March 7, 2012

Khatam Qur`an & Anugerah Cemerlang Kafa Integrasi Al-Hidayah West Country

West Country, BBB, 10 Rabiul Akhir 1433 = 03 Mac 2012 (Sabtu):

Sekolah Kafa Integrasi al-Hidayah West Country, BBB hari ini mengadakan Majlis Khatam Qur`an & Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2011 di sini pagi ini. Majlis dirasmikan oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi. Majlis dihadiri antaranya Pengerusi Pengelola Kafa En. Osman bin Ali, Ketua Guru Ustazah Zurina bt.Abd. Wahid, AJK PIBG, Guru-Guru, Ibu bapa dan murid-murid.

Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar di dalam menyampaikan ucapan perasmiannya menyatakan syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana dapat bersama di dalam majlis yang begitu permai – Khatam Qur`an dan Anugerah Pelajar Cemerlang. Adun dapati Sekolah ini semakin meningkat dari segi prestasi dan kejayaan. Adun difahamkan murid sekolah ini makin bertambah yang kini berjumlah 358 orang dan guru juga turut bertambah yang kini seramai 20 orang dan seorang pelajar telah memperoleh Mumtaz pada tahun lepas. Tahniah! Para ibu bapa tentulah turut bergembira Sekolah ini dapat mendidik dan membimbing anak-anak mereka di dalam bidang keagamaan. Mampu mengamalkan perkara yang fardu seperti solat dan hidup di dalam akhlak keislaman serta dapat menghindari dari gejala sosial yang banyak berlaku di keliling masyarakat kita, akibat tidak mendapat didikan agama.

Apa yang membanggakan anak-anak kita turut dididik dalam bidang seni dan kemahiran seperti membaca Qur`an secara tarannum dan bernasyid dan marhaban.Dari kesan yang baik ini, maka Kerajaan Negeri Selangor setiap tahun memperuntukkan bajet tahunan antara tertinggi kepada pendidikan, terutama bagi pendidikan keagamaan. Sebahagian besar dari duit zakat juga digunakan bagi kepentingan pendidikan termasuk mengimarahkan masjid dan surau. Adun Bangi juga memperuntukkan kewangan antara tertinggi bagi bidang agama dan pendidikan. Ianya adalah merupakan pelaburan jangka panjang yang baik bagi membina masyarakat yang berpendidikan dan berakhlak yang mulia.

Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah ini tidak asing bagi Adun, kerana Sekolah ini pernah mendapat bantuan kerusi meja, pembaikan kerosakan dan peruntukan kewangan. Hari ini juga sebagai tambahan Adun juga membawa beg-beg Sekolah yang dianugerah Kerajaan negeri sebagai tambahan hadiah kepada pelajar-pelajar. Adun Bangi akan terus memberi kerjasama kepada Sekolah insya Allah.

Sementara itu dalam kata-kata aluannya En. Osman bin Ali Pengerusi Pengelola Kafa juga mengucap tahniah kepada pelajar-pelajar yang berjaya dan mengharapkan kepada yang kurang berjaya meningkatkan usaha agar dapat bersaing secara sihat dengan rakan-rakan yang lain, manakala Ketua Guru Ustazah Zurinah bt. Abd. Wahid mengharapkan kepada ibu bapa sama memberi pandangan dan fikiran yang bernas bagi kebaikan anak-anak dan Sekolah.

Selepas perasmian Adun dijemput dengan diiringi En. Osman bin Ali Pengerusi Pengelola Kafa Integrasi al-Hidayah menyampaikan hadiah-hadiah dari berbagai kategori mulai dari pencapaian akademik dari Tahun I hingga Tahun VI. Hadiah juga diberi untuk Akhlak Terpuji dan kemahiran seperti Sirah, Imla`, Khatt danTajwid. Antara yang terbaik dari segi Akhlak, Sirah, Imla` dan Khatt ialah Amirul Hazwan bin Mohd Asri dan Nur Akma Shuhada bt. Mohd Zamro.

Sekian.

No comments:

Post a Comment