March 17, 2012

Menyerahkan Skim Mesra Usia Emas Bahagian Kedua Kepada Waris



Pejabat Adun, BBB, 23 Rabiul Akhir 1433 = 16 Mac 2012 (Khamis):

Seramai 28 pewaris warga emas dijemput oleh Pejabat Daerah untuk menerima bayaran bagi kali kedua Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bertempat di Pejabat Adun Bangi, BBB pada petang ini. Turun membawa peruntukan bagi pewaris yang dijemput ialah En. Rafie, Penolong Accountant, Pejabat Daerah bersama Puan Rafiza Pegawai Kewangan dari Pejabat Daerah tersebut. Ini adalah bayaran kedua bagi peringkat kedua SMUE bagi tahun 2012. Bayaran pertama juga bertempat di Pejabat Adun Bangi.

Majlis ringkas diadakan dengan ucapan ringkas Adun yang berterima kasih di atas kehadiran waris-waris bagi SMUE dari berbagai tempat di Dun Bangi. Mereka juga terdiri dari berbagai-bagai kaum. Menurut Adun,

``Setakat ini pendaftaran warga emas di Dun Bangi meningkat kepada 1,900 orang, tetapi bayaran yang dibuat pada peringkat pertama baru berjumlah 800 orang. Beliau berharap bayaran kepada waris akan dapat dibuat kepada mereka yang belum menerima bantuan.

Menurut Adun SMUE adalah sebahagian daripada Skim Mesra Rakyat yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat sejak memerintah negeri Selangor mulai Mac 2008, 4 tahun yang lepas. Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi Skim Mesra Rakyat. Antaranya hasil daripada keuntungan pasir. Pada masa kerajaan BN pasir tidak menjadi hasil negeri, tetapi sebagai sumber pendapatan bagi pihak kroni. Negeri hanya mendapat RM4 juta sahaja. Tetapi kini kerajaan Pakatan mendapat hasil RM16 juta setahun. Hasil daripada keuntungan pasir ini digunakan antaranya bagi SMUE. Lanjutan dari itu diadakan Jom Shopping bagi warga emas sendiri.


Menurut Adun Bangi, ``Kita patut bersyukur kepada Tuhan yang memberi nikmat kemakmuran kepada negeri Selangor yang setiap tahun makin bertambah hasil negeri. Bajet negeri meningkat kepoada RM1.7 bilion. Reserve negeri kini mencapai jumlah tertinggi yang belum pernah dicapai sebelum daripada ini, iaitu berjumlah RM1.9 bilion. Dengan pendapatan yang makin bertambah Kerajaan menyediakan skimsel, Mimbar, Skim Selangorku dan peruntukan RM1 juta kepada Adun bagi pembaikan infra-struktur di kawasan Adun.

Selain daripada itu Adun berkhidmat lebih selesa dengan adanya peruntukan tahunan RM500,000 dengan tambahan RM100,000 secara tahunan. Kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan negeri Selangor tidak saja kepada warga emas dan golongan dewasa, tetapi juga kepada anak-anak dan golongan remaja seperti Skim Simpanan Anak-Anak yang lahir di Selangor selepas 2008 (Tawas), bantuan pelajar miskin di Sekolah, Hadiah Masuk Universiti, pinjaman tanpa faedah yang boleh ditukarkan kepada biasiswa bagi pelajar cemerlang. Adun menyatakan, ``Segala pemberian berdasarkan sebab dan fakta yang munasabah dan mereka yang berkelayakan. Pemberian ini adalah bersifat berterusan bagi mereka yang berkelayakan. Berlainan dengan pemberian BRIM Kerajaan Malaysia di bawah BN, pemberian hanya sekali dan bertujuan untuk memancing undi. Kita harap rakyat dapat memahami apa yang kerajaan Pakatan Rakyat buat bagi semua berkelayakan dan tidak bersifat bermusim dan kepada pihak tertentu, sedang ada yang layak tidak diberi. Atas dasar Kerajaan Pakatan Rakyat membela Rakyat dan jika mau nikmat dapat didapati secara berterusan, maka berilah sokongan kepada Kerajaan Pakatan.


Penyampaian SMUE ini dilakukan oleh Adun dengan diiringi oleh En. Rafie. Selepas penyampaian skim diadakan sesi bergambar sebagai kenangan.

Terima kasih. Sekian.

No comments:

Post a Comment