March 2, 2012

Sederhananya Harapan Dalam Usaha Pembinaan Kembali Surau Al-Hamidiah, Kg. Bahagia, Bangi

Kampung Bahagia, Bangi, 03 Rabiul Akhir 1433 = 25 Februari 2012 (Sabtu):

Surau Al-Hamidiah, Kampung Bahagia, Bangi yang sudah berusia 30 tahun adalah satu dari beberapa buah surau kayu yang masih kedapatan di Dun Bangi. Surau ini didirikan berikutan diwujudkan perkampungan hasil dari pengelompokan penduduk yang dipindah dan dikurniakan tanah sebagai ganti tanah atau kediaman mereka termasuk di dalam kawasan pengambilan tanah oleh kerajaan bagi dijadikan kawasan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia. Ratusan lot tanah dan perumahan yang setengahnya membeli tanah di sini dan menjadikan Kampong Bahagia sebagai tempat kediaman mereka. Sememangnya sebahagian daripada mereka berkhidmat di UKM. Sebagaimana di tempat lain bila terdapat komuniti Islam, maka di situ timbul keperluan kepada surau. Demikianlah dengan penduduk di Kampong Bahagia, sejak awal mereka menghuni di kampong berkenaan, maka diusahakan bagi mendirikan surau. Maka surau di sini dibina di pinggir bukit, terletak di tengah-tengah Kampung Bahagia berkenaan, di samping bersebelahan dengannya juga didirikan sebuah balai raya sebagai tempat kegiatan kemasyarakatan bagi penduduk Kampong Bahagia, Bangi ini.

Kini setelah berlalu lebih tiga puluh tahun usia Surau ini menjadi uzur dengan kayunya reput. Hasrat untuk mendirikan surau baru ini telah disebut-sebut sejak tahun 2008 lagi. Adun pernah mengesyorkan oleh kerana keliling Kg. Bahagia membangun dan berlaku pertambahan penduduk seperti adanya Institut Genom di samping Pusat Penyelidikan Atom, maka Adun Bangi mengesyorkan agar pembangunan surau baru hendaklah mendekati taraf masjid bagi menampung pertambahan penduduk. Bangunan baru ini boleh ditingkatkan kepada surau yang mendirikan Solat Jumaat atau ditingkatkan menjadi masjid, lantaran itu Adun mengesyorkan peruntukan mendirikan surau ini dengan jumlah sebanyak RM3 juta ringgit. Tapi nampaknya AJK tidak berani membuat anggaran peruntukan secara tinggi, tetapi sekadar hanya RM500,000 sahaja.

Difahamkan pihak AJK telah berusaha mendapatkan dana, tetapi jumlah yang terhasil masih minima. Salah satu usaha ialah dengan cara menjual meja melalui jamuan dan menjemput penceramah-penceramah terkenal sebagai daya tarikan untuk hadir. Demikianlah pada malam ini diadakan jualan meja (RM1 ribu ringgit bagi satu meja 10 orang). Tempat diadakan jamuan ini ialah di Bangunan Essex-KWSP Sungai Tangkas. Dewan yang agak besar penuh dengan dermawan. Antara tamu yang hadir ialah Adun Bangi,, En Azlan Nordin Ketua Kampong, Kampong Bahagia Bangi, Tuan Haji Zakaria Ketua Kg. Kampong Bangi, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar dan pegawai-pegawai terhormat. Pada malam ini diadakan forum yang berjudul, ``Konsep Harta Dalam Islam``. Ahli forum terdiri dari Dato` Abu Hasan Din Al-Hafiz dan Ustazah Asni Abu Mansur dengan moderator ialah Ustaz Ahmad Husni Abdul Rahman

Ustaz Ahmad Husni membuka forum dengan menceritakan tentang sifat dermawannya Abdul Rahman bin Auf yang menderma 70% daripada 700 qafilahnya yang pulang dari perniagaan untuk jihad keislaman. Namun beliau tidak dapat mengatasi Abu Bakar yang menderma walaupun sedikit, tetapi merupakan 100% daripada hartanya.

Yang Berbahagia Dato` Abu Hasan menekankan maksud dari ayat al-Qur`an bahawa harta dan anak pinak adalah perhiasan kehidupan dunia dan yang kekal ialah amalan salih – termasuklah menderma dan sesungguhnya pada harta ada hak bagi mereka yang berhak. Para hadirin diperingatkan jangan jadi Qarun yang lokek dan bakhil yang akhirnya dimusnah oleh Allah. Para hadirin diperingatkan jangan salah guna nikmat Allah, sebaliknya jika hamba bersyukur dengan nikmat Allah akan ditambah Allah, sebaliknya jika kufur sesungguhnya azab Allah begitu pedih.

Manakala Ustazah Asni menekankan bahawa kita hidup hendaklah berpandu kepada prinsip-prinsip yang diatur al-Qur`an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. serta mengikuti contoh-contoh sahabat yang mujahid dan pemurah. Menurutnya manusia boleh dilemah dan hilang fokus di dalam jihad dan kehidupan oleh tiga perkara, iaitu wanita, harta dan takhta. Oleh itu waspadalah dalam kehidupan dengan memilih wanita salehah penenang kehidupan, harta dengan zakat pembersihan dan kekuasaan dengan keadilan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment