(Penggal Ke 5 – Ke 12, Tahun 2012)
Dengan nama Allah
Salawat kepada Rasulullah
Dengan Kedaulatan Baginda
Dengan Kekuasaan Dewan
Dengan Keluhuran Perlembagaan
Baginda tiba dengan kehebatan
Berkenderaan RollRoys antic
Untuk memeriksa perbarisan
Sempena pembukaan Dewan
Sebelum itu didahului ketibaan
Di pekarangan Dewan Negeri
YAB Dato` Menteri Besar
Dato` Tuan Speaker Dewan
Yang menyambut Baginda ketibaan
Memeriksa perbarisan kehormatan.
Sememangnya sejak pagi
Tentera Laut K.D. Rajawali
Dengan uniform putih bersih
Menghangatkan ruang keadaan
Dengan gerak cergas perbarisan
Sedang pasukan pancaragam di belakang
Memainkan lagu `evergreen` merentasi zaman
Bunga Tanjung, Lenggang Mak Limah
Tudung Periuk dan Joget Pahang
Merdu menyegarkan pendengaran
Sebaik ketibaan Tuanku ke pentas kemuliaan
Lagu Negeri Selangor penuh hormat dinyanyikan
Dan dengan penuh takzim dan penghormatan
Tuanku dipersila Pemerintah K.D.Rajawali
Turun memeriksa smart perbarisan
Lambang kedaulatan
Lambang kekuasaan
Tuanku segak berjalan
Dilindungi payung kekuningan
Sambil gerak diiringi rentak lagu
Segak bersanjak langkah berlalu.
Puncak Pembukaan upacara di Dewan
Selepas doa dipanjatkan
Tuan Speaker memaklumkan
Kesudian Tuanku mencemar Duli
Menyampaikan Titah Ucapan
Warkah dipersembah Dato` Menteri
Menurut ungkapan Tuanku
Baginda bergembira Selangor makmur
Rakyat hidup bebas, sejahtera bertambah
Hormat menghormati kekal perpaduan
Sidang Dewan mulia perlu dimartabatkan
Membawa suara nurani akar umbi
Medan terbaik menguji minda
Dengan perbahasan intelektual bermutu
Penggubalan undang-undang perlembagaan
Telus adil bermanfaat kepada rakyat
berdepan ujian bersifat global
biarlah ekonomi negeri terus mapan
mampu menarik modal luaran
menyumbang ekonomi pada negeri
sambil juga membantu Persekutuan
rakyat mampu memilih pekerjaan
meningkat pendapatan berterusan
berbagai kemajuan dapat dilaksanakan
pembangunan fizikal Bandar taman
bersih hijau berudara nyaman
galak warga belia meningkat pelajaran
sambil sama menggilap akhlak kerohanian
mampu memiliki rumah kediaman
mempunyai kenderaan sebagai keperluan
bergaul sosial sihat bersukan
hidup harmoni di Selangor Darul Ehsan
Negeri Maju menjadi Idaman.
Daulat Tuanku
Menjunjung kasih di atas kesudian
Merasmi Dewan titah amanat disampaikan
Menjadi panduan perbahasan di Dewan.
Shafie Abu Bakar,
Dewan Negeri Selangor, Shah Alam,
26 Rabiul Akhir 1433
19 Mac 2012.
No comments:
Post a Comment