March 10, 2012

Kempen Kesedaran Pengguna Bukit Mewah, Kajang: Adun Bangi Rasmikan

Dewan Bukit Mewah, Kajang, 10 Rabiul Akhir 1433 = 03 Mac 2012 (Sabtu):

Dalam menjalankan khidmat Adun selama ini, Adun tidak berpeluang melibatkan diri dengan persatuan pengguna setempat, lantaran itu Adun menganggap persatuan seperti ini tidak wujud di dalam kawasan Dun Bangi dan juga tidak wujud di dalam kawasan Serdang, sedang persatuan seperti ini penting dan perlu wujud di tengah masyarakat sebagai NGO yang berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat hak-hak pengguna dan langkah-langkah perlu diambil misalnya bagi menghadapi exploitasi harga oleh pihak penjual, bagaimana mengatasi inflasi dan sebagainya.

Tiba-tiba beberapa minggu sebelumnya Adun di pejabat didatangai oleh pihak Persatuan Pengguna di Bukit Mewah Kajang untuk merasmikan Kempen Kesedaran Pengguna yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Bukit Mewah, Kajang pada hari ini. Oleh kerana kegiatan Persatuan Pengguna dianggap Adun selama ini tidak wujud di Dun Bangi dan Adun amat berminat dengan Persatuan Pengguna, maka permohonan pihak Persatuan Pengguna agar Adun merasmikan Kempen Kesedaran Pengguna itu Adun terima dengan baik dan permohonan sedikit peruntukan diluluskan dalam Mesyuarat Kewangan dengan jumlah sebanyak RM1,000/=.

Sebagaimana dipersetujui, dan Adun mempunyai program-program di tempat lain, maka pada jam 11.00 pagi Adun tiba di Dewan Orang Ramai bagi tujuan perasmian. Ketibaan Adun disambut oleh Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj yang tiba lebih awal dari Adun. Adun berkenalan dengan yang lain yang turut menyambut Adun, iaitu Puan Asyikin binti Abdullah sebagai Pengerusi Persatuan Pengguna di Bukit Mewah dan En. Mohd Taib bin Azhar sebagai Pengerusi Majlis.

Dalam ucapan alu-aluannya Puan NorAsyikin berterima kasih kepada Adun dan Ustaz Shafie yang sudi hadir ke Program Kempen Kesedaran Pengguna. Menurutnya Persatuan Pengguna di Bukit Mewah ini telah ditubuhkan sejak 2002. Dalam masa tersebut banyak kegiatan telah dijalankan. Banyak pula penerangan telah dijalankan. Menurutnya selama ini kita lebih banyak berdikari. Beliau mengharapkan dengan kehadiran Adun dapat membantu persatuan di dalam kegiatan-kegiatan yang dijalankan. Menurut Puan Asyikin Kempen Kesedaran Pngguna yang kita jalankan kadang-kadang lebih bersifat perhimpunan sosial dalam mana penerangan kita sampaikan maklumat semasa berinteraksi dengan masyarakat. Kadang-kadang lebih bersifat Himpunan Kekeluargaan. Contohnya menurut Puan Nor Asyikin, ``Sebelum Majlis Perasmian ini kita telah adakan pertandingan Bolling Padang, Peraduan Menimbang Bola dan bagi kanak-kanak ialah Peraduan Mewarna. Pada hari ini kita juga adakan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan juga pameran-pameran hasil dari kegiatan pengguna. Menurutnya, ``Kita tak dapat adakan kegiatan besar-besaran, sebagai NGO kita tidak mempunyai wang banyak.`` Beliau berharap Adun Bangi memperuntukkan sedikit kewangan untuk Persatuan Pengguna di sini.``

Dalam ucapan perasmian Adun Bangi menyatakan kegembiraan bahawa selama ini memang sudah ada Persatuan Pengguna di Dun Bangi, namun selama ini maklumatnya tidak sampai kepada Adun. Adun bergembira dapat bersama Majlis Kempen Kesedaran Pengguna dan kegiatan yang diadakan pada hari ini. Persatuan Pengguna memang penting bagi masyarakat bagi menjaga hak dan kepentingan pengguna. Pengguna dikatakan `Kuasa` yang dapat mengawal harga barangan dari dikenakan kepada penggunaan secara sewenang-wenang, bahkan mempersoal dan mempastikan mutu barang jualan adalah baik. Pengguna dapat menjaga pengguna dari tertipu, misalnya dari segi penjualan harga rumah dan aduan-aduan yang berhubung dengannya. Melalui persatuan banyak perkara yang dapat dilakukan bagi kepentingan pengguna. Kekuatan pengguna juga dikaitkan dengan penubuhan koperasi bagi mengukuhkan kedudukan pengguna dari segi modal, asset dan kepenggunaan. Di negera kita ada Kementerian Kepenggunaan dan Koperasi. Adun berharap Persatuan Pengguna di Bukit Mewah ini lebih bersifat aktif dengan mengadakan berbagai penerangan dan aktiviti. Adun Bangi sedia bekerjasama bagi menjayakan sebarang kegiatan yang bakal diadakan, maka sempena kehadiran Adun bagi merasmikan Kempen Persatuan Penggunaan dan bagi membantu kegiatan Persatuan Pengguna di sini Adun meluluskan permohonan Persatuan Pengguna di sini peruntukan sebanyak RM1,000/=. Diharap dengannya dapat membantu Persatuan Pengguna di sini bergerak dengan lebih cergas.

Sekian.

No comments:

Post a Comment