lumus membersih lumpur dari dalam dan luar rumah. Rombongan pertama singgah di rumah Tuan Guru Ustaz Abdul Rashid yang rumahnya Lot 376 Batu 10, Cheras tenggelam hampir keseluruhan dan segala perabut rosak. Beliau dan keluarga bertungkus lumus membersih lumpur yang begitu tebal di dalam dan luar rumah.

Lokasi-lokasi banjir yang teruk ialah Sungai Serai, Sungai Lui, Pangsun, Kg. Jawa, Semungkis, Rantau Panjang Batu 13, Seri Nanding, Bukit Raya dan Langat Ceria. Selepas konvoi singgah di rumah Ustaz Rashid, kami menuju ke Balai Raya Dewan Dato` Nazir, Batu 14. Di sini adalah merupakan Pusat Operasi Bantuan Pas Hulu Langat. Semua barang-barang bantuan makanan, tilam, bantal, selimut dan sebagainya dihimpun di sini dan sukarelawan Pas lebih kurang 50 orang bekerja menyusun bagi mengagihkan barang-barang berkenaan kepada tempat dan mereka yang wajar menerima bantuan.

Adun mendapat maklumat dari Tuan Haji Ramly bin Yunan, Ketua Kampong di sini bahawa sejak pagi ini berbagai agensi dan jabatan turun membantu mangsa-mangsa banjir seperti MPKj, Bomba, Polis dan sukarelawan.

Selepas melawat Pusat Operasi berkenaan Adun bergerak ke Sekolah SRA Batu 18 yang dianggap antara tempat yang teruk. Setiba di sini kami dapati sepasukan bomba dari Pandan Indah seramai 6 orang di ketuai Encik Mazlan bin Salleh sedang bekerja memberisih di dalam dan luar Sekolah sejak jam 9.00 pagi. Menurut En . Mazlan, `` Saluran air disekolah tidak sempurna. Air terkepung dalam kawasan Sekolah menyebabkan pagar batu runtuh.``

Guru Besar Sekolah Ustazah Jamilah binti Zailan memberitahu, ``Oleh kerana banjir berlaku pada waktu malam dan keesokan kami datang, tetapi tidak dibenarkan masuk untuk keselamatan, sebab itu barang-barang tidak dapat diselamatkan.

Pada masa kehadiran kami di sini bukan saja pihak bomba bekerja membersih, tetapi juga guru-guru sama membersih peralatan dan menyusun barang-barang yang dihanyut air hingga keluar kawasan Sekolah.

Melihat hampir keseluruhan mengalami masalah Lumpur dan perlu kepada tenaga dan peralatan membersih, maka Adun bersetuju untuk mengeluarkan peruntukan bagi membeli 4 buah `jet water` bagi kerja-kerja pembersihan.

Adun yang datang dengan saudara Shahrum dan Aisyah terpaksa bekejar pulang, kerana hari ini hari Jumaat dan berjanji akan datang lagi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment